Subscribe

29 Jun 2011

Kembara ke Kangar, Perlis

Pukullah tabuh pukul rebana,

Kalaulah jodoh tidak ke mana.

Tanah yang licin tidak berduri,

Ibarat cincin lekat di jari.

Ini kali kedua saya menjejakkan kaki ke negeri Perlis Indera Kayangan (atau nama barunya Darul Sunnah). Sebelum ini, saya pernah ke sini dua tahun lepas untuk menyertai Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka MAKUM yang diadakan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Sebelum itu lagi saya pernah juga lalu Perlis, tapi itu sekadar hendak ke Jeti Kuala Perlis sebab mahu ke Langkawi. Jadi, itu tak boleh dikira.

Biasanya, saya yang akan hantar Apiz ke Hentian Duta setiap kali dia hendak balik kampung ke Kangar, Perlis. Malah saya juga sering mengambilnya di awal pagi apabila basnya baru tiba di Kuala Lumpur ketika kembali ke sini.

Kali ini, saya pula mengambil tempat dia, merasakan betapa jauhnya perjalanan dari Kuala Lumpur ke Perlis. Sekurang-kurangnya, selepas ini saya dapat lebih memahami bagaimana perasaan setiap kali hendak balik kampung naik bas.

Saya ke sana sebab mendapat jemputan untuk menghadiri majlis perkahwinan kakak Apiz dengan jejaka pilihan hatinya yang mana benih percintaan mereka telah tersemai sejak sama-sama mengikuti kursus sarjana kejuruteraan semasa di UIAM.

Saya tiba di Kangar sehari lebih awal sebelum hari pernikahan, jadi dapatlah saya membantu mana-mana yang perlu. Segan juga saya, sebab datang terlebih awal sebab orang lain semua belum datang, tetapi saya serahkan itu kepada Apiz, kerana saya bertanyakan kepada dia terlebih dahulu bila tarikh yang sesuai untuk saya pergi dan kembali, dan saya menurut cadangannya.

Semasa hari pertama, tidak ada apa sangat yang berlaku, kecuali beberapa persiapan saat akhir yang perlu dibereskan, seperti mendirikan khemah, menyiapkan bilik pengantin, mengikat kain renda untuk hiasan laman, dan sebagainya.

Saya juga telah berkenalan dengan ayah dan ibu Apiz yang saya panggil Pakcik dan Makcik. Lebih 5 tahun berkawan baik dengan Apiz, baru ini kali pertama dapat berkenalan dengan mereka. Dulu pernah jumpa dengan Pakcik di UIA, tapi sekejap sahaja. Ternyata, hospitaliti orang utara yang peramah itu memang saya rasakan.

Dipendekkan cerita, saya ditugaskan untuk menyiapkan pengantin lelaki sewaktu hari pernikahan. Majlis pernikahan diadakan pada hari Jumaat selepas waktu Asar. Jadi, boleh dikatakan sepanjang hari sebelum itu ada masa yang cukup untuk buat persiapan apa yang patut.

Keluarga pengantin lelaki ditempatkan di sebuah rumah homestay, berdekatan dengan rumah Apiz. Boleh jalan kaki sahaja untuk ke sana. Rombongan pengantin lelaki terdiri daripada Ibunya, dan tiga orang adik beradik beliau yang kesemuanya lelaki – didatangkan khas dari kampung halaman untuk menyaksikan acara pernikahan ini.

Sewaktu saya sampai ke sana untuk mempersiapkan beliau, saya disambut dengan senyuman oleh keluarga mereka. Ketika itu, ada dua orang lagi sahabat pengantin lelaki telah sampai dari Kuala Lumpur untuk mengiringi mereka menghantar pengantin.

Ini kali pertama saya ditugaskan untuk mempersiapkan pengantin. Sebenarnya, tidak ada apa yang perlu dibuat sangat. Cuma, disebabkan beliau tak pernah memakai baju Melayu sebelum ini, jadi saya harus menolong dia untuk mengenakan persalinan nikahnya, seperti mengenakan butang, dan juga memakai samping songketnya.

Dulang hantaran yang dibawa oleh pihak lelaki adalah sebanyak 5 dulang, dan dibalas tujuh oleh pihak pengantin perempuan. Kesemua hantaran perkahwinan ini digubah khas oleh Apiz sendiri. Memang berbakat sungguh kawan baik saya seorang ini.

Bayangkanlah, sepanjang tempoh cuti dua bulan lebih ini, memang ini sahajalah kerja Apiz, mempersiapkan hantaran dan pelbagai lagi kelengkapan perkahwinan. Memang waktu cutinya dikorbankan hampir sepenuhnya untuk perkahwinan ini. Memang adik yang sangat berdedikasi.

Mari kita lihat hasil kerja tangan Apiz:

image

Hantaran perkahwinan dari pihak perempuan yang bertemakan fairytale.

image

Hantaran perkahwinan dari pihak lelaki yang berkonsepkan Indian. Lihatlah perincian kain sari yang digunakan, dengan warna merah menyala dan peralatan perak. 

Resepsi perkahwinan pula diadakan pada hari sabtu, sehari selepas majlis pernikahan. Saya ditugaskan untuk menjadi deejay, memainkan seleksi lagu-lagu perkahwinan yang telah saya muat-turun terlebih dahulu. Dalam masa yang sama, ada ketikanya Apiz akan datang dan mencantas senarai lagu yang telah saya susun dengan membukan lagu-lagu hindustan kegemarannya. Haha, kehendak tuan rumah kita turutkan saja. Bila rombongan pengantin lelaki sampai, lebih rancak lagu-lagu hindustannya!

Selesai upacara resepsi, pasangan mempelai ini bergerak ke Muzium Kota Kayang di Perlis untuk mengadakan sesi fotografi perkahwinan. Kami yang adik-adik ini pun ikut sekali, supaya boleh bergambar dan tumpang sekaki.

Dahulu semasa ke Perlis, saya pernah ke sini. Memang cantik tempatnya dan sangat sesuai untuk dijadikan sebagai lokasi penggambaran. Malah, masa kami ke sana, ada sepasang lagi pengantin yang baru tiba untuk bergambar.

Jurugambar tersebut berkata gambar-gambar itu akan siap seminggu selepas itu. Tak sabar hendak lihat, kerana kami memang bergambar sakan. Cuma mungkin kalau kami ada lebih banyak tenaga, sudah pasti akan ada lebih banyak aksi yang lebih dramatik terlintas di kepala.

Begitulah kisah saya di Kangar, Perlis. 4 hari di sana, terasa sangat-sangat gembira. Semua orang pun begitu mesra dan peramah. InsyaAllah, kalau ada kesempatan, saya akan kembali lagi. Terima kasih banyak kepada keluarga Apiz yang hospitaliti mereka memang terbaek!

27 Jun 2011

Selamat Tinggal, Geneva

Entri Sebelumnya : Geneva : Antara Dua Negara

Baiklah, kita beralih kepada entri terakhir di Geneva sebelum kita berangkat ke tempat seterusnya. Kali ini tidak ada apa-apa cerita sangat, tetapi lebih kepada hendak tunjukkan gambar semasa berada di lapangan terbang di sana.

image

Cuaca ketika sampai di lapangan terbang ini agak suam-suam. Langit mulai mendung dan warnanya semakin gelap. Ada tanda-tanda seperti hujan akan turun. Mujurlah kami semua sempat sampai ke sini sebelum hujan turun dengan lebatnya. Kalau tidak, pasti akan kesusahan juga bila terkandas di tengah bandar dengan membawa bagasi yang basah ke sana sini.

image

Daftar masuk dibuat secara elektronik di sini. Tempahan tiket yang telah dibuat terlebih awal oleh Ameer, dibuat pengesahan, yang mana salinan aslinya akan dicetak di sini. Sama sahaja di mana-mana saya rasa.

Oh, kami akan menaiki penerbangan tambang murah EasyJet, yang terkenal di kalangan warga Eropah. Ia umpama AirAsia di sini. Mereka ada kawasan khas bagi para penumpang mereka mendaftar masuk.

Ketika itu, orang tidak terlalu ramai. Sambil menunggu di ruang legar, saya sempat bermain dengan telefon bimbit Nokia E71 saya yang ada browser internet. Di lapangan terbang ini, para pengunjung diberikan masa 1 jam percuma untuk menggunakan perkhidmatan internet tanpa wayar dari mana-mana peranti. Tapi, kita harus masukkan dahulu nombor telefon kita, dan kemudian mereka akan SMS nombor pin kod yang harus kita masukkan di dalam browser sebagai kata laluan.

image

Bagai diduga, tak lama selepas kami masuk berteduh di sini, hujan pun turun dengan lebatnya. Keadaan di luar menjadi lebih sejuk sedikit. Saya kira, itu adalah rintik hujan yang pertama kami rasai ketika berpijak di bumi Eropah ini.

Saya ambil kesempatan sambil menuju ke terminal tempat kapal terbang kami berlepas untuk membeli-belah barang yang menjadi identiti di Switzerland – coklat! Saya bukanlah seorang penggemar coklat, tetapi rugi rasanya kalau tidak membawa pulang coklat dari Switzerland. Lagi pun, sepanjang di Geneva sebelum ini, kami tak ada beli apa sangat buah tangan.

Nampak coklat di atas itu? Rasanya boleh tahan sedap dan murah. Saya beli sampai 8 bungkus sebab boleh dijadikan sebagai hadiah kepada orang di Malaysia. Senang dan mudah untuk dibawa. Nasib baik juga coklat itu bukan jenis yang cair.

 

image

Bila sampai di ruang menunggu, kami dikhabarkan bahawa kapal terbang kami akan mengalami kelewatan sebelum berlepas. Ya, macam biasalah. Tipikal penerbangan tambang murah. Tetapi tak mengapa. Sekurang-kurangnya ada masa untuk berehat sebentar dan bergambar-gambar.

Habis sudah cerita di Geneva. Nantikan selepas ini catatan ke negara yang terkenal dengan tamadun purbanya – ITALI! Gambar-gambar di sana saya belum siarkan lagi di mana-mana, hatta di Facebook sekali pun. Tapi sebelum itu, Rabu ini adalah review saya tentang penerbangan EasyJet ini.

Selamat menghadapi minggu baru!

26 Jun 2011

Geneva : Antara Dua Negara

image

Kami tak lama di Geneva. Sekadar menginap dua malam sahaja, sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. Yang penting, agenda untuk menziarahi Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini sudah selesai. Selain itu, tempat ini hanya dijadikan tempat persinggahan untuk berehat.

Gambar di atas diambil semasa kami sudah daftar keluar dari apartment. Disebabkan penerbangan kami ke Rome hanya akan berlepas pada lewat petang, maka kami ada banyak masa untuk ronda-ronda dahulu sebelum menuju ke lapangan terbang Geneva.

Anda nampak garisan di tengah-tengah jalan itu? Saya rasa tentu itulah garisan yang memisahkan kedua buah negara Eropah ini. Di belakang saya itu adalah pos pemeriksaan yang dipanggil Doune De Moillesulaz. Kawalan keselamatan antara sempadan ini tidak begitu ketat. Kita boleh sahaja melintasinya tanpa sebarang pemeriksaan, mungkin kerana ada treaty antara Switzerland dan Perancis. Malah, sepanjang saya berada di sini, tidak ada pun pengawal yang menjaga sempadan.

image

Di tepi jalan itu, ada sebuah parit yang saya percaya adalah sebuah sungai yang menjadi petanda sempadan. Sudah menjadi kelaziman di mana pun, sungai sering sahaja dijadikan sebagai sempadan semulajadi yang memudahkan kita untuk tahu di mana letaknya perpisahan antara dua tempat.

Segera kawasan Moillesulaz itu kami tinggalkan dengan menaiki trem, untuk menuju ke tengah bandar, untuk berjalan-jalan sebentar sebelum meninggalkan kota antarabangsa ini. Bayangkanlah kami membawa bagasi yang bagak-bagak ini keliling kota. Mujur sahaja ada roda yang memudahkan kami menariknya ke mana sahaja.

image

Satu perkara yang saya perasan di Geneva, pemandu kereta tersangat-sangat berhemah. Setiap kali saya mahu melintas jalan di laluan melintas bertanda kuning, pasti mereka akan memperlahankan kereta mereka untuk memberi peluang kepada para pejalan kaki untuk melintas, meski pun lampu belum bernyala merah.

Saya kira perkara ini haruslah dijadikan contoh kepada kita semua, sebab di Malaysia, kalau kita nampak orang mahu melintas, tentu lagi lajulah kita mahu menekan minyak kenderaan supaya kereta kita dapat mendahului, meskipun lampu isyarat sudah berwarna kuning. Satu peringatan untuk saya sendiri, pasti!

image

Negara Switzerland sangat terkenal dengan teknologi pembuatan jam. Ingat lagi jenama jam tangan antarabangsa Swatch? Geneva tidak kurang menerima tempiasnya. Mungkin terpercik daripada amalan masyarakatnya yang mengutamakan ketepatan masa, mungkin!

Salah satu tarikan Geneva adalah flower clock, iaitu sebuah jam besar yang dibina daripada bunga-bungaan di sebuah taman yang letaknya di Quai du General-Guisan. Bagaimana pun, kami tak berkesempatan untuk ke sana, kerana dengan bagasi yang begini, tidak memungkinkan kami untuk berjalan-jalan ke tempat yang jauh.

Tapi, kami ada terjumpa replikanya di tengah bandar Geneva. Replika pun replika-lah. Cuba agak pukul berapa yang tertera pada jam itu?

image

Alang-alang di Geneva, Ayahanda ambil peluang untuk meninjau-ninjau hargar jam tangan berjenama mewah di sini. Mana tahu kalau lebih murah dari Malaysia, pasti berbaloi kalau dibeli di sini, sebab tak tahulah bila akan kembali lagi.

Maka, kami mengikut Ayahanda untuk ke salah satu kedai jam tangan mewah di sini. Sudah pasti jam tangan Rolex menjadi pilihan. Tetapi melalui tinjauan harga yang dibuat, Ayahanda katakan harganya masih juga mahal dan seperti juga di Malaysia. Ingatkan kalau dijual di negara pembuat, pasti lebih murah. Namun, nampaknya tidak begitu. Mungkin kerana mahu mengekalkan prestij pembuatannya.

]image

Tak mahu berlama-lamaan lagi di bandar Geneva tanpa berbuat apa, kami putuskan untuk terus sahaja ke lapangan terbang agar ada masa kami berehat di situ. Lagi pun, kalau sampai awal pasti lebih bagus kerana takut kami ada masalah pula hendak mencari jalan ke sana.

Kami bertanya kepada para penduduk tempatan yang begitu ramah di sini. Mereka mengatakan kalau hendak ke lapangan terbang, tidak boleh dengan trem. Harus menggunakan salah satu pengangkutan bas dan menunggu di tempat sekian-sekian. Bas yang dikatakan itu ada petanda TPG.

Nantikan esok, catatan di sekitar lapangan terbang Geneva, sebelum kami berlepas ke destinasi seterusnya melalui jalan udara.

Selamat berhujung minggu!

24 Jun 2011

Geneva : Trem Ke Jet D’Eau

Entri Sebelumnya : Mengembara Di Switzerland, Menginap di Perancis

Sampai sahaja di tempat penginapan, kami putuskan untuk berehat sahaja terlebih dahulu, sambil melepaskan lelah sepanjang perjalanan dari Paris. Hentian Geneva kali ini lebih kepada perjalanan light and easy, kerana di Paris dan London sebelumnya, jadual kami agak ketat ke sana dan ke mari.

Hari esoknya baru kami mulakan pengembaraan menziarahi pusat bandar Geneva.

image 
Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya ada ternampak kedai makan yang ada tanda Halal di seberang jalan dari tempat penginapan kami. Di situlah tempat kami membeli makanan sepanjang berada di Geneva ini.

Macam biasalah, kebab, kebab, kebab. Kalau makanan halal, mesti adalah kebab yang dijual. Rasanya not bad, sedap juga kebab yang dijual. Bukan sahaja sebab tak ada pilihan lain, tapi memang sedap pun.

Ada dua buah kedai makanan halal di sepanjang deretan kedai ini. Salah satunya, memang ketara unsur Arab-Islamiknya. Ingatkan tak ramai orang Islam di sini, tetapi ada juga saya lihat mereka berlegar-legar di restoran ini.

Di hujung deretan kedai ini ada juga pasaraya yang menjual makanan halal. Alhamdulillah, mudah bagi kami  kerana kebetulan dekat. Saya tak dapat bayangkan kalau apartment kami berada di tengah bandar Geneva yang saya hampir pasti sukar untuk temui makanan halal.

image

Setelah kenyang perut, masa untuk memulakan pengembaraan. Pengangkutan pilihan adalah dengan menaiki trem yang hentiannya ada di depan apartment, betul-betul sebelum sempadan Perancis. (Dalam bahasa Melayu, ejaan tram adalam TREM)

Hentian Moillesulaz itu akan menunggu trem yang bakal mengelilingi seluruh kota Geneva. Pembelian tiket adalah melalui mesin dispenser yang disediakan di situ. Awalnya, agak terkontang-kanting juga hendak memahami kaedah pembayarannya, tetapi selepas beberapa ketika, dapat juga beli tiket.

Kalau saya tak silap, bayarannya adalah 3 Euro untuk satu perjalanan. Jika kita terlebih bayar, mesin ini tidak akan memberikan baki. Tetapi, anda boleh menuntut bakinya dari hentian utama trem di pusat bandar.

image

Saya masih ingat lagi ketika di dalam trem ini, ada seorang Mat Salleh tiba-tiba bertanyakan sesuatu kepada Ameer. Waktu itu kedudukan Ameer membelakangi saya. Lelaki Mat Salleh itu bertanyakan sama ada Ameer boleh berbahasa Inggeris, kerana mahu bertanyakan sesuatu. Agaknya tanya pasal nak tahu tempat agaknya.

Ameer katakan dia tak tahu, kerana berasal dari Malaysia. Kemudian, Mat Salleh tu terus buka mulut cakap Bahasa Melayu Indonesia dengan Ameer. Saya yang membelakangi mereka dan mula rasa teruja, sebab bukan senang dapat peluang bertemu dengan orang Eropah yang boleh berbahasa Melayu di tempat mereka. Sayangnya, kedudukan saya ketika itu tidak memungkinkan untuk saya beralih.

Katanya, beliau boleh berbahasa Melayu kerana isterinya adalah orang Indonesia, dan mereka menetap di Kaherah, Mesir. Dari raut wajahnya, saya dapat mengagak kemungkinan beliau adalah seorang mualaf yang sudah lama masuk Islam. Baju kemeja bercorak Indonesia yang dipakainya membuat saya mengagak mungkin beliau seorang orang agama, ditambah dengan maklumat yang beliau tinggal di Kaherah itu.

image

Bercerita tentang Geneva, bandar ini kecil sahaja. Rata-rata manusia yang saya lihat, ramainya adalah golongan pertengahan umur ke atas, terutamanya mereka yang berusia emas. Ini tergambar dengan corak perjalanan bandar ini yang agak perlahan dan releks. Semua orang begitu tenang sekali, tidak ada hiruk-pikuk yang biasa kita temui di bandar-bandar besar (meski Geneva ini sebenarnya boleh dikategorikan bandar besar, tapi populasinya tidaklah begitu ramai.)

Geneva pernah dinobatkan sebagai antara bandar yang termahal di dunia, tetapi ia diseimbangkan dengan statistik bahawa bandar ini antara yang punya kualiti hidup yang paling baik. Saya tak dapat nak ulas sangat mengenai kos kehidupan di sini, kerana tidak begitu membeli-belah, tetapi melihat kepada papan tanda harga barang cenderamata yang dijual di jalanan di sini, saya boleh faham mengapa.

Oh ya, di Geneva ini, kita boleh menggunakan kedua-dua matawang Euro dan Swiss Francs, bergantung kepada peniaga. Di papan tanda harga, biasanya mereka akan paparkan harga dalam kedua-dua matawang.

image

Lambang utama yang mewakili Geneva sudah pastinya air pancut Geneva – atau nama rasminya dalam Bahasa Perancis (yang saya pun tak tahu nak sebut) – Jet d’Eau. Ini adalah antara air pancut yang terbesar di dunia, dan telah menjadi sebahagian daripada mercu tanda Geneva.

Ia berada betul-betul di atas tasik Geneva, yang mengalir ke Sungai Rhone. Air pancut ini jelas kelihatan di sepanjang tebing tasik, dan juga melalui penerbangan udara dari atas angkasa. Bagaimana pun, saya ke sini bukan untuk melihat air pancut yang tidak punya apa-apa corak dan irama pancutan ini.

Sebaliknya, tujuan utama adalah untuk ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva ini. Entri berkenaan telah pun saya tulis dan terbitkan dahulu. Sebelum kita sambung cerita di bandar Geneva, silakan baca entri Kunjungan Ke Pejabat PPB di Geneva.

Sambung cerita Ahad ini!

22 Jun 2011

Mengembara di Switzerland, Menginap di Perancis

Kita sambung balik cerita Kembara Eropah. Pasti anda semua dah bosan, muak, dan penat tunggu bilalah cerita ke Eropah ini akan habis. Saya pun rasa begitu. Tetapi, kali ini saya akan teruskan cerita ini secara konsisten sampailah habis. Ada banyak perkara yang perlu saya blogkan selepas bulan Julai nanti. Takut ketinggalan zaman pula.

Ayuh kita mulakan ceritera…

image

Dari Paris, kami mengambil keretapi untuk ke Geneva, yang letaknya di negara Switzerland. Saya pernah ‘melangkah bendul’ sekejap dengan menulis kunjungan saya ke Pejabat PBB di sana sebelum menulis bagaimana saya menuju ke Geneva. Belasah sahajalah labu, ya!

Tiga tiket telah dibeli oleh kami bertiga. Ameer telah menempah tiket lebih awal secara online, sebelum kami daftar masuk di stesen Paris bagi mendapatkan tiket fizikalnya. Semua tempahan diuruskan Ameer, jadi tak dapatlah saya nak membuat sebut harga di sini. :)

image

Alahai, saya pun dah ingat-ingat lupa juga butiran perjalanan ini, tetapi saya usahakan sebaik mungkin ya untuk memerah kembali kenangan setahun lepas. Apa yang anda lihat di atas ini adalah kawasan di sekitar stesen keretapi di stesen Paris Gare Du Nord. Kalau tidak silap, tren kami bertolak pagi.

Dari segi kelajuan, tren bergerak agak perlahan pada mulanya, tetapi semakin lama ia bergerak semakin laju. Saya duduk di tempat yang selari dengan Ayahanda dan Ameer, walaupun di sebelah yang berbeza.

Apa yang saya perasan, hanya kami sahaja orang Asia dalam koc ketika itu. Rata-rata yang saya lihat adalah orang Eropah. Kebanyakannya berbicara dalam bahasa selain Bahasa Inggeris. Alhamdullillah, koc tidak begitu sesak dengan orang, kerana saya lihat ada lagi ruang tempat duduk yang kosong.

image

Sepanjang perjalanan ke Geneva, kami disajikan dengan pemandangan kawasan desa negara Perancis yang begitu indah sekali. Melihat kepada bukit-bukit, tumbuh-tumbuhan, dan bangunan yang didirikan sepanjang jalan amat menenangkan fikiran.

Cuma saya sedikit hairan, ada antara pekan-pekan yang dilalui sepanjang perjalanan begitu kosong sekali. Maksud saya, bangunannya ada, tetapi tak nampak pula kelibat manusia. Ia seperti apa yang orang putih katakan sebagai ghost town. Malah ada satu stesen yang mana menjadi tempat perhentian transit seketika tren ini – tidak ada orang langsung di situ!

Kami sampai di stesen Geneva tidak berapa lama selepas itu. Saya tak ingat berapa lama, tetapi yang pasti ia tidak sekejap dan tidak lama. Hah macam itulah. Cuba google, tapi tak jumpa pula jawapannya.

Apa yang menarik, ketika sampai di Geneva, pegawai imigresen/kastam tidak pula cop pasport kami. Malah mereka tak tengok pun. Terus sahaja beri kami masuk negara Switzerland tanpa sebarang halangan. Memanglah di Paris mereka ada periksa passport kami, tetapi sekadar hendak cop bahawa kami akan keluar dari negara Perancis.

Agak sedih juga, sebab tak dapat membuktikan pemergian ke Switzerland di dalam passport. Kalau anda ke sana, pastikan anda minta juga kepada pegawai itu, supaya dicopkan Switzerland di dalam passport. Boleh pula nak paksa-paksa pegawai, ya! Haha.

image

Perkara pertama yang dilakukan di Geneva adalah menukar sebahagian mata wang Euro yang kami ada kepada matawang Swiss iaitu Swiss Francs atau singkatannya CHF. Nilainya tidak banyak beza dengan Euro. Kami masih perlu tinggalkan baki duit dalam matawang Euro kerana destinasi seterusnya, Itali menggunakan matawang tersebut.

Ini satu cerita menarik tentang perjalanan ini. Sewaktu kami keluar dari stesen dan mencari teksi untuk ke apartment tempat penginapan, tiba-tiba sahaja Ameer memberitahu bahawa tempat penginapan kami beralamatkan negara Perancis.

Terkejut saya dibuatnya! Kami sudah sampai ke Switzerland, tapi kenapa pula penginapan di negara sebelah, iya tak?

Dalam kekalutan itu, ada sebuah keluarga berbangsa Afrika Amerika berhampiran kami yang juga baru tiba di Geneva mendekati kami untuk bertanyakan sesuatu. Kami juga bertanyakan hal ini kepada mereka, tentang bagaimana tempat penginapan kami boleh berada di negara lain.

Lelaki bertubuh sasa yang bersama dengan anak dan isterinya itu mengatakan bahawa dia juga ada ditawarkan menginap di tempat itu semasa membuat tempahan di dalam internet, tetapi memilih untuk menginap di tempat lain. Dia mencadangkan kami untuk mengambil teksi sahaja ke sana, kerana sudah pasti pemandu teksi itu boleh mambawakan kami ke sana, berbanding menaiki trem yang sudah ada di depan mata.

image

Harga perjalanan teksi untuk ke apartment kami dari stesen keretapi ke tempat penginapan agak mahal juga, tetapi kami tiada pilihan lain. Lagi pun, keutamaan sekarang adalah untuk sampai ke apartment untuk melepaskan lelah dan meletakkan segala beg-beg berat yang kami bawa ini.

Kami diberitahu oleh pemandu teksi yang sedang di usia pertengahan umur itu, bahawa tempat itu sebenarnya tidak jauh. Hanya sekitar 10 minit sahaja dari stesen tadi.

Maka, wajarlah saya tepuk dahi saya. Siapa suruh tak tengok peta dahulu sebelum pergi. Rupa-rupanya bandar Geneva ini sangat dekat dengan sempadan negara antara Switzerland – Perancis. Boleh dikatakan, Geneva adalah sebuah kota yang dilingkungi oleh sempadan Perancis.

Tak percaya? Mari kita lihat peta :

Map picture

Garis sempadan negara adalah yang berwarna kuning. Oleh sebab itu, budaya di sini, masih mirip kepada Perancis. Malah, Bahasa Perancis juga digunakan sebagai bahasa pertuturan harian.

image

Inilah rupa bentuk apartment kami dari luar. Apartment ini betul-betul di atas sempadan. Keadaan di sekitarnya agak tenang. Saya terfikir juga bagaimana hendak mendapatkan makanan di sini. Mujur, tidak jauh dari sini, saya sudah lihat ada beberapa kedai kebab dan juga kedai runcit yang ada tulisan halal di dalam kawasan negara Perancis. Alhamdulillah, mudahlah untuk kami menjamu selera. Tapi, lebih cerita tentang itu kemudian.

image

Apartment ini ada dua bilik. Satu bilik tidur, dan satu lagi bilik rehat. Memang sungguh lengkap serba serbi. Dari segi kelengkapan, ada dapur yang mana kelengkapan seperti pinggan mangkuk, sudu garfu, dan apa pun tersedia. Pendek kata kalau nak masak pun boleh. Tak cukup itu, ada juga alat menggosok baju, satu fasiliti yang sangat dihargai oleh pengembara seperti kami!

Baiklah, beri kami waktu untuk rehat. Hari Jumaat ini, kita sambung dengan lawatan sekitar banda Geneva pula. Nantikan!

20 Jun 2011

Pesta Pantun Sezaman 2011

Dua srikandi duduknya santun,

Putera nan tunggal gagah berani,

Kami MANIRA tak sabar berpantun,

Sama meriahkan gelanggang seni!

Dah lama sangat saya tak turun berpantun. Rasa rindu dan gian itu saling tingkah bertingkah tiap kali melihat orang lain bermadah seloka di pentas pertarungan pesta pantun, tapi apa kan daya, setiap orang punya peranan masing-masing. Kalau semua orang berpantun, siapa pula hendak jadi pengurus pasukan dan pengarah program pula. Yang penting, semuanya atas semangat mencintai tradisi lisan Melayu yang paling asli itu.

Suatu pagi, Ika telah menghantar SMS kepada saya untuk membuka laman sesawang kraftangan Malaysia kerana dia terdengar di radio Klasik Nasional, ada pertandingan diadakan sempena Promosi Kerja Kahwin yang telah saya ceritakan sebelum ini.

Apa lagi, terus meluru saya ke hadapan komputer peribadi, dan ternyata memang ada pesta pantun diadakan. Saya dan Ika pernah bercerita dahulu, bahawa selepas kami keluar dari alam kampus, kami masih lagi nak teruskan minat dalam dunia berpantun, tetapi atas platform terbuka, bukan lagi mewakili universiti. Tentu khalayak di arena terbuka lebih mencabar kerana pesaingnya adalah otai-otai semuanya.

Kami terus menjemput Zack untuk sertai kami, sebab saya yakin Zack juga pasti begitu rindukan pentas pantun. Zack pernah mewakili sekolah menengahnya iaitu SMK Raja Mahadi untuk ke peringkat kebangsaan dalam bidang pantun. Tapi, setakat ini belum berpeluang lagi mewakili varsiti.

image

Pada awalnya, memang kami menghadapi masalah hendak berlatih kerana masing-masing berada agak jauh. Seorang di Petaling Jaya, seorang di Klang, dan seorang lagi di Bangi. Mujurlah semuanya memang menetap di negeri Selangor. Kalau ada yang nun jauh di negeri lain, apsti lagi susah hendak jumpa.

Jadi, kami hanya berlatih sendirian sahaja dahulu. Mujur ada Facebook dan SMS yang memudahkan latihan diadakan secara maya. Itu pun, pasti lebih seronok kalau dapat bertentang mata sebab berlatih pantun ini harus juga menjaga aspek persembahan.

Oh ya, nama yang telah kami pilih adalah MANIRA. Ia bermaksud aku/kita dalam bahasa Melayu klasik. Nama ini telah lama saya guna sejak zaman matrikulasi sehingalah ketika memasuki Pesta Pantun UIAM 2007 bersama dengan Ika.

Saya fikir, malas pula hendak fikir nama lain, jadi saya guna kembali sahaja nama itu. Lagipun, saya suka maknanya yang melambangkan semangat kekitaan dan berpasukan.

image

Beginilah persalinan kami. Busana hitam menjadi pilihan, lambang keunggulan. Pastinya, hitam bukanlah pilihan pertama, tetapi atas sebab kesulitan mencari baju sedondon yang muat dipakai, maka hitamlah pilihan terakhir, lantaran kebetulan Zack ada dua helai baju kurung warna hitam yang sesuai digunakan untuk dia dan Ika.

Saya pula mengenakan baju Melayu berwarna hitam. Baju Melayu hitam ini memang penyelamat kerana sesuai dipakai di apa-apa acara rasmi. Saya rasa semua orang Melayu harus ada sepersalinan Baju Melayu berwarna hitam. :)

image

Selain kami, ada dua buah pasukan lagi yang berasal dari UIAM. Memang benar-benar bak apa yang disebut orang, rombongan Cik Kiah. Daripada jumlah keseluruhan 10 pasukan bertanding, 3 daripadanya adalah pasukan UIAM.

MANIRA, ANDEKA, dan ALANG TENGAH – Begitulah nama kami. Memang seronok, kerana dapat berkumpul antara kami adik-beradik. Ada pemantun lama, ada juga pemantun baru. Saya kira, antara rahsia kejayaan pasukan pantun UIAM menjadi pasukan pantun IPTA yang agak konsisten adalah kerana kami sentiasa ada pelapis yang meneruskan kesinambungan perjuangan kami, meski bernaung di bawah universiti yang menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya sebagai bahasa perantara.

Selain gerombolan kami, 7 lagi baki pasukan  datang dari pelbagai latar belakang. Ada pasukan dari IPT, cikgu-cikgu sekolah, makcik-makcik, malah ada juga sebuah pasukan yang mewakili para penggerai di promosi perkahwinan ini.

Kami dibahagikan kepada 4 buah kumpulan, yang mana setiap kumpulan akan ada dua atau tiga pasukan. Dari segi format, agak pelik sedikit, sebab meskipun dikatakan format liga digunakan, tapi sebetulnya, ia adalah perlawanan kalah-mati. Kalau kalah, akan terus keluar dan terkandas.

Tapi saya faham, pertandingan ini bukanlah diadakan secara besar-besaran. Sekadar menyerikan sahaja promosi pertandingan ini. Sudahlah yuran penyertaan percuma, jadi kami akur dengan syarat yang telah ditetapkan lebih awal.

image

Kumpulan MANIRA telah diundi dalam Kumpulan 1, manakala sangat dukacita pula untuk pasukan adik beradik ANDEKA dan ALANG TENGAH kerana mereka ditakdirkan untuk berlawan sesama sendiri pada pusingan awal. Kami cuba juga berunding dengan penganjur untuk menukar giliran, tetapi apa kan daya, kami terpaksa akur juga kerana cabutan undi telah pun dibuat.

Pasukan adik beradik ini telah bertemu pada giliran pertandingan yang ke-3. Kelainan Pesta Pantun ini adalah setiap perlawanan hanya akan ada satu pusingan sahaja. Ini bermaksud, kita hanya ada peluang sekali membeli dan sekali menjual dan peluang itu harus digunakan sehabis baik untuk menunjukkan kebolehan pemantun. Kalau kalah, akan terus terkeluar.

Perlawanan antara ANDEKA dan ALANG TENGAH berlangsung dengan cukup sengit. Keduanya punya kekuatan yang tersendiri. Namun adat pertandingan, pasti ada pemenang dan yang kalah. ANDEKA telah berjaya melangkah ke peringkat seterusnya.

Kemudian, tibalah giliran kami pula, pasukan MANIRA untuk beraksi. Mari kita lihat gambar-gambarnya terlebih dahulu :

image

Pasukan yang perlu kami hadapi, bukanlah pasukan yang calang-calang. Mereka adalah SENANDUNG WARISAN, para pemantun yang memang sudah otai dalam pesta pantun dari Institut Perguruan Bahasa Melayu (IPBM) Lembah Pantai. Terdahulu, mereka telah menang dalam saringan pusingan pertama menentang sebuah lagi pasukan dalam kumpulan kami.

Bagi kami pula yang belum lagi ‘panas berpantun’, segala itu kami tidak hiraukan, supaya dapat beri persaingan yang sengit. Melalui pengalaman saya, kita boleh berlatih sebanyak mungkin, tetapi bila sudah naik ke pentas, kesilapan kecil sahaja boleh membuatkan persiapan lama bagai sia-sia. Yang penting, harus konfiden dan selawat banyak-banyak agar diberikan ketenangan jiwa.

Tema umum untuk pertandingan ini adalah Kraf & Perkahwinan. Tema ini sahaja yang diulang-ulang sepanjang pertandingan, jadi sepanjang minggu saya banyak juga buat research tentang aspek-aspek kraf yang ada di dalam sebuah majlis perkahwinan.

Sebagai hasilnya, saya lebih menghargai kraftangan Malaysia, dan dapat memahami fungsinya, seperti contoh betapa simboliknya sirih junjung dalam budaya Melayu.

image

Seperti dijangka, pasukan SENANDUNG WARISAN memang memberikan saingan yang cukup hebat kepada kami. Saya digandingkan dengan pemantun pertama mereka, Tuan Hafizullah Tuan Yunos. Seingat saya, soalan beliau adalah berkenaan raja sehari yang membasuh kuali dan pinggan mangkuk pada hari perkahwinan.

Jawapan saya begini :

Bunga kenanga dalam jambangan,
Menjadi hantaran yang paling ulung;
Ahli keluarga tak cukup tangan,
Walau pengantin, tetap kutolong.

Hah, pantun ini memang jawapan asli saya waktu pertandingan, tak ada ubah-ubah. Ika dan Zack juga menjawab dengan sungguh bagus sekali. Saya sendiri terkejut kerana kami menjawab di bawah masa 1 minit, kerana semasa latihan, kami ada sedikit masalah menjawab dalam durasi masa yang diberikan iaitu 80 saat. Maklumlah, sebelum itu masing-masing agak berkarat.

Meskipun kami tewas, tapi saya sangat berpuas hati sebab dapat buat yang terbaik. Memang kalau ikutkan hati, tak puas kerana berlatih punya bersungguh-sungguh, tapi cuma dapat mempamerkan kemahiran hanya dalam satu perlawanan, tetapi saya redha kerana pasti ada hikmahnya.

Bagi saya, kemenangan itu soal kedua. Yang penting, kemahiran berpantun itu dapat diasah daripada terus tumpul dan malap begitu sahaja. Kalau kita menang pun, tapi semangat dan roh dalam apa yang kita buat itu tiddak kita hayati, maka tentulah ia sekadar kemenangan material semata-mata.

Keputusannya : SENANDUNG WARISAN akhirnya muncul sebagai juara keseluruhan, diikuti pasukan PINANG MUDA di tempat kedua, dan SERINDIT BIRU di tempat ketiga. Pasukan ANDEKA pula berjaya mendapat tempat ke-empat.

Terima kasih kepada pihak Perbadanan Kraftangan Malaysia dan Radio Klasik Nasional yang telah menganjurkan acara ini. Moga ia dapat diteruskan ke tahun hadapan, dan pastinya, kami akan turut serta lagi!

19 Jun 2011

Ke Mana Tumpahnya Kuah, Kalau Tidak Ke Nasi

Saya tangguhkan dahulu catatan tentang Pesta Pantun Sezaman yang sepatutnya diterbitkan pada hari ini, bagi memberi laluan kepada entri sempena Hari Bapa. Catatan berkenaan yang sudah pun siap akan terbit secara otomatik pada hari esok, tepat 12 tengah malam.

Saya tahu, agak klise untuk menulis tentang Ayahanda ketika tibanya Hari Bapa. Pasti semua orang akan berlumba-lumba untuk menulis ucapan Selamat Hari Bapa di blog, twitter, facebook, dan entah di mana-mana sahajalah. Tentu tak ada salahnya.

Saya faham, memang bukan Hari Bapa sahaja hari yang sepatutnya kita hargai jasa dan pengorbanan insan yang bergelar Ayah, Bapak, Papa, Daddy, atau Abah ini. Hal ini juga sama untuk Hari Ibu, atau apa-apa sahaja hari peringatan.

Meraikannya tidak bermaksud kita hanya mengingati jasa dan pengorbanan mereka pada waktu itu sahaja. Tarikh itu hanya sekadar satu waktu untuk mengingatkan kita supaya melakukannya secara konsisten setiap tahun. Sekadar peringatan. Kerana manusia mudah lupa. Itu adalah fitrah.

Bercerita tentang Ayahanda, bagi anda yang ikuti penulisan saya di blog ini, pasti perasan saya ada menulis tentang Ayahanda, meski tidak selalu, tetapi ada. Baru sahaja minggu lepas saya ikuti beliau Meredah Belantara Kerling menaiki kereta pacuan empat roda.

Tahun lepas pula, Ayahanda telah membawa saya berkelana dalam Kembara Eropah 2011, satu pengalaman yang tak mungkin sapat saya lupakan.

Dalam banyak perkara, saya begitu mirip Ayahanda. Perkara pertama yang pasti orang akan terlihat pastinya wajah kami. Wajah saya banyak ikut wajah Ayahanda. Dahulu semasa kecil, saya tak begitu nampak sangat persamaan. Tetapi semakin menginjak dewasa, makin lama makin terserlah.

Cuma bezanya, saya lebih bulat sedikit berbanding Ayahanda saya. Entahlah, sejak dua tahun lepas berat badan naik agak mendadak, sampai Ayahanda pun dah mula panggil “Bulat, bulat”…

Ops, melalut pula. Bonda pernah berkata, kalau terasa rindu jika Ayahanda pergi ke tempat jauh, Bonda akan melihat saya kerana pasti dia akan terkenangkan Ayahanda. Katanya, dari segi percakapan, berjalan, bersin, dan makan sekali pun, memang iras-iras Ayahanda ada.

Mana lagi nak kuah akan ditumpahkan kalau tidak ke nasi, kan?

Malah, satu perkara yang Bonda katakan, saya suka bercakap sendirian, sama seperti Ayahanda. Maksud cakap sendirian ini adalah ketika kami berfikir, kami selalu akan tersebut patah-patah kata yang difikirkan itu tanpa disedari. Ia seperti terkeluar sendiri dari mulut, mungkin kerana terlampau berfikir.

Tapi ayahanda dulu lagi teruk. Saya ingat lagi masa kecil, dia selalu tiba-tiba bercakap sendirian semasa dia memandu. Sampai saya yang ketika itu masih usia mungil begitu hairan dan keliru. Kadang-kadang juga terkejut. Sekarang ini, saya pula buat perkara yang sama.

Begitulah, Ayahanda saya. Mungkin seperti watak bapa lain, dia begitu cool, sampai kita tak tahu apa yang berlaku dalam sungai hatinya. Dia tidak garang, tetapi tegas. Kami adik-beradik bertuah mendapat seorang bapa seperti Ayahanda.

Kepada Ayahanda, terima kasih kerana telah memberikan kami sekeluarga kehidupan yang bahagia dan sempurna. Tidak ada kata ucapan yang boleh menandingi jasamu. Entri ini adalah perlambangan betapa anakanda menghargai pengorbananmu.

Selamat Hari Bapa, Ayahanda!

17 Jun 2011

Promosi Kerja Kahwin 2011

Berikan sirih bertemu urat,

Daun sehelai dimakan sahaja;

Berikan kasih sepanjang hayat,

Moga mahligai bawa ke syurga.

image

Anda mahu kahwin? Hendak membuat persiapan majlis perkahwinan dari yang sekecil-kecilnya sehingga yang sebesar-besar? Di Promosi Kerja Kahwin 2011 yang bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur Jalan Conlay, semuanya ada. Acara ini diadakan dari 26 Mei hingga 6 Jun 2011.

Tahun lepas saya ada juga singgah pertama kali ke sini, tetapi masa adalah kerana saya membaca sajak untuk siaran langsung Hujung Minggu Malaysia dari sana. Sambil itu, sempatlah juga saya menengok-nengok pameran perkahwinan yang ada.

Tahun ini, sambutannya ternyata jauh lebih meriah. Siap ada pertandingan pantun, seloka, fotongrafi, dan kompang. Hah, sudah pastilah saya turut serta dalam pertandingan berpantun, tetapi itu akan saya ceritakan dalam entri seterusnya.

Pada hari sebelum pertandingan, saya dan ahli kumpulan MANIRA – Ika dan Zack telah pergi ke Kompleks Kraf ini lebih awal. Konon-konon hendak buat research untuk pertandingan pantun pada keesokan harinya. Konon sahajalah, sambil menengok dan menjamu mata – boleh juga mengambil aura tempat pertandingan.

image

Masuk sahaja kawasan Kompleks Kraf ini, Ika dan Zack telah menjerit keterujaan – mereka tak sangka tempat ini begitu cantik sekali. Melihat kepada ukiran-ukiran kayu pada bangunan dan roh semangat di tempat ini – tiba-tiba mereka salahkan saya pula sebab tak maklumkan lebih awal akan ke sini. Jika tidak pasti mereka akan pakai cantik sedikit. Haha.

Nak buat macam mana, rancangan nak ke sini memang secara tak sengaja. Mulanya hendak berlatih pantun di kampus UIAM sahaja, tetapi selepas sarapan, saya rasa pasti membosankan kalau duduk terperuk saja di situ, jadi kereta pun saya dipandu menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur.

Tempat pertama yang kami pergi adalah Laman Wau. Di situ, dipamerkan pelamin-pelamin masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, seperti yang anda dapat lihat dalam gambar di atas. Malah, ada seorang model remaja lelaki yang tubuhnya agak gempal sedikit berada di sana memperagakan pakaian tradisi Sarawak yang bersedia untuk ditangkap gambarnya, terutama buat peserta pertandingan fotografi yang diadakan pada hari itu.

image

Melangkah lagi ke kawasan perkarangan kompleks, saya lihat ada diadakan demonstrasi merewang oleh makcik-makcik. Mereka sedang memasak sesuatu yang saya pun tak berapa ingat namanya, tapi khabarnya masakan dari Negeri Sembilan. Siap guna air kelapa muda pula itu. Pasti sedap. Waktu itu mereka baru mula hendak memasak, jadi belum siap lagi masakannya.

Inilah apa yang menarik tentang Promosi Kerja Kahwin ini, sebab ada pelbagai demonstrasi yang kita boleh lihat secara live. Ada demonstrasi masakan, perarakan perkahwinan, malah ada juga pertunjukan membuat kraftangan contohnya seperti ketupat, anyaman, dan juga kepala naga. Memang interaktif betul. Kalau nak turut sama mencuba pun boleh.

image

Setelah itu, saya teruskan lawatan dengan memasuk salah satu daripada khemah khas yang dibina untuk promosi ini. Ada tiga khemah yang didirikan, salah satunya adalah untuk pengusaha-pengusaha perancang perkahwinan.

Bila saya masuk sahaja, terlihat pelbagai jenis pelamin yang berbagai warna, bentuk, dan gaya menghiasi gerai-gerai mereka sehingga rambang mata melihatnya. Masing-masing tak mahu kalah mempamerkan pelamin yang cantik untuk menarik perhatian pengunjung.

Malah, ada juga yang buat food testing yang mana kita boleh merasa contoh hidangan yang mereka sediakan untuk jamuan walimah. Macam-macam pakej yang disediakan, pilih sahaja mana yang berkenan ikut selera dan kemampuan.

Penuh tangan saya memegang brosur yang diberikan oleh para petugas semasa melalui gerai-gerai mereka. Macamlah saya ini datang betul-betul sebab hendak berkahwin pula. Sudahlah datang dengan dia orang anak dara pula tu.

Zack dan Ika khusyuk juga menjenguk barang-barang kahwin yang berkenan. Tambahan Zack akan menguruskan perkahwinan kakaknya pada hujung tahun ini, jadi tepatlah pilihan kami ke mari. Sambil menyelam, minum air.

image

Hah ini apa yang saya cakap tadi pasal demonstrasi masakan. Ada disediakan jadual di sini, di mana chef-chef dari restoran terkemuka akan datang dan menunjukkan cara-cara memasak makanan perkahwinan dan setelah siap, para penonton boleh merasa makanan tersebut. Saya teringin juga nak rasa, tapi sebab saya tak jadi penonton, takkan tiba-tiba datang terus nak beratur mintak makanan, macam orang tak pernah makan. Haha.

image

Selain di khemah, ada juga jualan barangan kraf perkahwinan di bahagian bawah bangunan kompleks kraf ini. Macam-macam yang dijual daripada songket, batik, kek, rotan, kerongsang, dan banyak lagi. Pengusaha di sini datang dari seluruh negara. Memang berbaloi kalau datang sebab bila lagi semua barangan kraf seluruh negara dapat berkumpul begini, kan?

Saya ada belikan kek cawan untuk kami makan. Kebetulan harga murah sebab ada promosi. RM3 untuk 4 biji. Boleh sangatlah tu. Gambar tengah di atas itulah kek cawannya. Cuba lihat betapa seronoknya Ika dan Zack dapat makan. Tapi sejujurnya, tak berapa sedap sangat pun, saya tak habis makan. Apa nak dijangkakan, sesuai dengan harganya.

image

Puas pusing-pusing, kami teruskan dengan agenda utama kami iaitu berlatih pantun. Kafe di bangunan kraf itu menjadi pilihan. Walaupun sedikit bising, tetapi tempat duduknya lebih luas dan selesa kalau dibandingkan dari teratak-teratak di sekitar kompleks ini.

Lama juga kami luang masa di sini. Dalam lebih kurang 3 jam semata-mata untuk membetulkan pantun-pantun soalan kami. Tapi hasilnya, kami sangat puas hati. Sampai bawa kamus dewan yang gedabak itu di kompleks kraf, bersemangat betul kami. Namun, itulah kenangan terindah yang tidak dapat dijual beli.

Nantikan entri seterusnya yang akan terbit secara automatik pada hari Ahad ini untuk bingkisan kisah Pesta Pantun Sezaman!

15 Jun 2011

Kolam Air Panas Kerling

Sambungan dari entri Meredah Belantara Kerling.

Mari-mari kita menanam,

Tanam ubi dan juga nenas;

Mandi-mandi di dalam kolam,

kolam berisi si air panas.

image

Dalam perjalanan pulang dari belantara Kerling, rombongan kami singgah sebentar di Kolam Air Panas Kerling. Letaknya tempat ini benar-benar di jalan keluar, sejurus sahaja kami tiba di kaki bukit.

Masa kami sampai dahulu, memang dah lalui tempat ini, tapi tak pula singgah. Ingatkan bila singgah, boleh lah merasa hendak mandi air panas yang semulajadi. Yalah, biasanya hanya mandi air panas di rumah, yang tak asli.

Tetapi niat di hati tak jadi, kerana lihatlah tempatnya :

image

Airnya agak kotor. Hendak menjejakkan kaki pun rasanya anda tak lalu agaknya. Bukan sebab saya baru sahaja mandi air sungai yang jernih di belantara, tapi entahlah, anda tengoklah sendiri tahap kebersihannya airnya.

image

Inilah agaknya telaga air panas itu. Bagaimanalah rasanya dapat mandi air panas semulajadi ya.

image

Kalau hendak ke kolam air panas, harus lintasi dahulu jambatan ini. Ini pemandangan setelah saya sampai ke seberang. Ada ramai keluarga yang datang berkelah di sini, membawa anak-anak dan juga isteri serta orang tua.

Di seberang itu, ada tempat untuk menukar pakaian. Tandas juga ada, tetapi waktu saya ke sana, tutup pula.

image

Antara sebab kenapa rombongan kami hendak berhenti di sini, selain dapat membeli pisang goreng panas yang sedap, dapat juga berkumpul dan menyusun semua kereta dalam satu barisan agar dapat mengambil gambar beramai-ramai.

Kereta semua disusun di padang rumput bersebelahan. Kami berhenti tidaklah lama, dalam masa kurang 30 minit. Waktu dimanfaatkan dengan berehat, selain ada anggota rombongan yang membantu membaiki kereta yang sedikit bermasalah.

Setelah perjalanan diteruskan, kami berhenti sekali lagi di Hentian Jejantas Sungai Buloh untuk makan malam, sebelum masing-masing bersurai ke destinasi seterusnya. Ternyata, perjalanan ini tidaklah selelah seperti disangka. Kalau Ayahanda mengajak lagi, saya pasti mahu pergi, insyaAllah!

13 Jun 2011

Meredah Belantara Kerling

Kalau batu baling ke sungai,

jatuh di dasar jadi kerikil;

Kalau mahu elok perangai,

bila diajar janganlah degil.”

Ketika Ayahanda meminta saya menemankan beliau ke Kerling pada hujung minggu baru ini, saya hanya bersetuju tanpa banyak bertanya. Pertanyaan itu pun diberikan hanya beberapa hari sebelum kami bertolak, jadi tak sempat nak fikir panjang, tiba hari dinanti, maka saya pun ikut sahajalah Ayahanda.

Segala persiapan pun sudah diaturkan lebih awal. Menaiki kenderaan pacuan empat roda berjenama Jeep Cherokee berwarna hijau kepunyaan Ayahanda, Lebuhraya Utara Selatan segera dilintasi untuk ke Hentian Rawat & Rehat Rawang, untuk bertemu rakan-rakan Ayahanda yang bakal turut sama dalam perkhemahan ini.

image

Destinasi kami, Kerling. Ayahanda adalah salah seorang ahli REDAH, sebuah kelab bagi para peminat kereta pacuan empat roda yang selalu membuat trip dan ekpedisi sebegini. Ini kali kedua saya ikut Ayahanda untuk ke trek pacuan empat roda. Dahulu, saya ke Ulu Slim. Tetapi ini kali pertama saya bermalam dan berkhemah bersekali.

Saya bukanlah tak pernah berkhemah, cuma rasanya dah terlalu lama. Seingat saya pun, waktu saya berkhemah pun tidaklah di dalam hutan belantara begini. Nak masuk ke tapak perkhemahan ini pun ambil masa sampai 1 jam.

Sampai seberang sungai, mendaki bukit yang tinggi, menuruni lembah yang curam. Mujur sahaja hari tidak hujan, kalau tidak pasti perjalanan kami akan bertambah sulit sebab jalan tanah yang basah dan berselut.

image

Beginilah keadaan tapak perkhemahan kami. Waktu kami tiba, lalat penuh bermain-main di sini. Termasuklah juga kupu-kupu, lebah, dan serangga terbang yang sama waktu dengannya yang saya pun tak pastilah pula apa namanya.

Sebanyak 5 buah kenderaan segera mencari tempat untuk parkir agar tapak khemah dapat didirikan di situ. Saya banyak memerhatikan sahaja, sebab tak tahu apa yang harus dibuat.

Rupanya mereka membersihkan tapak dahulu sebab mahu membentangkan satu hamparan besar agar dapat dibuat satu khemah yang luas lengkap dengan bumbungnya. Bumbung itu pula dibina dengan bersendikan tali yang diikat dari kereta ke kereta.

image

Nah, sudah siap pun khemah kami. Cepat juga persiapan dibuat. Maklumlah semua yang datang memang dah selalu dan biasa berkhemah, jadi semua peralatan pun sudah ada, tinggal hendak pasang sahaja. Masing-masing membuat kerja mengikut skop dan tugas seperti sudah ada yang membahagikannya.

Antara yang ikut rombongan ini semuanya membawa ahli keluar termasuklah anak isteri, ada juga yang bawa bayi. Wah, dari kecil sudah dibiasakan masuk hutan, tentu bila dah besar tak akan janggal kalau harus mengembara ke belantara. Suara anak-anak kecil inilah yang banyak menggamatkan suasana di sana.

image

Sekitar kawasan perkhemahan kami, ada disediakan beberapa kemudahan yang memudahkan khusus buat mereka yang datang berkhemah. Ada disediakan meja panjang yang diperbuat daripada buluh, tapi tak pula saya ambil gambar. Di meja itulah dijadikan dapur untuk para isteri memasak hidangan untuk ahli-ahli perkhemahan.

Belakang sedikit sahaja dari situ, ada laluan anak sungai yang mengalir ceria. Telah ada orang yang membuat saluran daripada buluh dan paip PVC untuk menjadikan ia sebagai sebuah paip semulajadi yang boleh dibuat tempat membasuh tangan dan pinggang mangkuk. Maka, tak perlulah hendak turun ke sungai hendak buat semua itu. Kreatif sekali!

image

Sungai di sini memang sungguh menawan. Airnya teramat jernih, meski agak berbatu sampai sakit kaki juga hendak memijak dasarnya, tetapi kesakitan itu amat berbaloi.

Saya perlahan-lahan menyusuri sungai, membasahkan kaki dahulu untuk membiasakan badan dengan kedinginan airnya yang teramat! Tiba-tiba Ayahanda datang kepada saya lalu disimbahkan air sejuk itu. Menggigil kesejukan dibuatnya! Lepas dah biasa dengan suhu sejuk itu, barulah selesa hendak berendam dan bermandi-mandi.

Rasanya susah nak dapat lihat air sungai yang jernih dan cantik kalau tidak mengembara ke dalam hutan. Biasanya sungai yang ada di kaki bukit sudah tidak banyak yang masih jernih. Lagi satu, lebih elok mandi di kawasan sungai yang paling hulu sebab kalau di hilir, mana tahu orang di atas mandi, entah ‘buangan’ apa yang mereka hasilkan, sampai kita pun bermandikan ‘benda’ itu.

Hah contohnya, hasil buangan yang kami buat di bawah ini! Haha!

image

Tandas awam semulajadi! Satu lagi idea yang kreatif. Tak perlu nak tercari-cari tempat yang sesuai untuk membuang! Tapi awas orang di bawah, anda harus waspada!

Sebut pasal dari hulu ke hilir, tiba-tiba saya dapat ilham untuk berpantun. Oh, pantun yang di atas memang ciptaan saya ya, dihasilkan ketika bermandi manda di sungai. Itulah kelebihan pantun Melayu, sangat dekat dengan alam. Dan ini pula pantun yang baru saya cipta semasa menulis entri ini. Begini bunyinya:

Dari hulu sampailah hilir,

Mengalir sungai menuju teluk;

Dari dahulu sampai mutakhir,

Ubah perangai menjadi elok.

image

Ketika waktu malam, tidak banyak aktiviti yang dilakukan kecuali makan dan tidur. Ada dibuat BBQ Ayam dan Kambing, tapi yang dibawa dari rumahlah, bukan yang disembelih di sini. Sedap sungguh.

Oh ya, sebut pasal makanan, petang sebelumnya saya dan Ayahanda memasak nasi untuk makanan kami berdua. Juga kami panaskan dua lauk yang telah dibeli. Jujurnya, saya memang tak pernah masak nasi. Ya, pengakuan jujur. Jadi, bila rasa nasi yang dimasak bersama Ayahanda, sedapnya bukan kepalang!

Saya tidur awal malam itu, terus terlelap di dalam khemah kami yang agak selesa. Iyalah, bayangkan malam sebelumnya saya tak tidur langsung. Saya masuk ke hutan pagi tadi tanpa tidur yang cukup, meski sempat lelap seketika dalam perjalanan.

Tapi, bila dah masuk trek 4x4, memang perlu berjaga sebab bergoyang sana sini. Boleh kurus dibuatnya, sebab bukan saja kereta bergerak, badan dan lemak juga bergerak sama!

image

Hari esoknya, aktiviti bermandi-manda diteruskan. Ada yang pergi memancing, ada pula yang pergi ke trek 4x4 untuk selamatkan kereta lain yang terkandas dek kerana ada buluh yang menghalang. Saya tidak ikut, sekadar bermandi-manda sambil menghabiskan masa membaca buku dan menenangkan fikiran.

Kami bertolak pulang selepas Zohor. Sempat saya dan Ayahanda bersolat Jamak Takdim secara berjemaah. Nanti bila balik senang sedikit kerana tanggungjawab dah diselesaikan. Rombongan balik ada pertambahan sehingga 8-10 buah kereta kesemuanya. Saya pun tak berapa ingat, tapi memang seronoklah berkonvoi.

Bagi mereka yang hendak mengetahui dengan lebih lanjut aktiviti Kelab Redah, anda boleh layari laman web www.redah4x4.com . Saya lihat banyak aktiviti menarik bagi anda yang berminat dengan kegiatan lasak sebegini. Jadi apa lagi, jom kita redah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan