[Cikgu Ku Zahir dan Kelas Perkusi sedang bersedia sebelum persembahan.]
Dalam kesibukan Unit Kebudayaan & Kesenian UIAM bersiap sedia untuk menghadapi Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (FEStKUM), sempat juga mereka mengadakan sebuah persembahan khas Malam Kebudayaan khusus untuk pelajar-pelajar baru semasa Minggu Ta’aruf UIAM semester 2 sesi 2010/2011.
Turut menjadikan persembahan kali ini agak istimewa adalah dengan reunion para alumni UIAM yang dahulunya aktif dalam aktiviti kebudayaan, kembali ke pentas di CAC untuk sebuah persembahan yang sungguh menarik, di samping paparan persembahan latihan untuk FEStKUM dan juga wakil-wakil dari semua kelab kebudayaan.
[Saya dan Sofea – salah seorang alumni dari Kelab Teater. Sangat berdedikasi dalam kerjanya!]
Bagi Kelab Puisi, saya asalnya mahu memberi ruang kepada adik-adik untuk membuat persembahan, tetapi disebabkan tidak ada sesiapa yang berkelapangan ketika itu, maka dipanggil juga pada saat-saat akhir untuk mengisi slot persembahan Kelab Puisi. Apa nak buat, terpaksa jugalah saya penuhi permintaan tersebut, meski dalam hati cukup berbunga-bunga mahu beraksi di atas pentas.
Malam tersebut dimulakan dengan tayangan filem pendek “Tasbih Terakhir” hasil karya Creative Production Club yang juga bernaung di bawah Unit Kebudayaan & Kesenian UIAM. Saya sendiri sebenarnya belum berkesempatan untuk menonton filem pendek ini, dan harapnya bolehlah tonton sebentar sebelum persembahan bermula, tetapi sayangnya tayangannya terpaksa ditamatkan lebih awal untuk memberi laluan kepada persembahan.
Malam kebudayaan dimulakan dengan gimik aksi pergendangan oleh Kelab Perkusi selama lebih kurang 3 minit. Sangat hebat aksi mereka kerana bergendang sambil melakukan gerak gaya yang direka cukup menarik dan tertarik!
Selepas itu, tibalah saat untuk saya pula berada di atas pentas. Jujur saya katakan, memang saya tak bersedia langsung sebenarnya. Maklumlah, dalam erti kata lain, saya sebenarnya jadi bidan terjun. Saya tak sempat datang latihan dan raptai, malah tak tahu pun konsep persembahan dan di mana saya akan berdiri pada malam tersebut.
Tapi, belasah sahajalah. Meskipun saya katakan hendak membaca gurindam, tetapi ia bukanlah gurindam dalam erti kata sebenar. Saya telah menggabungkan syair, pantun, gurindam, dan peribahasa dalam satu susunan yang teratur. Lantaran kekurangan masa, tak dapatlah saya mengarang puisi baru, maka saya ambil sahaja karya-karya yang ada.
Oh ini satu benda yang kelakar. Saya diberitahu untuk keluar dari balik tirai merah itu dari belakang pentas, selepas sahaja tamat persembahan pergendangan. Keluar sahaja di pentas, saya lihat bahagian tepi pentas penuh dengan alatan-alatan caklempong yang menyulitkan saya untuk bergerak ke tengah pentas.
Jadinya, saya pun memulakan bacaan gurindam sambil berjalan mencari-cari laluan yang sesuai tanpa melangkah alat-alatan tersebut. Aduhai, sudahlah saya membaca teks. Kalau salah langkah – lantas terjelepok, oh tak dapat saya bayangkan.
Apa-pun, saya barjaya juga habiskan bacaan tersebut. Bagaimanapun, lain kali, saya rasa jenis persembahan untuk Kelab Puisi harus dikreatifkan lagi – mungkin dimasukkan elemen lakonan dan nyanyian. Bagaimana pun, saya tidak boleh lakukannya sendirian. Adik-adik saya dalam Kelab Puisi harus bersama-sama lakukan inisiatif tersebut untuk beri kelainan.
Khalayak pada malam tersebut sangat teruja dengan persembahan kami. Sehinggakan pelajar-pelajar antarabangsa yang lelaki, ramai yang ikut menari menurut lagu-lagu yang kami mainkan. Risau juga, kerana nanti takut ada rungutan sikap mereka atas sebuah universiti yang berpaksikan Islam, kadang-kadang tingkah laku harus dijaga. Apa lagi di hadapan pelajar wanita. Tetapi, segalanya masih lagi terkawal, Alhamdullillah.
Persembahan juga diteruskan dengan kemunculan :
Pasukan Gamelan.
Pasukan Caklempong.
Pasukan Angklung.
Turut terlibat pada malam tersebut adalah pasukan Zapin, Band, dan Dikir Barat.
Dengan itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berjuang kepada semua peserta Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia 2010 yang sedang berlangsung ketika ini di UUM, UiTM Arau, USM, dan UniMAP.
Lakukan sehabis baik anda dalam memartabatkan seni budaya di kalangan generasi muda.
1 Malaysia! 1 Budaya!
Wassalam.
0 komentar:
Catat Ulasan