Subscribe

30 November 2010

Jurusan Undang-Undang Selepas SPM (Bahagian 2)

Baiklah, kita sambung berbicara. Kalau sebelum ini saya telah terangkan mengenai subjek-subjek yang harus ditumpukan untuk SPM, kini saya akan bercerita tentang peluang-peluang untuk melanjutkan pelajaran selepas SPM dalam bidang undang-undang di peringkat Pra-Universiti di IPTA.

PRA-UNIVERSITI DI IPTA

Berikut adalah beberapa pilihan yang ada :

1. Asasi Undang-Undang UIAM

iium cfs

Disebabkan saya sendiri dari UIAM, maka tentulah saya akan letakkannya dulu. Program Asasi Undang-Undang UIAM ini ditawarkan kepada pelajar-pelajar lepasan SPM dengan pusat pengajiannya di Kampus Nilai, Negeri Sembilan. Tetapi kampus Nilai ini hanya sementara sebelum ia dipindahkan ke kampus baru di Gambang, Pahang.

Ia berdurasi antara 1-2 tahun, bergantung kepada tahap penguasaan bahasa seseorang. Apabila anda mendaftar masuk, anda akan diwajibkan untuk menduduki English Placement Test dan Arabic Placement Test. Ini untuk membolehkan anda ditempatkan di level yang bersesuaian dengan tahap penguasaan bahasa masing-masing.

Jika anda ingin meneruskan pengajian dalam ijazah berkembar undang-undang dan Syari’ah, anda harus menamatkan kesemua 4 tahap Bahasa Arab. Pelajar dari aliran agama digalakkan untuk menyambung pengajian dalam bidang Syari’ah dan peluang ini juga terbuka kepada pelajar aliran lain.

Selain subjek-subjek undang-undang, anda diwajibkan untuk mengambil subjek-subjek Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Pengajian Islam, Halaqah/Fardhu Ain, dan Komputer.

Kelebihan program ini adalah anda akan mendapat tempat secara automatik di UIAM untuk program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, tanpa perlu risau kemungkinan anda tidak berjaya mendapat tawaran. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada syarat-syarat kemasukan yang terkini.

Maklumat lanjut : http://www.iiu.edu.my/asasi/

2. Asasi Undang-Undang KPTM

Kursus ini dikendalikan di UiTM Shah Alam, dengan jangka masa selama 1 tahun. Meskipun tempatnya di UiTM, tetapi para pelajar tidak semestinya akan mendapat tempat secara automatik di UiTM, atau dalam bidang undang-undang sekali pun. Konsepnya sama seperti di Matrikulasi  KPM kerana apabila tamat pengajian, anda harus memohon sekali lagi untuk mendapat tempat di IPTA.

Lulusan Asasi Undang-Undang KPTM berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di kesemua IPTA (kecuali UIAM) yakni : UM, UiTM, UKM dan UUM. Bagaimanapun, tidak ada jaminan untuk mereka mendapat kursus Undang-Undang juga. Melalui pengalaman saya, ada rakan-rakan saya yang mendapat kursus seperti Perhubungan Antarabangsa dan Komunikasi Massa selesai mengikuti program ini.

Maklumat lanjut : http://law.uitm.edu.my/programmes/pre-degree/49-asasi-programmes/50-pi007-asasi-law-programme-mohe.html

3. Asasi Undang-Undang UiTM

Seperti mana program Asasi Undang-Undang KPTM, keduanya ada sedikit persamaan kerana dikendalikan di UiTM. Secara umumnya, program ini dikendalikan di UiTM Merbok, Kedah – untuk jangkamasa selama 1 1/2 tahun. Bagaimanapun, bagi pelajar yang cemerlang, ada kemungkinan mereka ditawarkan program fast-track di Shah Alam yang berdurasi 1 tahun – bergantung kepada tempat dan kekosongan.

Untuk terus melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Undang-Undang, pelajar harus mendapatkan sekurang-kurang CGPA 3.0. Jika tidak, mereka harus memohon sekali lagi untuk menyertai kursus-kursus di fakulti lain – dan risikonya, mereka harus bersaing dengan pelajar dari peringkat STPM dan Matrikulasi.

Maklumat lanjut : http://law.uitm.edu.my/programmes/pre-degree/49-asasi-programmes/49-pi005-asasi-law-programme-uitm.html

********

Di bahagian ke-3, saya akan sambung pula dengan peluang di peringkat Pra-Universiti di IPTS dan di lain-lain tempat. Jika ada soalan, cadangan, dan komen, ayuh jangan segan silu untuk kemukakannya di ruangan komen.

Wassalam.

28 November 2010

Konvokesyen Aidil Khalid

IMG_0480

Semalam, menghadiri Istiadat Konvokesyen rakan seperjuangan – Aidil Khalid di UiTM Shah Alam. Hujan yang lebat menyambut kedatangan kami. Segera kami bergegas mendapatkan perlindungan dari deraian air hujan yang membasah. Sesekali, kami cuba untuk memperlahankan langkah, takut-takut pula lantai yang licin akan membuatkan kami tergelincir seperti bermain kasut beroda pula – lalu terjatuh.

Ini kali kedua saya menghadiri Istiadat Konvokesyen di Shah Alam. Kali pertama, beberapa tahun lepas bagi meraikan bapa saudara saya yang bergraduasi dalam bidang Pendidikan Seni. Kali ini, Aidil Khalid pula yang mengambil skrolnya untuk Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang. Tahniah!

Begitulah kepuasan setelah 4 tahun bergelumang di medan ilmu, akhirnya mengecap manisnya di majlis sebegini. Entah bila pula tiba giliran saya. Harap-harap tahun depan, itu pun kalau diizinkan, dan punya rezeki. Mahu juga menyarung jubah konvokesyen UIAM yang cantik itu. :)

Sekian.

27 November 2010

Jurusan Undang-Undang Selepas SPM (Bahagian 1)

Sekarang ini, ramai adik-adik yang sedang tungkus-lumus menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), termasuklah seorang adik perempuan saya. Saya pasti, dengan segala persediaan yang telah dilakukan, pasti kalian akan berjaya menghabiskan peperiksaan ini dengan rasa tenang sekali.

Kali ini, saya hendak bercerita tentang cara bagaimana untuk anda menyambung pelajaran anda ke dalam bidang undang-udang, seperti mana pengalaman yang telah saya lalui dulu. Saya sendiri telah bertekad untuk menyertai bidang undang-undang di UIAM sejak berada di tingkatan 5 lagi. Banyak pembacaan dan rujukan telah saya lakukan untuk memahamkan diri saya tentang peluang-peluang yang luas terbentang selepas SPM, terutamanya jalan menuju impian saya – mengikuti kursus perundangan.

Sayangnya, ramai di kalangan pelajar lepasan SPM yang hanya menurut ke mana arah arus membawa mereka, dengan maklumat yang sedikit berkenaan pendidikan di peringkat pengajian tinggi. Dalam hal ini, adalah sangat penting untuk anda merangka perancangan selepas SPM, tidak kiralah apa pun keputusan SPM anda nanti.

Anda harus sediakan perancangan untuk setiap kemungkinan. Kalau keputusan bagus – rancangannya begini; dan kalau keputusan kurang bagus – rancangannya begitu. Ini penting sebab takut-takut apabila anda mendapat keputusan yang tidak disangka nanti, anda akan rasa otak terbeku dan down sehingga tak dapat berfikir dengan sewajarnya.

Mata Pelajaran Penting

Sebolehnya, persiapan harus dilakukan seawal tingkatan 4 lagi apabila anda memilih aliran SPM. Untuk bidang undang-undang, aliran tidaklah begitu penting kerana anda boleh sahaja menyambung ke jurusan perundangan sama ada dari aliran Sains atau Sastera.

Bagaimana pun, sebagai seorang senior, saya merasakan kemungkinan aliran sastera lebih sesuai kerana kefahaman anda dalam subjek-subjek tertentu seperti Perdagangan atau Ekonomi Asas akan membantu dalam bidang undang-undang yang melibatkan transaksi, kontrak, perbankan, dan syarikat.

Selain itu, pastikan anda score dalam semua subjek teras terutamanya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan Sejarah. Bidang undang-undang memerlukan penguasaan bahasa yang sangat baik. Maka, pastikan kemahiran berbahasa anda – membaca, mendengar, menulis, dan bercakap – semuanya mantap.

Begitu juga dengan subjek Sejarah. Asas pembelajaran undang-undang ada dalam subjek Sejarah. Bagaimana teknik belajar sejarah, begitulah lebih kurang teknik belajar undang-undang ( walaupun ada sedikit perbezaan juga).

Saya tahu, untuk pelajar yang sedang mengikuti SPM sekarang, mungkin tip ini sedikit terlambat, tapi saya pasti anda telah buat persediaan terbaik. Bagaimanapun, harap calon SPM tahun hadapan dapat buat persediaan yang sewajarnya. Ada soalan? Boleh ajukan terus di sini.

Di bahagian kedua artikel ini – saya akan terangkan mengenai peluang-peluang menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang di peringkat pengajian tinggi.

Jumpa lagi!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan