Subscribe

13 Jun 2010

Masalah Tidur

Sudah 2-3 minggu saya mengalami masalah tidur malam. Tak tahulah kenapa. Biasanya memang saya ini jenis tidur lewat, tapi sekarang ini makin teruk. Lepas subuh baru boleh lena. Fikiran ini melilau macam-macam perkara. Mungkin juga risau. Mungkin juga teruja.

Adakah ini dikatakan insomnia? Kalaulah betul, saya sangat perlukan bantuan. Kadang-kadang saya rasa sangat tension sebab tak dapat tidur awal, walaupun dah merebahkan tubuh ke katil. Meskipun mata ini cuba untuk melenakan diri, tapi tak tidur-tidur juga.

Pelik juga sebab saya cuma alami masalah ini pada waktu malam. Kalau nak tidur siang tu senang lah pulak. Memang betul, satu benda yang normal untuk tidur lewat, tapi kalau dah sepanjang malam tak boleh tidur, apa kejadahnya ini!

Saya perasan masalah ini datang sejak saya mula uruskan program dalam sebulan ini. Mungkin sebab terlalu teruja agaknya, saya sampai berfikir tak henti-henti. Nak buat itu, nak buat ini. Bila dapat idea tu, sampai sanggup bangun tengah malam hendak catatkan dalam fail atau pun taip dalam komputer.

Tak sangguplah kalau macam ini. Kan senang kalau dapat tidur pada waktu sekian-sekian dengan senangnya, dan bangun pada waktu sekian-sekian. Semua ini membuat sistem rehat badan saya dah kucar kacir. Minggu depan saya dah nak pergi mengembara jauh. Nak berhadapan dengan jet-lag lagi, tentu bertambah haru-biru.

Ada sesiapa boleh bantu saya?

Wassalam.

07 Jun 2010

“Israel” – Jangan Biarkan Terlepas

anti-israelTindakan “Israel” menawan kapal Mavi Marvara dan Rachel Corrie ternyata telah membuka mata dunia betapa kejamnya negara zionis itu. Saya meletakkan tanda “-“  adalah kerana negara itu hanyalah khayalan belaka lantaran berpijak di bumi yang bukan milik mereka – bumi yang telah dirampas dengan licik dan zalim.

Sebelum ini, saya bukanlah seorang yang begitu mengikuti perkembangan konflik Palestin - “Israel” ini. Ya, saya mendengar dan melihat di kaca TV, namun bahu yang memikul lebih berat dari mata yang memandang. Kita hanya berada dari kejauhan ini, tak boleh membayangkan betapa peritnya penderitaan yang ditanggung oleh saudara-saudara kita di Palestin, terutamanya di Semenanjung Gaza. Namun, tragedi ini telah memberi kesedaran betapa kita perlu bangkit dari lena.

Tindakan yang dilakukan Israel terhadap para anak kapal Mavi Marvara sangat kejam dan sebetulnya adalah satu perlakuan jenayah antarabangsa. Bayangkanlah, sebuah kapal yang membawa misi bantuan kemanusiaan, tanpa sebarang niat buruk untuk menceroboh “Israel”, telah ditawan dan diserang bertubi-tubi hingga ada yang terbunuh dan ramai yang tercedera.

Apa hak mereka? Tanpa sebarang hak dan kuasa, malah Mavi Marvara itu sedikit pun tidak melintas perairan “Israel”. Betapa mereka begitu takut dan trauma dengan bayang-bayang sendiri. Gaza itu telah mereka kepung, bagaikan sebuah sangkar derita – nyawa penduduk Palestin dan kemarahan dunia umpama mainan sahaja.

Seperti biasa, PBB bagaikan naga yang kehilangan api berbisa. Hanya besar pada rupa, tapi tak mampu berbuat apa-apa. Di saat-saat begini, PBB bagaikan sungguh tak berguna. Apalah gunanya kita ada badan dunia yang tak daya hendak menyelesaikan konflik sebegini. Dayus sungguh.

Jangan biarkan mereka terlepas lagi! Jangan biarkan mereka mengganas lagi! Jangan berikan mereka kepuasan dek tidak ada sesiapa berani mengusik apatah menghukum perilaku tak berperikemanusiaan ini.

Allahuakbar!

05 Jun 2010

Entri Yang Tertangguh

Sudah seminggu saya tak kemaskini blog ini. Agak sibuk sebenarnya. Term paper EAP harus disiapkan menjelang minggu depan. Masih banyak lagi yang perlu dilangsaikan. Semua sumber-sumber maklumat sudah ada, cuma belum memulakan proses penulisan, lantaran dihimpit dengan beberapa tugas lain yang mencuri masa saya.

Persiapan untuk Pesta Pantun MAKUM juga harus diteliti agar segala perancangan diatur dengan sempurna. Minggu lepas sempat mengadakan 2 kali sesi ujibakat untuk juruacara dan jurupantun. Kehadiran tidaklah begitu memberangsangkan, mungkin kerana ramai yang tidak mengambil semester pendek. Apa-pun, langkah pertama telah diambil. Sekurang-kurangnya, kami telah mengenal pasti senarai mereka-mereka yang berpotensi.

Semua ini saya harus selesaikan dalam tempoh dua minggu ini, sebelum saya berlepas ke negeri InderaSakti atas hal-hal tertentu. Ada banyak perkara yang ingin saya blogkan. Mungkin malam ini saya akan lapangkan masa untuk berblog.

Selamat berhujung minggu!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan