Seawal jam 10 pagi lagi saya sudah berbalas mesej dengan rakan-rakan sekumpulan daripada DEKMAL iaitu Sharina dan Safwan. Saya bertanyakan status dan kedudukan masing-masing. Sama ada mereka semua sudah bersedia untuk berangkat. Kami bertiga tinggal di 3 penjuru kota. Saya di Damansara. Safwan di Gombak. Sharina di Klang. Bagi menjimatkan masa, kami bertiga menunggu semua siap sedia, dan bergerak serentak ke Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Sebelum ini, kami hanya sempat bertemu lengkap bertiga sebanyak sekali. Itu pun sekadar di kedai Mamak di Wangsa Maju bagi membincangkan konsep dan tema persembahan. Selepas itu, agak sukar untuk mengumpulkan kami bertiga kerana kesemuanya ada komitmen masing-masing. Namun, kami bertekad untuk berlatih sepanjang hari pada hari sebelum persembahan itu.
Malam Fiesta Seni Budaya MPAJ 2014, begitulah nama program usahasama antara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Kelab Deklamator Malaysia (DEKMAL) yang kali ini menggabungkan persembahan puisi dan kebudayaan daripada masyarakat setempat di kawasan Ampang Jaya.
Setelah memuktamadkan bentuk persembahan kami, saya, Sharina dan Safwan mula mengaturkan gaya dan pergerakan. Kami memilih untuk mengadaptasi puisi karya penyair Indonesia Khalil Gibran iaitu Wahai Apakah Cinta. Puisi ini secara kasarnya bercerita tentang pencarian seseorang yang keliruu tentang hakikat apakah sebenarnya maksud cinta. Panjang asal sajak ini adalah 5 muka surat, namun kami harus mencantasnya sehingga 2 mukasurat agar peersembahan tidak terlalu panjang dan leweh.
Selain kami, DEKMAL telah menghantar dua lagi kumpulan DEKON, sebuah persembahan sketsa, dan 2 persembahan deklamasi solo. Dari pihak MPAJ pula, mereka telah menjemput wakil daripada anak-anak sekolah dan tadika berhampiran dengan persembahan tarian. Turut tampil adalah kumpulan qasidah dan persembahan bacaan puisi oleh YDP MPAJ.
Kumpulan saya telah tampil dengan menggunakan mikrofon klip dan tiga buah kerusi yang mana disusun sebaris, dan kami memulakan persembahan dengan menghadap ke belakang. Persembahan yang berdurasi hampir 10 minit itu tidak begitu terasa dek kerana baris-baris ayat telah dibahagikan sama rata.
Keseluruhannnya, saya merasakan bahawa acara ini adalah amat baik sekali, namun perlu banyak peningkatan dari segi pengisian dan pelaksanaan. Aspek promosi juga perlu diambil perhatian kerana kehadiran jumlah hadirin yang kurang memberangsangkan. Aliran komunikasi antara penganjur dan juga performers juga harus dipertingkatkan agar kami dapat faham dengan lebih baik konsep dan kehendak acara.
Terima kasih banyak kepada semua pihak terutamanya daripada DEKMAL dan MPAJ yang telah memberikan ruang dan peluang kepada saya untuk melantunkan suara menyampaikan bait-bait indah puisi Melayu. Terutama sekali kepada rakan sepasukan yang telah memberi kerjasama yang amat baik sekali. Semoga manfaatnya tersebar ke serata maya.
Salam puisi!
*Untuk melihat lebih banyak gambar dan video, layari facebook.com/deklamator
0 komentar:
Catat Ulasan