Subscribe

28 April 2013

TUNAS PUJANGGA 3 : Sebuah Restrospeksi

image

Susulan daripada peruntukan yang diterima DEKMAL daripada Dana Belia 1Malaysia yang telah saya ceritakan di sini,  maka bermulalah kami memacu langkah untuk menggerakkan segala perancangan yang telah dirangka.

Berbeza dengan Tunas Pujangga Siri 1 yang melibatkan pelatih PLKN dan Tunas Pujangga 2 yang melibatkan para pelajar sekolah menengah, fokus Tunas Pujangga 3 pada 20 April 2013 terarah kepada khalayak sasaran asalnya iaitu golongan belia dan pelajar IPT.

Kali ini, kami  bekerjasama dengan Kelab Puisi UIAM, yang mana saya pernah menjadi presidennya pada tahun 2009. Hajat untuk membawa seni deklamasi puisi lebih mesra dan akrab kepada pelajar UIAM akhirnya tercapai juga, meskipun saya sudah meninggalkan Taman Ilmu & Budi. Namun, kami juga membuka penyertaan kepada para peserta luar.

Objektif utama Tunas Pujangga itu mudah sahaja. Kami mahu mendedahkan generasi muda kepada asas-asas deklamasi puisi dan menanam minat kepada mereka untuk terus menjadikan aktiviti ini sebagai salah satu cabang kemahiran yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka.

Satu perkara yang ingin saya kongsi dengan kalian, adalah apabila saya pergi ke UIAM mewakili DEKMAL untuk berbincang dengan Kelab Puisi berkenaan program ini, saya telah bertanya kepada mereka apa yang mereka harapkan daripada program usahasama ini.

Mereka kata – mereka mahukan satu bengkel yang menyeronokkan – yang dapat membuka minat mereka untuk lebih mendalami sastera dan seni deklamasi itu sendiri – dan dalam masa yang sama menghormati cara dan gaya setiap individu dalam menyampaikan puisi itu. Lagi pun, bukankah deklamasi itu satu seni yang terpulang kepada interpretasi masing-masing, kan?

Atas sebab itu, saya telah merangka sebuah modul yang memberi tekanan lebih banyak kepada aspek praktikal – yang mana saya fikir peserta yang terdiri daripada golongan belia pasti sudah ada sedikit sebanyak asas dan pendedahan kepada deklamasi puisi – cuma mahukan satu suntikan minat dan semangat.

Saya mahu sebuah bengkel yang dapat memberi sentuhan dan perhatian kepada setiap peserta. Semua orang yang menghadirinya mempunyai peluang yang sama rata untuk merasai pengalaman mempersiapkan diri untuk mempersembahkan suatu bentuk penyampaian puisi.

Disebabkan itu, saya  telah menggunakan 50 teks puisi yang berbeza untuk dibacakan oleh setiap peserta. Bermaksud, tidak ada orang yang akan dapat puisi yang sama. Semua orang akan membacakan puisi tersebut untuk kali pertama, dan mencari gaya dan menghayatinya dengan bantuan para pembimbing.

Bengkel kali ini juga memberi tumpuan kepada proses perkongsian ilmu, dan bukan sekadar mengajar semata-mata. Pembimbing belajar daripada peserta, dan peserta pula belajar daripada pembimbing. Saya percaya semua orang pasti punya sesuatu untuk dikongsikan bersama.

Dengan berakhirnya program Tunas Pujangga 3 di UIAM, semoga akan ada lagi program yang akan menjadi kesinambungannya. Sesungguhnya, sebuah bengkel sahaja tidak cukup untuk mencari barisan pelapis deklamator yang mempunyai komitmen untuk berjuang dalam bidang ini, namun pastinya ia merupakan satu permulaan yang baik.

Itulah objektif Tunas Pujangga – untuk menanam benih kecintaan dan memupuk ia agar tumbuh sehingga bertunas. Untuk menjadi satu pohon yang tegap dan besar, itu perlu masa yang panjang dan usaha yang berterusan daripada setiap peserta.

Untuk gambar-gambar sepanjang Tunas Pujangga 3 – jemput ke laman Facebook rasmi Kelab Deklamator Malaysia (DEKMAL) iaitu : http://www.facebook.com/deklamator 

Sekian!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan