Hari kedua di London. Setelah semalaman berehatkan diri di tempat penginapan, maka hari seterusnya adalah waktu untuk menjelajah kota London. Sebenarnya, hampir seluruh ahli keluarga saya sedang tidak sihat ketika ini. Saya pun waktu itu hampir-hampir nak demam. Seluruh badan sudah panas. Kalau hendak ikutkan hati ketika itu, mahu sahaja berehat di apartment, tetapi pastilah itu satu kerugian yang besar.
Kami menaiki tube underground dari Warwick Avenue ke Baker Street iaitu hentian terdekat di laluan Big Bus Tour. Di London ini, ada banyak bas Hop On Hop Off, tetapi antara yang popular adalah The London Original Sightseeing Bus Tour dan The Big Bus Tour. Disebabkan tahun lepas saya sudah naik yang pertama, jadi kali ini saya akan gunakan khidmat The Big Bus Tour.
:: Inilah bas yang membawa saya kelilingi London ::
Harga untuk sehari tambang adalah 25 pound. Tetapi jika kita membeli untuk 2 hari, harga tambang untuk hari kedua adalah 7 pound – menjadikan harga keseluruhannya 32 pound. Sebenarnya, kalau anda kali pertama di London dan tak biasa dengan pengangkutan awam di sini, bolehlah anda gunakan khidmat bas-bas sebegini.
Tetapi kalau anda ada masa lebih, saya cadangkan anda gunakan sahaja perkhidmatan pengangkutan subway yang jauh lebih murah. Namun, kenalah rajin sikit untuk berjalan. Kami naik bas ini pun sebab nak memudahkan ibu bapa saya. :)
Antara kelebihan yang datanng bersekali dengan tiket The Bog Bus Tour ini adalah di sepanjang perjalanan, kita akan dapat menikmati pemandangan London ditemani dengan komentar daripada alat pendengar yang akan diberikan kepada kita. Cucuk sahaja pada bas itu, dan kita akan dengar komentar dalam 8 seleksi bahasa.
Selain itu, kita juga akan mendapat River Cruise secara percuma memudiki Sungai Thames sebanyak mana yang kita suka. Kalau mahu, kita boleh naik cruise itu sejauh ke Greenwich untuk melihat garisan Meridian di sana.
Dan apa yang menarik, kita boleh sertai beberapa guided walking tours yang disediakan, antaranya termasuklah The Royal London Walk, Harry Potter Film Location Walk, The Beatles Walk, dan Ghosts by Gaslight Walk. Untuk menyertai walking tour ini, kita haruslah berada di tempat tertentu pada masa yang ditetapkan.
:: Perjalanan dari Baker Street ke Trafalgar Square ::
Untuk perjalanan kali ini, kami memilih untuk mengikuti The Royal London Walking Tour. Yalah, dah bayar mahal-mahal, mestilah gunakan segala apa perkhidmatan yang ditawarkan. Jadi, setelah kami naiki bas dari Baker Street, dan kemudian melalui pula Oxford Circus, hentian seterusnya yang harus dituju adalah Trafalgar Square. Di sanalah walking tour ini akan bermula pada pukul 10.20 pagi.
:: Restoran Malaysia – “Jom Makan” yang terletak berhampiran Trafalgar Square ::
Tiba di tempat yang dijanjikan, saya lihat sudah ramai yang berkumpul di sana, menantikan untuk tour ini bermula. Pada hemat saya, mungkin ada tidak kurang dari 40 orang yang menunggu di situ. Kami dikehendaki untuk melambaikan tiket kami yang berwarna kuning itu ke udara bagi mengesahkan bahawa kami adalah sebahagian daripada walking tour itu.
Disebabkan ada begitu ramai yang menyertai walking tour ini, maka ia dibahagikan kepada dua kumpulan yang dipimpin oleh dua orang tourguide. Kami diberikan taklimat dahulu oleh tourguide kami. Saya sudah lupa pula apa nama dia, tetapi beliau ternyata begitu berpengetahuan dalam apa yang diterangkan dan maklumat yang disampaikan diselang-selikan pula dengan lawak jenaka.
:: Khusyuk mendengar penerangan oleh pemandu pelancong ::
Perkara pertama yang saya ingat tentang walking tour ini adalah anda harus bersedia untuk BERJALAN. Ya, sudah namanya pun WALKING, tapi bukanlah maknanya berjalan ikut rentak kita, tetapi berjalan laju. Kasihan pula dengan Ayahanda dan Bonda kerana harus berkejar-kejar untuk mengikuti walking tour ini terutamanya apabila kami harus mengejar perarakan Ceremony of the Changing of the Guards.
Saya tidak akan menerangkan dengan terperinci tentang acara Changing of The Guards ini, tapi apa yang boleh saya katakan, ia adalah acara utama yang menjadi tarikan pelancong di London ini. Ia diadakan setiap hari dalam lebih kurang pukul 11 pagi yang mana akan ada perarakan dilakukan dalam menukar pegawai keselamatan yang menjaga Istana Buckingham.
Kami dibawa ke St James Palace (betulkan saya kalau tersilap), yang mana di sinilah bermulanya perarakan ini. Saya diberitahu, jika kami bertuah, adakalanya pasukan ini akan diiringi marching band yang akan memainkan muzik sepanjang perbarisan mereka. Begini sedikit sedutannya :
Kami tidak menunggu begitu lama sehingga habis acara ini selesai, kerana pemandu pelancong kami terus mengajak kami ke Buckingham Palace supaya kami mendapat tempat yang strategik untuk melihat acara Changing of the Guards ini. Katanya, manusia di sana memang terlalu ramai dan agak sukar untuk kami semua melihatnya dengan jelas. Maka, kami melihatnya dari jauh, sambil diberi penerangan oleh beliau.
Begini penerangan beliau :
Tak lama kemudian, datanglah pasukan perbarisan ini menuju ke Istana Buckingham. Untuk pengetahuan anda, mereka semua ini sebenarnya bukan pelakon dan pemuzik, tetapi adalah sebenar-benarnya tentera yang pernah ke berkhidmat dan berbakti kepada negara mereka.
:: Pandangan dari dekat barulah dapat melihat wajah-wajah mereka ::
Begitulah cerita pengalaman saya mengikuti Walking Tour ini. Walaupun asalnya hampir demam, tapi segalanya dilupakan sebentar demi pengalaman yang sangat berharga ini. Tapi selepas ini kalau ke London, rasanya tidaklah saya melihat acara ini lagi, sebab memang ramai sangat orang. Bagi mereka yang berminat dan ada masa yang lebih di London, apa salahnya mengikuti tour ini. Tentu banyak ilmu baru yang diperolehi!
Sekian!