Entri kali ini ringkas sahaja. Sekadar hendak merakamkan pengalaman menaiki the London Underground atau juga dipanggil tube di sini. Caranya lebih kurang sahaja dengan menaik LRT di Kuala Lumpur. Cumanya, ada perbezaan yang menarik untuk diperhatikan.
Ketika waktu kerja, saya lihat manusia lalu lalang di LRT ini seperti robot. Memang sebiji sungguh. Dari laluan masuk, sampailah ke lorong-lorong menuju ke gerabak, semua manusia bergerak tanpa berhenti. Kalau berhenti, sudah pasti akan dilanggar orang dan menyebabkan kesesakan. Saya percaya, di KL juga mesti sesak ketika waktu kerja, tapi tentu tak gila seperti di London.
Kami perlu beli tiket dahulu sebelum naik tren. Urusan pembelian tiket semua dikendalikan oleh adik saya, sebab dialah tuan rumah yang dah ada pengalaman di sana. Jadi, saya tak dapat nak terangkan dengan lebih lanjut tentang harga, tiket, prosedur, dan sebagainya. Cuma saya dengar kalau untuk pelancong, amat berbaloi kalau gunakan Oyster Card. Ia lebih kurang macam kad yang boleh diisi semula dan boleh guna sepanjang hari. Memang berbaloi kalau nak beli sebab tube adalah cara pengangkutan yang paling cepat dan murah di sini.
Seperti biasa, harus lalui pagar ini sebelum melangkah masuk ke kawasan menunggu gerabak.
Di London, sistem undergroundnya lebih kompleks dari di Kuala Lumpur. Kalau di KL, laluan LRT hanya ada dua iaitu laluan menggunakan LRT Putra dan LRT Star. Lain pula ceritanya di London, apabila ada lebih kurang 16 laluan kesemuanya! Maksudnya, anda kena betul-betul kaji peta laluan itu dahulu sebelum naik, kerana mungkin anda perlu singgah di beberapa stesen untuk menukar laluan anda.
Tapi tak perlu risau. Kalau sudah biasa, nak ke hulu hilir di sini senang sahaja sebab boleh rujuk kepada peta jika tak pasti. Alah, lebih kurang kita turun di stesen Masjid Jamek di KL untuk bertukar antara LRT Star dan Putra. Bezanya, kita tak perlu keluar dari stesen dan beli tiket yang baru. Boleh terus ke landasan gerabak tersebut melalui laluan penghubung.
Berikut adalah beberapa stesen yang saya singgah yang sempat saya bergambar:
Stesen King’s Cross St. Pancras
Stesen Oxford Circus
Stesen Baker Street
Haha, nampak sangat saya ni pelancong asing bila orang tengok beriya-iya bergambar dengan papan tanda di atas. Tujuannya semata-mata nak buat entri di blog ini sebenarnya. :)
Oh, ketika berada di landasan, ada diletakkan iklan-iklan di dinding kawasan landasan. Ini antara iklan yang saya temui:
Oh, ada juga iklan yang memaparkan orang Islam di sini. Bangga sekejap. Saja mahu berkongsi dengan anda.
Baiklah setakat ini entri kali ini.
Kita berjumpa lagi di stesen berikutnya! :)
0 komentar:
Catat Ulasan