Subscribe

25 Julai 2010

Malam Pertama di Manchester

Entri Sebelum : Kujejaki Tanah Ratu di Manchester

image

Kami tidak lama di Manchester. Hanya sempat bersiang-siang di sini dan tidur semalam sebelum bertolak ke destinasi seterusnya. Rumah penginapan Travelodge menjadi tempat kami berehat sepanjang sehari di Manchester. Khabarnya, di UK ini, Travelodge memang sangat terkenal sebagai tempat penginapan untuk para perantau dengan kadar bayaran yang berpatutan. Ada banyak cawangannya di sana.

image

Selesai mendaftar masuk, kami sempat berehat sebentar melepaskan penat yang terkumpul. Disebabkan waktu siang sangat panjang pada musim panas, kami ambil peluang untuk pergi bersiar-siar mengambil angin di Manchester, selain dengan tujuan mendapatkan makan malam.

Anginnya sangat dingin, meski kadang-kadang sinar mentari memancar terik. Kombinasi keduanya sangat menarik. Ada panas, ada sejuk. Tapi dua-dua tidak bercampur. Sambil menghirup udara di Tanah Ratu, saya nikmati pelbagai bangunan yang cantik-cantik di sini. Oh, Manchester ini tidaklah besar sungguh, tetapi tetap punya jiwa yang tersendiri.

Bandar yang releks namun sofistikated, pada pandang pertamanya.

image

image

Tak susah hendak mencari makanan halal di sini. Restoran Halal ada di mana-mana. PIlihlah sahaja apa yang anda mahu! Makanan India, Pakistan, Arab, Siam dan bermacam-macam lagi boleh didapati di merata tempat. Ameer telah membawa kami ke sebuah jalan yang penuh dengan restoran makanan Halal, yang nama tempatnya pun saya dah tak berapa ingat.

Tapi, memang bila tiba di sana, saya dapat rasakan betapa ramainya pendatang dari luar yang berada di kota ini. Saya cuba perhatikan sama ada terdapat atau tidak orang Melayu, tapi tak ramai yang saya lihat. Mungkin ramai yang balik ke tanah air sempena cuti musim panas.

image

Kami menikmati makan malam di sebuah restoran Muslim. Kalau tidak silap, kami makan nasi beriyani. Oh, betapa sedap yang tak terhingga. Saya fikir, waktu itu rasa bagai mahu habiskan saja semua nasi yang dihidangkan itu. Tapi, teringat yang saya perlu jaga makan. Kalau tidak, akan termengah-mengah hendak berjalan jauh.

image

Pabila keluar dari restoran, saya terserempak dengan sebuah kereta yang sangat-sangat saya kenal bentuknya. Oh, Perodua MyVi! Haha. Di Malaysia, saya menggunakan kereta ini untuk bergerak ke sana dan ke mari. Tak sangka pula akan ketemu kereta Malaysia di sini. Kereta yang saya guna pula tu, dengan warna hitam yang sama!image

Apa lagi, haruslah saya bergambar dengan Myvi itu. Kononnya nanti mahu beritahu kawan-kawan yang saya bawa kereta Myvi hitam saya itu bersama-sama ke Eropah! Kereta ini diparkir begitu sahaja di tepi jalan ini. Entah siapalah punya. Tapi, inilah kereta Malaysia yang pertama yang saya jumpa di sana.

image

Bangunan ini letaknya bertentangan dengan Travelodge kami. Saya sangat suka rekaannya. Entah kenapa. Sangat unik dan cantik untuk dipandang. Gambar di bawah ini pula gambar bangunan di atas dari pandangan tingkap bilik penginapan saya.

image

Begitulah cerita hari pertama di Manchester. Tidak lama, kerana nanti balik saya akan kembali juga ke sini. Esoknya, saya perlu terus bertolak ke London. Kita sambung cerita selepas ini ya?

Kembali Dari Lena Nan Panjang

Oh lama sungguh saya tak kemaskini blog kesayangan saya ini. Selepas balik dari Eropah, saya terus bergegas ke UIAM untuk menyelesaikan hal-hal berkaitan PPM’10 dan seterusnya membuat persediaan untuk semester baru yang akan bermula tidak lama selepas itu.

Akhirnya, saya terlupa sekejap hendak update blog. Bukan sahaja badan kita boleh jet-leg, tapi rasanya minda pun boleh jet-leg agaknya? Alasan, alasan!

Apa-pun, saya tahu saya berhutang dengan anda banyak cerita dari Eropah. Saya akan kemaskini sedikit demi sedikit ceritanya dalam minggu ini. Saya perlu rakamkan segala pengalaman tersebut secepat mungkin sebab taku-takutlah pula saya terlupa. Nanti, habis hilang segala kenangan berharga itu. Kalau tak tulis, nanti 2-3 tahun dari sekarang, tentu ada butir-butir kecil yang saya akan lupa.

Oh, bercakap tentang semester ini, akhirnya saya telah memasuki alam tahun terakhir di Kulliyyah Undang-Undang nan tercinta. Setahun lagi, sebelum saya menggenggam segulung ijazah yang menjadi impian selama ini. Oh, begitu cepat masa berlalu.

Semester ini, saya mengambil mata pelajaran berikut :

  1. Land Law 2
  2. Company Law 2
  3. Civil Procedure 1
  4. Criminal Procedure 1
  5. Professional Practice 1
  6. Evidence 1

18 jam kredit semester ini. Semester depan pula menghabiskan sisa 23 jam kredit. Oh, perlu belajar bersungguh-sungguh! Doakan saya!

Amin!

04 Julai 2010

Stadium Old Trafford, Manchester

IMG_3475

Saya kini sudah kembali ke bumi Manchester. Setelah dua minggu menjelajah ke London, Paris, Geneva, Rome, dan Edinburgh, sekarang sampai juga ke destinasi terakhir.

Waktu saya sampai Manchester dahulu, tak sempat hendak berjalan ke sekeliling bandar Manchester kerana hanya ada tempoh sehari sebelum terus bergerak ke London. Jadi, kami putuskan untuk luangkan masa di Manchester pada hari-hari terakhir sebelum penerbangan balik ke Malaysia.

Kalau dah di Manchester, mana sah kalau tak berkunjung ke Stadium Old Trafford kan? Stadium yang menjadi tempat naungan kelab gergasi Manchester United ini sempat juga saya kunjungi. Malah, stadium itu letaknya sangat dekat dengan hotel kami yang letaknya di Old Trafford.

IMG_3483

Saya pernah tulis di sini bahawa saya bukan seorang peminat bola sepak. Tapi, meskipun demikian, saya pun tahu sangat rugi kalau tak ke stadium Old Trafford. Tambahan, membawa pesan daripada seorang teman yang meminta saya kirim salam kepada Sir Alex Ferguson. Haha. Macamlah akan ketemu beliau, kan?

IMG_3507

Waktu kami ke sana, tidak ada perlawanan diadakan. Maklumlah, sekarang pun masih dalam musim Piala Dunia. Jadi, stadium Old Trafford agak lengang. Tak pastilah keadaannya semasa ada perlawanan bagaimana. Tentu riuh rendah tempatnya.

Di sini sebenarnya ada lawatan berbayar yang membolehkan pelawat memasuki stadium tersebut., tetapi kami tidak ikut lawatan itu. Sebaliknya, kami menyusuri Munich Tunnel, iaitu satu tempat di stadium tersebut yang didedikasikan kepada tragedi kematian pemain-pemain Manchester United dalam kejadian pesawat terhempas di Munich, Jerman lama dulu.

IMG_3503

Selepas itu, kami pergi ke megastore di stadium tersebut yang menjual barang-barang cenderamata Manchester United. Hajat di hati hendak juga beli sesuatu sebagai kenang-kenangan, tetapi harga yang terlalu mahal membuatkan niat saya terbatal.

Tambahan, barangan di situ banyak yang made in China, made in Cambodia, dan made in Indonesia. Kalau beli di Malaysia, tentu jauh lebih murah rasanya. :)

IMG_3488

Begitulah kisah saya di Stadium Old Trafford. Sekadar lawatan pendek sahaja di sini. Stadium ini dekat sangat dengan hotel yang saya sedang duduk sekarang. Dari tingkap bilik boleh nampak dah stadium itu. Jadi, sepanjang di sini memang selalu ulang alik melihat stadium Old Trafford.

Selepas ini pula, saya akan sambung pengkisahan perjalanan saya. Perlu habiskan saki baki penjelajahan ini dengan beli-belah saat akhir!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan