Subscribe

29 Mei 2009

Sajak Daripada Abang

SAJAK DARIPADA ABANG
(Buat adik-adikku)

Kejutkan abang, dik
masuklah ke dalam mimpiku,
tarik abang ke ruang yang teguh
sebelum abang tak mampu kembali.

Adik, bukan tak pernah
abang hadir menjengah jiwa kalian
kunjunganku semakin lama
tidak kau terima.

Biarlah di sini
abang cairkan kekerasan hati
dituangkan ke cangkir kasih kita.

Azree Ariffin
The Place, Damansara Perdana
29 Mei 2009

27 Mei 2009

Mahkamah Syariah Kuala Lumpur

Memandangkan terdapat sedikit kelapangan pada hari ini, saya dan teman attachment saya, Najlaa telah meminta izin daripada penyelia saya untuk ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi mengadakan suatu lawatan sambil belajar. Sepanjang saya menjadi mahasiswa perundangan, saya hanya pernah berkesempatan ke mahkamah sivil sahaja, dan tidak pernah ke mahkamah syariah.

Asalnya, memang tidak tahu di mana lokasi yang tepat, tetapi mujur telah diberitahu oleh Kak Liza bahawa Mahkamah Syariah KL terletak berhampiran dengan Bangunan Stesen Keretapi KTM. Tambahan pula, saya mengetahui bahawa destinasi kami letaknya berhampiran KL Sentral walaupun sedikit ingat-ingat lupa.

Tidak susah untuk mencari lokasi bangunan ini. Setibanya di sana, saya melihat sebuah bangunan yang begitu klasik rekaannya, gah berdiri. Namun, berbeza dengan Kompleks Mahkamah KL, bangunan ini saya lihat agak usang.

Kami memasuki bangunan tersebut, dan mendapat beberapa orang peguam syarie yang sedang berlegar di kawasan mahkamah. Saya dapati ada suasana yang cukup tenang sekali. Saya dan Najlaa mula mencari-cari bilik mahkamah yang sedang bersidang. Kami memasuki Bilik Bicara Mahkamah Rendah 3. Di dalamnya, saya dapati 9 orang sedang berdiri menghadap hakim untuk mendengar pertuduhan masing-masing.

Ada kes pernikahan tanpa kebenaran di luar negara, khalwat, dan juga nafkah. Saya mendengar khusyuk. Menarik juga perbicaraan di Mahkamah Syariah ini. Berbeza dengan kes sivil, yang kadangkala begitu rumit faktanya, kes di Mahkamah Syariah lebih dekat dengan diri saya.

Saya telah terserempak dengan beberapa orang teman dari UIAM yang juga sedang membuat program attachment di sana. Sempat berkongsi pengalaman masing-masing. Saya mendapat tahu bahawa mereka sebenarnya dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, tetapi telah ditempatkan di Mahkamah Syariah untuk beberapa minggu. Setiap minggu mereka akan ditempatkan di jabatan yang berbeza. Saya juga bertuah kerana teman saya telah sudi menunjukkan saya kamar hakim syariah, walaupun tidak dapat bertemu dengan hakimnya sendiri.

Keseluruhannya, pengalaman di mahkamah sebetulnya sangat berbeza dengan membuat attachment di firma guaman. Lebih-lebih lagi di mahkamah syariah, saya terasa-rasa aura ketenangan itu, mungkin sesuai dengan status sebagai penegak undang-undang syariah. Terfikir pula, ingin juga menjadi seorang peguam syarie. Semoga impian in terlaksana jua satu hari nanti.

26 Mei 2009

Kasih Bonda Kasih Nenda



Kasih bonda membawa ke syurga,
Kasih nenda pengikat jiwa.
Selamat Hari Lahir
buat Bonda dan Nenda!
26 Mei 2009.

25 Mei 2009

Catatan Seusai Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009

Terbang rendah burung kedidi,

Hinggap sebentar di pohon berangan;

Selagi berbunyi denyutan nadi,

Akan kupalu gendang perjuangan!

Saya masih ingat akan pesan Kak Hani Salwah Yaakop kepada adik-adik MPR, sewaktu berkumpul di Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur yang saya anggap sebagai peringatan dan amanat sebelum menghadiri Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009. Beliau berpesan agar kami saling menjaga diri dan juga imej MPR sebagai sebuah keluarga yang dilahirkan oleh DBP.

Teman-teman juga turut bersetuju dengan pesanan Kak Hani tersebut. Kami mengingatkan diri masing-masing agar dapat memanfaatkan peluang ke PPMN dengan sebaiknya, supaya ilmu yang dipelajari dapat digunakan dalam perjuangan kami sebagai anak muda yang baru berjinak-jinak dalam arena sastera negara.

Bagi saya sendiri, saya mahu menjadikan PPMN sebagai pentas untuk mengembalikan semangat untuk menulis, bukan sahaja aktif dalam kegiatan sastera dan kebudayaan. Kadang-kadang, terasa tidak layak pula menggelarkan diri sebagai penulis, seandainya sangat jarang menulis di media massa.

Banyak yang saya belajar di PPMN, tidak kiralah dari segi sastera itu sendiri, mahu pun juga "sasterawan" itu juga. Saya mempelajari bahawa pejuang penulis muda itu bukanlah bersifat individualistik, seperti mana pekerjaan menulis itu yang individualitik. Penulis muda harus perpadu sebagai satu suara supaya sastera tidak lagi dipandang sebagai milik orang-orang berusia semata-mata.

Apakah itu perjuangan dalam sastera? Ia bukan sekadar berjuang untuk memartabatkan sastera per se, tetapi harus juga diingat kembali bahawa inti sastera itu adalah nilai kemanusiaan, maka haruslah kita berjuang untuk menegakkan nilai-nilai yang benar. Sebab itulah timbul kata sakti, mata pena itu lebih tajam dari mata pedang!

Saya juga mempelajari bahawa penulis-penulis ini ada begitu banyak sifat dan ragamnya. Teringat kembali pesan Kak Hani. Ada jenis manusia yang boleh didekati, ada juga yang tidak wajar didekati. Senior-senior kami telah berpesan, agar jaga diri masing-masing sewaktu berada di perhimpunan-perhimpunan penulis. Maka, kami bertindak untuk berada dalam kalangan kami, bukan kerana tidak mahu bergaul, tetapi mengingati pesan abang kakak kami.

Benar, saya dapati ada penulis yang wajar didekati, yang harus kita gaul dan berkongsi ilmunya. Tetapi ada juga yang memberi pengaruh negatif dan cuba untuk menjatuhkan kita. Manusia - biasalah, terdapat bermacam-macam ragam.

Tak sangka pula, sikap kami berkumpul ini menjadi isu di kalangan penulis-penulis lain sehingga ditimbulkan dalam pembentangan pemakalah. Ya, tentu sekali kami boleh menerima teguran. Tetapi teguran itu haruslah membina dan tidak menjatuhkan - juga tidak dicetuskan oleh pemerhatian yang rambang.

Satu perkara yang harus difahami - MPR bukan sekadar sebuah organisasi, tetapi juga adalah sebuah keluarga. Kami saling menjaga ahli keluarga kami, bukan untuk berkelompok, tetapi untuk merapatkan ukhwah antara kami. Tambahan pula, sudah lama tidak berkumpul. Apa yang saya tidak boleh terima, apabila tuduhan dilemparkan dengan hujah-hujah yang dangkal.

Satu lagi yang saya perhatikan kali ini, perwakilan penulis muda yang tidak begitu melambangkan sastera kebangsaan. Saya melihat ramai muka-muka yang sama juga yang kerap menghiasi majlis-majlis sastera, ditambah dengan hanya beberapa orang penulis lain. Saya melihat amat sedikit penulis-penulis berbilang bangsa, berbilang negeri, malah berbilang bidang penulisan dalam perhimpunan ini. Saya tidak tahu sama ada mereka ini dijemput atau tidak, tetapi saya berharap perhimpunan selepas ini akan menghimpunkan penulis-penulis muda yang lebih menyeluruh – sesuai dengan statusnya sebagai sebuah perhimpunan kebangsaan.


Isu PPSMI juga hangat diperkatakan. Ternyata dalam hal ini, penulis-penulis muda begitu berpadu dalam menyatakan bantahan terhadap dasar yang merugikan Bahasa Melayu ini. Semoga suara-suara penulis muda mampu bergema di ruang-ruang media sehingga bergegar bangunan Kementerian Pelajaran untuk memansuhkan dasar tersebut.

Perhimpunan Penulis Muda Nasional begitu banyak memberi ilmu dan manfaat yang berguna buat saya dan para peserta. Kepada para pemakalah, tahniah dan halalkan segala ilmu yang telah dibentangkan. Buat penganjur – PENA, DBP, MPBM, dan ASWARA – syabas atas segala kerja keras anda dalam usaha menyatukan penulis muda tanah air.

Bak kata pepatah, dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Berkajang-kajang kertas sudah disedia, pena juga sudah berdakwat. Soalnya kini, hanya menunggu untuk kudrat fikiran beralih ke tangan, untuk menarikan pena di kertas kehidupan.

20 Mei 2009

Semarak Seni Budaya Di Kampus

Semalam saya telah menghadiri mesyuarat Unit Kebudayaan dan Kesenian UIAM di antara Pegawai Kebudayaan, Kak Liza dari Student Development Division dan para mainboard kelab-kelab naungannya serta ahli-ahli. Terdapat 12 kelab yang bernaung di bawah payung unit tersebut. Antaranya Gamelan, Cak Lempung, Angklung, Teater, dan juga kelab yang saya terajui - Kelab Puisi UIAM.

Antara inti pati utama yang dibincangkan semalam adalah kerisauan pihak unit kebudayaan akan kurangnya semarak seni dan budaya di kampus UIAM sekarang ini, meski pun ada begitu banyak kelab kebudayaan di UIAM. Kerisauan ini terzahir kerana kebanyakkan kelab kebudayaan dikatakan lebih banyak membuat program syok sendiri dan tidak begitu menyumbang kepada memasyarakatkan seni di kalangan warga kampus.

Bagi saya, ada betulnya bahawa kegiatan kebudayaan di UIAM sekarang begitu banyak tertumpu kepada persembahan-persembahan kebudayaan sahaja. Kak Liza juga menambah bahawa kalau kita hanya sibuk membuat show-show sahaja, kita tidak akan menambah apa-apa kemahiran lain lagi yang diperlukan sebagai seorang Mahasiswa. Kemahiran-kemahiran seperti kepimpinan, pengurusan, dan disiplin adalah sangat penting dan perkara inilah yang harus dipelajari oleh setiap ahli kelab, bukan sekadar hanya sekadar suka-suka bermain alat muzik tidak sudah-sudah.

Saya juga telah mencelah, dan menyatakan pendapat saya, bahawa antara sebab berlakunya masalah baik dari segi pengurusan dan pengendalian program dalam Unit Kebudayaan ini, adalah betapa kurangnya kesedaran akan asas perjuangan mereka. Masih ramai lagi yang melihat Seni dan Budaya ini sebagai suatu perkara yang amat lekeh dan tidak mampu menjana perkembangan dan kemajuan negara. Malah, antara anak-anak seni pun masih ramai yang hanya ingin bersuka ria dan berpesta-pestaan dengan mengikuti kegiatan kesenian, tanpa mereka sedar bahawa seni lebih daripada itu.

Kita harus menanam dan menyedarkan masyarakat terutamanya sekali warga kampus bahawa seni budaya itu adalah bukan kerja main-main, ada intelektual dan pemikiran di dalamnya. Malah ia juga boleh menjadi satu cara untuk kita menjalankan dakwah, kerana betapa seni itu amat dekat dengan jiwa manusia.

Hanya dengan memahami seni dan budaya dalam erti kata yang sebenarnyalah, baharu pengurusan kelab-kelab ini akan lebih terarah dan fokus dalam menjalankan tanggungjawab dan perjuangan masing-masing. Bagi saya, passion ataupun minat dan semangat itu adalah yang paling utama. Kalau semangat itu ada, nescaya meski pun apa dugaan yang mendatang, kegiatan seni dan budaya akan terus bersemarak di bumi UIAM.

18 Mei 2009

Penanti Tidak Dinanti

Tumbuh sejajar berpohon rapat,
ditiup semilir datangnya mendung;
jangan dikejar yang tidak dapat,
takut tercicir apa dikendong.

Keputusan Barisan Nasional untuk tidak meletakkan calon di DUN Penanti saya sifatkan sebagai sebuah tindakan yang tepat. Ia adalah keputusan yang berani, walaupun pasti akan mendapat tentangan kecil sebahagian kecil penyokong BN. Walau bagaimana pun, sebagai sebuah parti politik, BN harus membuat keputusan yang kadang-kala tidak popular, demi mempertahankan hak rakyat.

Daripada membazirkan wang rakyat, adalah lebih baik kerajaan Barisan Nasional menumpukan kepada pembangunan negara yang lebih memerlukan perhatian para pemimpin kita. Tentu sekali kita sebagai rakyat berasa amat lelah sekali dengan pilihanraya kecil yang sekarang ini selalu sangat diadakan. Kalau ADUN di kawasan itu meninggal dunia, tidak mengapalah. Kita tidak boleh berbuat apa. Namun, kebelakangan ini banyak sangat pilihanraya diadakan atas alasan yang tidak sepatutnya.

Rakyat telah memilih anda, duhai pemimpin. Maka lunaskanlah segala tanggungjawab anda kepada mereka-mereka yang telah memberikan amanah dan kepercayaan tersebut. Usahlah terus-terusan bermain politik dan merebut kekuasaan dengan cara sebegini. Lakukan tugas anda sebaiknya, dan raih kepercayaan rakyat sepenuhnya, nescaya dari situ akan datang keberkatan.

Biarkanlah kata-kata yang menuduh bahawa pengunduran BN daripada pilihanraya kecil ini adalah kerana tidak yakin akan memenangi kerusi tersebut. Biarkan sahaja. BN sebagai pemegang tampuk pemerintahan pasti saja ada agenda yang lebih penting. Agenda untuk melaksanakan segala janji-janji kepada rakyat. Ya, ini adalah masa untuk kita bekerja. Bukan lagi untuk bersengketa di pentas politik.
.
.
.

16 Mei 2009

Alam Terkembang Dijadikan Guru

Penakik pisau seraut,
Ambil galah batang lintabung,
Seludang dijadikan nyiru;
Setitik dijadikan laut,
Sekepal dijadikan gunung,
Alam terkembang dijadikan guru.

Pantun 6 kerat di atas merupakan sebahagian daripada perbilangan adat yang terdapat dalam Adat Perpatih di Negeri Sembilan. Saya begitu tertarik dengan pantun ini, terutamanya ayat akhirnya : Alam terkembang dijadikan guru. Betapa ayat ini mengajar kita untuk merenung seisi alam dan bumi, di mana pada setiap ciptaan tuhan itu, kita akan mendapat sesuatu yang bermanfaat untuk dipelajari.

Guru itu tidak semestinya seorang manusia, tetapi dalam erti kata yang lebih luas, setiap apa yang kita perhatikan di alam ini. Seperti kita melihat resminya padi, mengapa ia makin berisi, semakin pula ia tunduk? Tentunya kita dapat pelajari sesuatu daripada unsur alam ini.

Guru juga termasuklah semua yang telah memberi ilmu pengetahuan kepada kita, tidak seharusnya melalui pendidikan yang formal. Ibubapa adalah guru. Sahabat adalah guru. Sesiapa pun boleh menjadi guru. Pokoknya, terdapat perpindahan ilmu mahupun kemahiran yang diperturunkan.

Tidak hairanlah mengapa guru diibaratkan sebagai lilin - menerangi seluruh kehidupan kita. Setiap apa yang kita pelajari, sudah pasti ada orang yang mengajarnya. Kepada semua yang telah mendidik saya, sama ada ibubapa, keluarga; dan juga guru-guru sekolah rendah, menengah, matrikulasi, dan universiti, begitu juga dalam bidang sastera, budaya, undang-undang dan kehidupan - Terima Kasih atas jasa kalian semua. Semoga Allah jua yang membalas budi baik kalian, guru-guruku.

Selamat Hari Guru!
.
.
.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan