Subscribe

22 Januari 2012

Antara Minyak Wangi & Batu Permata

image

Selepas selesai peperiksaan akhir, saya ada banyak masa yang terluang. Jadi, Apiz pun mengajak saya untuk temankan dia dan kekandanya untuk membuka gerai jualan di UCSI. Apiz sekarang menjadi tokei jual minyak wangi manakala kekandanya menjual batu permata yang dijadikan aksesori perhiasan seperti gelang, rantai, dan anting-anting.

Seronok juga meluangkan seharian di UCSI memerhatikan gelagat manusia. Disebabkan kami bertiga menuntut di IPTA, maka banyak perbezaan juga kami dapati dari pemerhatian sehari suntuk terhadap para pelajar di IPT ini. Ramai pelajar di sini berasal dari luar negara. Tak ramai orang Melayu menuntut di sini.

Keseluruhannya, boleh tahanlah jualan di sini. Kalau yang benar-benar berminat nak beli, memang senang nak yakinkan mereka. Tambahan Apiz dan kekandanya memang pandai pengaruhi orang sebab mereka memang arif tentang produk yang dijual.

InsyaAllah, nanti saya pun ada rancangan menarik untuk anda yang mahu wangi sentiasa. Tunggu sahaja ya!

29 Oktober 2011

Deklamasi Puisi : Kashmir Black Day

imagePada tanggal 27 Oktober 2011, saya telah dijemput oleh teman saya saudari Nur Hafizah Ahmad Puzi yang mewakili Global Peace Malaysia untuk menyampaikan sebuah puisi berbahasa Melayu di Pesuruhjaya Tinggi Pakistan, Kuala Lumpur sempena Kashmir Black Day.

Asalnya, saya juga sedikit pelik apabila diminta untuk sampaikan puisi berbahasa Melayu di hadapan khalayak yang kebanyakannya bukan orang Malaysia. Namun, saya dimaklumkan oleh saudari Hafizah bahawa ia adalah permintaan daripada Pesuruhjaya Tinggi Pakistan sendiri.

Kashmir Black Day adalah sebuah hari untuk memperingati kemasukan tentera India ke dalam wilayah Kashmir. Sebelum ini, saya menyangka bahawa Kashmir hanyalah sebuah bandar sempadan di antara Pakistan dan India, tetapi apabila membuat kajian tentang isu ini untuk persediaan menulis puisi, baharulah saya tahu bahawa Kashmir sebetulnya adalah sebuah wilayah yang sangat besar dan menjadi rebutan India, Pakistan, dan China.

Bayangkan, hanya kerana Kashmir, India dan Pakistan telah berperang sebanyak 3 kali dan ratusan ribu nyawa manusia telah melayang hanya kerana pertikaian garis sempadan Kashmir. Tambah merumitkan keadaan apabila ia juga dibakar dengan sentimen keagamaan yang membuatkan bara api kemarahan sukar dipadam.

Untuk majlis ini, saya telah menulis sendiri puisi yang bertajuk “Doa Keamanan Buatmu Kashmir”  yang mengandungi perspektif saya tentang isu Kashmir dari kaca mata orang luar. Saya membayangkan Kashmir umpama seorang anak kecil yang mana kedua ibubapanya telah bercerai, dan Kashmir terperangkap dalam perebutan hak penjagaannya.

Pengisian program ini sebenarnya adalah ucapan daripada beberapa orang panel yang dijemput khas – dalam memberi penerangan mengenai isu ini secara lebih jelas. Selepas itu, acara disusuli dengan beberapa persembahan deklamasi, ucapan, nyanyian, dan sketsa pendek daripada beberapa orang anak muda – termasuklah saya yang mewakili suara anak muda Malaysia.

**Gambar di atas – Bersama Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia – Mr Masood Khalid.

23 Oktober 2011

Mengacara Majlis Perkahwinan Eda & Khai

image

Sudah lama rasanya saya berhajat untuk mengacarakan sebuah majlis perkahwinan. Perasaan mengemudikan sebuah acara dengan menabur ayat-ayat indah bersulam dengan pantun dan gurindam kepada para hadirin sememangnya sesuatu yang mengujakan.

Semalam saya telah mengacarakan majlis perkahwinan kekanda kepada teman saya dari UIAM, Esmael Yahya iaitu antara Eda & Khai. Bergandingan dengan saya, adalah teman seperjuangan saya iaitu Ika Gawus. Saya pernah mengacarakan Malam Kebudayaan Perkampungan Budaya di Kuala Pilah dengan beliau.

Majlis diadakan dengan meriahnya di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Alhamdulillah,  semuanya telah berjalan dengan selamat. Perjalanan majlisnya ringkas – tetapi saya pasti cukup bermakna untuk kedua mempelai. Bertemakan warna ungu-putih, rona ini ternyata membangkitkan aroma romantis dan manis.

InsyaAllah – saya merancang untuk lebih mendalami kemahiran pengacaraan majlis dengan penumpuan kepada majlis perkahwinan. Kepada yang ingin menggunakan khidmat saya – anda bolehlah berkunjung ke lot perniagaan saya di KahwinMall.com untuk maklumat lanjut.

Selamat berhujung minggu!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan