Subscribe

01 Januari 2013

Sekilas Dua Ribu Dua Belas

Tahun 2012 berlalu sudah, meninggalkan seribu satu kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Secara keseluruhannya, saya sifatkan 2012 sebagai satu persimpangan penting dalam hidup saya, apabila saya menamatkan satu perjalanan, dan memulakan satu lagi perjalanan.

Persimpangan yang dimaksudkan – mengakhiri zaman pengajian di menara  gading dan memulakan langkah pertama dalam kerjaya. Suatu mimpi yang diangan-angankan ketika di bangku sekolah, kini sudah menjadi nyata. Selagi tidak menamatkan pengajian dan memulakan kerjaya, selagi itu perubahan evolusi dari remaja ke dewasa belum sempurna.

Setelah bertahun-tahun meredah onak dan merempuh ombak, akhirnya tibalah saya berlabuh menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Undang-Undang dalam satu majlis konvokesyen pasti tidak dapat dilupakan. Saya teringat lagi, azam saya ketika memulakan pengajian, saya tak mahu mencuba pakai jubah konvokesyen selagi saya tidak berjaya menamatkan pengajian. Saat itu tiba juga.

Tahun ini juga menyaksikan saya menubuhkan QiyaSari Wedding Emcee bersama-sama rakan kongsi Syafiqah Gawus yang menumpukan kepada khidmat pengacaraan majlis perkahwinan, sebuah pengalaman yang cukup berharga kerana ia memberi saya peluang untuk bertemu dan berkenalan dengan pelbagai jenis orang dan menimba sangat banyak pengalaman. Februari depan, genaplah setahun kami berkecimpung dalam industri perkahwinan ini dan so far so good.

Satu lagi highlight tahun 2012 adalah penglibatan saya dalam Kelab Deklamator Malaysia sebagai Penolong Setiausaha, satu jawatan yang saya tolak pada mulanya, tetapi atas semangat dan dorongan, saya terima juga dengan semangat perjuangan dan perasaan ingin membalas budi kepada seni deklamasi puisi yang telah banyak mengubah hidup saya.

Saya harapkan segala pengalaman yang dikutip dari tahun 2012 ini akan menjadi satu azimat dan bekalan untuk tahun-tahun mendatang, demi sebuah masa depan yang lebih cerah dan bercahaya. Amin!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan