Subscribe

14 Mei 2011

Dari Hatyai Ke Krabi

image

Setelah kami daftar keluar dari hotel di Hatyai, cadangnya hendak sarapan pagi terlebih dahulu di Restoran Hamid yang saya ceritakan sebelum ini. Tetapi sayangnya sebab kami keluar awal pagi sangat, jadi tempat tu masih tutup lagi dan belum dibuka. Nak makan di tempat lain, takut pulak tak halal. Jadi Uncle Jeffri cadangkan kami teruskan dahulu perjalanan sebab dia tahu ada kedai makanan halal di sepanjang perjalanan. Namanya kedai Ded-O-Cha Restoran. Ada sapa-sapa tahu apa maksudnya?

image

Masa mula-mula kami nak buat pesanan, memang ada masalah komunikasi sikit. Macam ayam cakap dengan itik! Kelakar pulak tengok, padahal cuma nak pesan makan roti canai sahaja. Nasib baik lepas tu akak yang pakai tudung ungu di atas masuk campur dan tolong kami buat pesanan makanan. Akak tu pandai cakap Melayu. Biasalah, orang Melayu di selatan Thailand ada yang masih boleh berbahasa ibunda, ada jugak yang dah tak tahu, terutamanya yang generasi muda. :)

image

Meh kita makan-makan! Jemput makan ya kawan-kawanku. Boleh tahanlah rasa roti canai dan teh tarik dia. Memang la tak boleh nak dibandingkan kat Malaysia, tapi buat alas perut, semua benda boleh jadi sedap. Di sini jugak saya tengok ramai orang-orang Melayu berkumpul. Nampak gaya ada jugak pakcik-pakcik masjid.

image

Lepas dah kenyang, kami teruskan perjalanan. Nampak gambar Raja Thailand di atas? Di Thailand, gambar raja mereka memang merata-rata. Dari pintu sempadan lagi saya dah nampak gambar baginda terpampang di sana sini. Mereka memang sangat hormatkan raja mereka. Bezanya, di Thailand cuma ada seorang raja berbanding di Tanah Melayu yang mana setiap negeri ada raja yang berasingan. Oh ya, nama raja mereka ialah Raja Bhumibol Adulyadej.

Baiklah, jauh sebenarnya perjalanan dari Hatyai ke Krabi. Lebih kurang dalam 6 jam begitu. Kami ikut jalan lebuhraya, tapi lebuhraya mereka bukan macam di Malaysia. Di kiri kanan ada perkampungan, dan bila masuk hutan, memang nampak hutan dalam sungguh sebab jalan yang tak begitu luas.

image

Kadang-kadang ada jumpa sawah padi di sepanjang jalan. :)

image

Akhirnya jumpa persimpangan hendak ke Krabi.

image

Ni dah masuk bandar Krabi dah. Di sini akan mula nampak bukit-bukit macam dalam gambar di atas. Tu tandanya kita sudah sampai ke destinasi iaitu di pantai Ao Nang. Pemandangan lebih kurang macam nak ke Port Dickson, cuma ada tulisan-tulisan Siam tu.

Yeah, kita dah sampai ke Krabi, lebih tepatnya pantai Ao Nang!

10 Mei 2011

Singgah Semalaman Di Hat Yai

 IMG_0112

Ketika sampai di Hatyai, waktu sudah mulai menginjak ke petang. Di sini, zon masanya 1 jam lebih lambat dari Malaysia. Tapi, saya malas nak tukar masa di jam tangan saya, sebab rasa macam tak ada beza sangat. Kalau nak tahu masa sebenar, tolak 1 jam ke belakang saja. Kami antara keluarga pun masih ikut waktu Malaysia sesama kami.

Ketika sampai, masing-masing sudah kelaparan. Paling akhir kami berhenti makan sebelum itu adalah di Jerlun, Kedah untuk makan tengahari, itu pun hanya makan yang ringan-ringan sahaja. Jadi, sebelum kami daftar masuk ke hotel penginapan, kami parkir dahulu kereta dan pergi mencari tempat makan.

Mujur Uncle Jeffri pernah ke sini, maka dia pun membawa kami ke sebuah restoran makanan Muslim yang terletak tidak berjauhan dari hotel kami. Kalau jalan kaki, 5 minit sahaja boleh sampai. Namanya Restoran Hamid.

Menunya lebih kurang sama saja dengan di Malaysia. Mungkin sebab saya dah biasa makan di kedai Siam di Malaysia, jadi rasa berselera sungguh. Lihat menunya ada ditulis dalam Bahasa Melayu, disamping Bahasa Thai dan Inggeris.

IMG_0087

Malah, pramusaji di sini pun semua boleh cakap Melayu. Jadi, kami hanya berkomunikasi dalam Bahasa Melayu sebab kebanyakan mereka memang orang Melayu Thai. Ada seorang akak tu bila cakap nampak benar fasihnya, macam dialek orang Malaysia pula. Untuk pertama kali datang, boleh lah anda singgah di sini. Dari segi harga, bagi saya mungkin agak mahal jugak lah sebab rasanya banyak lagi kedai makan yang jauh lagi murah. Tapi apa salahnya mencuba.

IMG_0105

Boleh tahan jugalah makanan di sini. Kalau dah di negera Thailand, apa yang wajib pastilah nak cuba makan Tom Yam di negera kelahirannya. Saya perhatikan Tom Yam di sini agak jernih berbanding di Malaysia yang agak pekat dan berminyak. Betulkah? Atau kebetulan saya pesan Tom Yam jenis yang lain? Haha.

Baiklah, gendut gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati. Lepas perut dah terisi, kami kembali ke hotel. Nama hotel kami adalah Diamond Plaza Hotel. Hotel ini kami dah tempah terlebih dahulu melalui internet. Boleh tahan harganya. 1 malam RM 80.

image

Beginilah keadaan lobi hotel ini. Dari segi connection internet, hotel ini hanya menyediakan sambungan wifi percuma di lobi hotel ini, manakala kalau hendak wifi di bilik, ada bayaran yang lain. Tapi, saya tak tahu pun ada wifi berbayar di bilik sampailah kami bertolak keluar pada esok harinya.

image

Saya terlupa pula hendak ambil gambar bilik, tetapi boleh tahanlah jugak. Kami ambil dua bilik berkembang yang dihubungi oleh sebuah connecting door. Di televisyen, ada banyak sungguh saluran yang ada sampai rambu mata hendak pilih yang mana. Bila saya kira, ada lebih kurang 100 saluran televisyen, yang sesetengahnya saya tak pernah dengar pun sebelum ini. Selain stesen TV Thai, ada juga dari Asia, dan dari Barat. Ada juga saluran TV3 tersedia. Bila tonton, rasa macam masih ada di Malaysia.

image

Ini pemandangan bandar Hat Yai dari bilik hotel kami. Bercerita sedikit tentang tempat ini, Hat Yai adalah sebuah bandar metropolitan yang terbesar di Selatan Thailand, dan letaknya di dalam provinsi Songkhla.  Majoriti penduduk di sini adalah masyarakat Melayu- Islam dan sedikit etnik Cina.

Saya tak sempat sangat hendak meneroka bandar ini disebabkan kami singgah di sini kurang dari 24 jam. Daftar hotel, makan, tidur, jalan-jalan sedikit, dan kemudian teruskan perjalanan. Saya jalan-jalan pun sekitar kawasan di sekeliling hotel. Sewaktu malam, sempat pergi ke 7-11 berhampiran untuk beli barang makanan sebab masing-masing sedang kebuluran. Hendak beli sebarang-sebarang, memang tak berani takut tak halal.

Kedai makan di hotel kami pun tak halal sebab bila saya selak menu, terang-terang ada “pork chop” di situ. Jadi, kalau beli makanan di mana-mana, pastikan dulu halal atau tidak. Tapi biasanya kalau itu restoran Muslim, tak perlu risau.

Okay, selepas ini saya akan sambung kisah perjalanan dari Hatyai ke Krabi!

09 Mei 2011

Bercuti ke Tanah Siam : Di Sempadan Bukit Kayu Hitam

image

Siam oh Siam!

Saya memang tak pernah terfikir hendak ke negara Thailand, sebab biasanya saya hanya merantau ke negeri-negeri selatan dan jarang ke negeri utara, apa lagi meredah sempadan Malaysia-Thailand untuk ke seberang sana.

Idea untuk ke sana diberikan oleh ayahanda, yang dipelawa oleh salah seorang rakannya untuk mengembara ke Thailand, secara lebih spesifiknya di Krabi. Paling menarik, kami ke sana menaiki kereta. Asalnya kami merancang untuk berkonvoi dan disertai oleh 3 buah keluar – yakni 3 kereta. Tapi, akhirnya cuma dua keluarga sahaja.

IMG_0017

Perjalanan dimulakan awal pagi Khamis 28 April 2011. Kami bertolak dari rumah sejurus selepas solat subuh. Kemudian, berhenti di stesen jejantas R&R Sungai Buloh untuk sarapan pagi dan berkumpul dengan Uncle Jefri dan keluarganya, yang juga turut menemani kami dalam perjalanan ini. Uncle Jefri bawak serombongan besar anak-anaknya yang berjumlah 5 orang. Semuanya masih kecil-kecil lagi. Ditambah dengan isteri beliau dan seorang pembantu rumah.

Dipendekkan cerita, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bukit Kayu Hitam di Kedah mengambil masa lebih kurang 6 jam. Itu pun setelah ditolak oleh beberapa perhentian kami di sepanjang lebuhraya Utara-Selatan.

Untuk pengetahuan, ini adalah tempat yang paling utara sekali saya pernah pergi di semenanjung Malaysia. Dulu singgah di Perlis pun cuma jejak Kangar saja. Malah pergi Kelantan pun setakat singgah di Kota Bahru, tak pergi lagi atas dari itu.

IMG_0019

Sampai di Bukit Kayu Hitam, kami harus membeli insuran pihak ketiga dahulu sebelum masuk ke sempadan Thailand. Ini adalah peraturan kerajaan Thailand supaya jika ada apa-apa berlaku di sebelah sempadan sana, kami ini dilindungi. Tambahan, insurans di Malaysia tidak dapat lindungi kemalangan di sana, secara amnya.

Untuk tahu kadar bayaran insurans, boleh cuba klik gambar di bawah ini.

IMG_0026

Selesai membeli insurans, kami bergerak ke pintu sempadan negara. Ada dua peringkat yang harus dilalui. Pertama di sebelah sempadan Malaysia, yang mana pihak Imigresen Malaysia akan memeriksa pasport kami dan melepaskan kami ke sempadan Thailand. Selepas kami lalu Imigresen Malaysia, saya lihat ada satu kompleks beli-belah bebas cukai di pertengahan sebelum sampai ke kawasan pintu Thailand. Tapi kami tak singgah ke sana.

imageimage

Di sinilah pos sempadan antara Malaysia-Thailand yang menempatkan pihak imigresen negera Thailand. Di sini, anda sudah mula boleh nampak tulisan Siam dan gambar raja mereka. Namun, masih banyak lagi tulisan dalam Bahasa Melayu terpapar termasuklah di papan-papan tanda mereka. Oh lupa, nama tempat ini Sadao.

image

Ketika di sini, kita dikehendaki untuk parkir kereta terlebih dahulu, dan turun untuk dapatkan pengesahan dan cop memasuki Thailand dari pihak imigresen. Semua orang harus turun, kerana mereka akan mengambil gambar kita di situ. Meh kita lihat keadaan di sini.

IMG_0067

Waktu ini, saya bukan main beria suruh adik saya ambil gambar tempat ini dan kami berposing sakan. Semua orang yang beratur dok tengok kami. Saya fikir tak kisah sangat sebab bukan selalu pun datang sini. Jadi kamera DSLR kami pun di’tembak’ sana dan sini.

Sampailah bila saya nak pergi ke tempat parkir kereta, baru la saya perasan ada tanda tak boleh ambil gambar. Aduhai, patutlah ramai orang tengok saja kami. Nak buat macam mana kan? Buat selamba sahajalah. Ye tak ye jugak, dah namanya pejabat Imigresen, mana boleh ambil gambar sesuka hati. Layankan saja. :)

image

Urusan di sini tidaklah lama sangat. Malah saya rasa pintu sempadan macam tak begitu ketat. Kereta yang masuk tidak diperiksa apa ada di dalamnya. Orang yang ada di dalam kereta pun tidak diperiksa. Pegawai mereka hanya lihat begitu-begitu dan benarkan kami masuk. Iyalah, tak bolehlah terlalu ketat kerana mungkin risiko di sini tak begitu tinggi.

Sejurus masuk sempadan, kami terus berada di dalam pekan Sadao. Gambar nanti akan saya muat naikkan. Selepas ini, ada lagi 2 jam lagi perjalanan untuk ke persinggahan kami di Hatyai. Kami bermalam di sana semalaman sebelum bergerak ke Krabi.

Bersambung di Hatyai!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan