Subscribe

25 Mac 2011

Menelusuri London Dari Bawah Tanah

image

Entri kali ini ringkas sahaja. Sekadar hendak merakamkan pengalaman menaiki the London Underground atau juga dipanggil tube di sini. Caranya lebih kurang sahaja dengan menaik LRT di Kuala Lumpur. Cumanya, ada perbezaan yang menarik untuk diperhatikan.

Ketika waktu kerja, saya lihat manusia lalu lalang di LRT ini seperti robot. Memang sebiji sungguh. Dari laluan masuk, sampailah ke lorong-lorong menuju ke gerabak, semua manusia bergerak tanpa berhenti. Kalau berhenti, sudah pasti akan dilanggar orang dan menyebabkan kesesakan. Saya percaya, di KL juga mesti sesak ketika waktu kerja, tapi tentu tak gila seperti di London.

image

Kami perlu beli tiket dahulu sebelum naik tren. Urusan pembelian tiket semua dikendalikan oleh adik saya, sebab dialah tuan rumah yang dah ada pengalaman di sana. Jadi, saya tak dapat nak terangkan dengan lebih lanjut tentang harga, tiket, prosedur, dan sebagainya. Cuma saya dengar kalau untuk pelancong, amat berbaloi kalau gunakan Oyster Card. Ia lebih kurang macam kad yang boleh diisi semula dan boleh guna sepanjang hari. Memang berbaloi kalau nak beli sebab tube adalah cara pengangkutan yang paling cepat dan murah di sini.

image

Seperti biasa, harus lalui pagar ini sebelum melangkah masuk ke kawasan menunggu gerabak.

Di London, sistem undergroundnya lebih kompleks dari di Kuala Lumpur. Kalau di KL, laluan LRT hanya ada dua iaitu laluan menggunakan LRT Putra dan LRT Star. Lain pula ceritanya di London, apabila ada lebih kurang 16 laluan kesemuanya! Maksudnya, anda kena betul-betul kaji peta laluan itu dahulu sebelum naik, kerana mungkin anda perlu singgah di beberapa stesen untuk menukar laluan anda.

Tapi tak perlu risau. Kalau sudah biasa, nak ke hulu hilir di sini senang sahaja sebab boleh rujuk kepada peta jika tak pasti. Alah, lebih kurang kita turun di stesen Masjid Jamek di KL untuk bertukar antara LRT Star dan Putra. Bezanya, kita tak perlu keluar dari stesen dan beli tiket yang baru. Boleh terus ke landasan gerabak tersebut melalui laluan penghubung.

Berikut adalah beberapa stesen yang saya singgah yang sempat saya bergambar:

image

Stesen King’s Cross St. Pancras

image

Stesen Oxford Circus

image

Stesen Baker Street

Haha, nampak sangat saya ni pelancong asing bila orang tengok beriya-iya bergambar dengan papan tanda di atas. Tujuannya semata-mata nak buat entri di blog ini sebenarnya. :)

Oh, ketika berada di landasan, ada diletakkan iklan-iklan di dinding kawasan landasan. Ini antara iklan yang saya temui:

image

Oh, ada juga iklan yang memaparkan orang Islam di sini. Bangga sekejap. Saja mahu berkongsi dengan anda.

Baiklah setakat ini entri kali ini.

Kita berjumpa lagi di stesen berikutnya! :)

23 Mac 2011

Ke Muzium Terbesar Di Dunia!

 

image 

Destinasi yang wajib untuk dikunjungi kalau anda ke Paris pastinya Muzium Louvre atau Musee du Louvre, yang dikatakan sebagai muzium yang terbesar di seluruh dunia! Melihat senibinanya sahaja, kita akan terpesona dengan reka bentuknya yang sangat teliti.

Apa yang menarik tentang muzium ini adalah apabila anda melihat bangunan ini dari luar, anda tak akan nampak apa-apa tanda yang ini adalah sebuah muzium. Langsung tiada papan tanda atau apa sahaja indikasi. Melalui pemerhatian, saya percaya ia memang disengajakan untuk mengekalkan keaslian senibina bangunan ini. Tentu sahaja kalau ada apa-apa papan tanda, ia akan sedikit mencacatkan pemandangan bangunan ini. Telahan saya mungkin.

image

Nak masuk ke dalam muzium ini harus memasuki dahulu piramid kaca di bahagian tengah muzium ini. Apa yang menarik, lobinya terletak di tingkat bawah ruang legarnya. Anda harus beratur dan diperiksa dahulu oleh pegawai keselamatan sebelum boleh masuk ke bahagian bawah muzium ini. Kalau hendak sekadar turun sahaja, tak perlu nak bayar apa-apa. Boleh terus turun sebab kaunter pembayarannya ada di bawah.

image

Beginilah keadaan di bawah. Tiket untuk seorang dewasa adalah lebih kurang 9 Euro. Waktu itu, dalam RM 50 juga. Ada beberapa sayap dalam muzium ini, jadi kawasan lobi ini adalah kawasan pertengahan untuk ke sayap-sayap tersebut. Tiket itu harus kita simpan pada setiap masa kerana perlu ditunjukkan kepada pegawai apabila masuk ke bahagian sayap-sayap berkenaan.

image

Muzium ini sebenarnya banyak mempamerkan hasil-hasil seni dari pelbagai era dan empayar. Pamerannya mengkhusus kepada barang-barang kesenian dan bernilai sejarah. Jadi, kalau anda orang yang minat benda-benda begini, bolehlah datang sini. Kalau tidak, sekadar jamu mata saja sudah cukup.

image

Tempat ini sangat-sangat besar sebenarnya. Kalau nak betul-betul melawat dari satu galeri ke satu galeri, perlu ambil masa sehari suntuk untuk keliling seluruh bangunan dan melihat barang pamerannya. Kalau macam kami ini yang datang sekadar nak singgah, memang tak sempat nak tengok semua. Kami masuk pun menonong saja dari satu aras ke aras yang lain.

Oh lagi satu, pastikan korang dapatkan peta bangunan ini yang disediakan secara percuma sebelum masuk ke ruang pameran sebab anda memang boleh sesat bila masuk. Sudahlah banyak tingkat, kemudian ada banyak sudut-sudut yang susah untuk kita faham laluannya. Saya sampai tersesat sebab nak mencari tempat keluar. Alih-alih sampai ke tempat yang sama juga. Jadi, peta sangat penting!

image

Kita boleh ambil gambar dalam muzium ini, tak seperti kebanyakan muzium lain. Banyak sangat gambar yang kami ambil, tapi kebanyakannya gambar kami-kami sahajalah sambil bergaya dengan barang pameran.

Macam saya kata tadi, memang kami jalan jamu mata saja ke sini. Kalau kamu betul-betul minat, pasti akan hargai lawatan ke sini. Tapi, kalau minat pun, saya tak rasa akan sanggup tengok semua. Banyak!

image

image

image

Hah ini lawatan di kawasan Mesir Purba. Selain itu, ada juga bahagian Mesopotamia, Itali, Perancis, Inggeris, Parsi, dan banyak lagi yang dipamerkan di sini. Kiranya, barang pamerannya memang datang dari seluruh dunia! Yang saya perasan, pamerannya lebih mengkhusus kepada zaman-zaman purba. Tak jumpa pula pameran dari zaman yang lebih moden.

image

Di sini ada juga bahagian pameran Seni Islam, tapi sayangnya sewaktu saya pergi, bahagian ini ditutup pula untuk dikemaskini. Aduhai rasanya tempat ini sahaja yang saya minat nak pergi, tapi tutup pula tak ada rezeki nak tengok.

Oh ya, lupa pula nak cakap yang pameran dari Asia Timur pun ada di sini. Tercari-cari juga kalau ada pameran dari alam Nusantara, tapi seperti biasa, tak ada. :)

image

Beginilah keadaan orang yang datang melawat. Memang penuh! Waktu ini memang musim panas, jadi ramai yang ambil kesempatan sempena cuti untuk pergi melancong ke Eropah.

Apa yang saya perasan, dalam budaya mereka memang banyak dibina patung-patung. Patung replika manusia memang banyak ditemui di sini, selain arca dan lukisan. Ternyata, masyarakat barat memang menggunakan kesenian untuk memelihara warisan sejarah dan intelektual mereka.

image

Ini wajah kepenatan selepas banyak berjalan di sini. Berjalan pun, tengok patung, tengok arca, tengok lukisan. Sampai dah tak tertengok. Jadi, di bahagian lukisan ini ada kerusi diletakkan untuk mereka yang hendak menghayati seni lukisan ini dengan lebih tenang. Tapi saya duduk dan menghayati kepenatan saya. Haha.

image

Ramai orang lalu lalang. Kalau tak silap, di sini adalah bahagian lukisan dari Itali. Cuba perhatikan cara mereka gantung lukisan itu. Siap bertali dari atas.

image

Hah lukisan ini sangat-sangat besar. Bezakan antara saiz badan saya, dan saiz lukisan ini. Lupa pula apa nama lukisan ini, tapi memang sangat terkenal. Kagum dengan pelukisnya yang dapat melukis sesuatu yang sangat besar dan sangat teliti. Tentunya sebuah adikarya!

image

Ya kita sudah sampai ke tujuan yang dinanti. Sebenarnya tujuan sebenar-benar saya ke Muzium Louvre ini sebab hendak tengok lukisan Mona Lisa dari dekat. Di sinilah mereka simpan lukisan yang paling popular seluruh dunia nasil karya Leonardo Da Vinci ini.

Sangat ramai orang berebut-rebut nak tengok lukisan ini. Entah yang asli entahkan tidak. Malah ada pegawai keselamatan yang bertindak mengawal lukisan ini sahaja!

image

Impian sudah dilaksanakan.  Dalam ramai-ramai orang itu, dapat juga menyelit masuk dan ambil gambar. Ada gambar yang lebih elok sebenarnya, tapi tak jumpa pula sekarang. Jadi, tataplah gambar ini. Azree Ariffin & Mona Lisa. :D

image

Lihatlah siling bangunan ini. Silingnya juga begitu teliti dan dihias indah. Saya rasa, hiasan ini memang dari dahulu sudah ada, tapi sudah pasti dijaga dan dipelihara. Oh tengok siling saja ya, abaikan model tak bertauliah dalam gambar ini. :)

 

image

Baiklah sudah selesai pengembaraan kita. Selepas keluar dari piramid kaca itu, kami lepak sebentar di kawasan sekitar yang ada kolam air pancut. Ramai yang berehat di situ, sambil menikmati angin petang, selepas terik mentari pada waktu tengahari.

Saya pun mencelupkan kaki ke dalam kolam tersebut, meniru lagak orang-orang di situ. Ah, teramat menyegarkan! Selepas seharian berjalan, dapat merendam kaki ke dalam air sejuk itu memang nikmat sangat-sangat.

Baiklah, beri masa untuk saya berehat sebentar untuk kita sambung perjalanan kita ya?

Wassalam!

07 Mac 2011

Risau, Risau, Risau

Aku perasan satu benda minggu ini. Aku kuat risau.

Sampai kadang-kadang benda yang tak perlu dirisaukan pun menjadi satu beban di pundak ini. Dari sekecil-kecil sehingga sebesar-besar, sehingga aku sedar bahawa perasaan itu sebenarnya ibarat satu halangan kepada mencapai sebuah produktiviti.

Bila masuk kelas, risau pasal ujian pada malam harinya. Lantas tak dapat tumpukan perhatian.

Bila ulangkaji pelajaran, risau pasal tugasan yang masih belum disiapkan.

Bila nak pergi ke tutorial, risau kalau pensyarah tiba-tiba tanya soalan-soalan yang membuatkan aku tergamam hendak jawab.

Ya, hidup memang penuh dengan kerisauan. Hidup aku khususnya. Tapi, apa yang membuatkan aku tersedar tentang perkara ini adalah tiap kali aku selesai sesebuah tugasan, aku akan terfikir kembali, alangkah baiknya jika pada awalnya dahulu aku tidak bazirkan masa dengan merisaukan perkara yang bukan-bukan. Pasti aku dapat buat tugasan ini dengan lebih bagus.

Hidup terlalu singkat. Kalau hendak diisi dengan rasa risau dan bimbang yang tak bermakna, akhirnya tak akan ke mana. Kalaulah kita dapat memprogramkan hati ini, dan tentukan apa perasaan apa yang kita mahu rasa, kan?

Ada perkara, memang kita perlu risau. Contohnya, kalau barang berharga kita hilang. Takkanlah kita mahu tersenyum lebar dan buat tak endah, kan? Perasaan risau ketika itu akan menjadi satu tenaga positif yang akan memacu diri berfikir di mana kali terakhir kita menemui barang tersebut.

Itu risau yang positif. Tapi, apa yang ingin aku katakan sekarang adalah rasa risau yang negatif, yang akhirnya menguasai diri. Lantas terjadilah satu simptom – breakdown yakni putus asa. Resah, gundah, segalanya bersatu dalam diri. Akhirnya, tak ada satu kerja pun jalan.

Ini satu perkara yang harus diatasi segara. Dalam apa cara sekali pun.

InsyaAllah boleh!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan