Subscribe

31 Januari 2011

Kunjungan ke Pejabat PBB di Geneva

IMG_0079

Sebab utama mengapa saya memilih untuk ke Geneva, Switzerland sebagai salah satu daripada destinasi kunjungan dalam Kembara Eropah 2010 adalah kerana keinginan untuk menjejakkan kaki ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang kedua terbesar selepas di New York, dan tempat tertubuhnya The League of Nations, yang menjadi perintis kepada kewujudan PBB.

Atas semangat subjek Public International Law yang usai saya ambil di universiti, keinginan untuk melihat sendiri bagaimana proses membuat sesebuah international treaty telah membuatkan saya menjadi begitu teruja apabila berpeluang ke Geneva. Pastinya, Papa & Ameer kali ini menjadi pengikut yang setia pula kerana perjalanan ke sini adalah agenda saya.

IMG_0081 

Pejabat PBB terletak tidak jauh dari pusat bandar Geneva. Untuk ke sana, kami mengambil bas yang mana perjalanannya mengambil masa lebih kurang 15 minit. Semakin menghampiri pejabat PBB ini, saya lihat begitu banyak pejabat-pejabat pertubuhan antarabangsa yang bernaung di bawah payung PBB. Ternyata tempat ini menjadi tumpuan seluruh dunia. Macam-macam jenis manusia boleh kita lihat.

Perlu juga saya nyatakan di sini, kawasan pejabat PBB ini sangat besar, jadi untuk masuk dan menyertai lawatan, anda harus masuk melalui pintu Pregny Gate – Palais Des Nations.

IMG_0012 (2)

Kawalan keselamatan di sini sangat ketat, seperti mahu menaiki kapal terbang pula apabila kita harus membawa dokumen pengenalan diri yang sah, sebaik-baiknya pasport untuk diberi kebenaran memasuki kawasan pejabat PBB ini. Barang-barang kita juga akan diperiksa untuk memastikan tiada barang terlarang yang dibawa masuk. Sudah nama pun tempat ini milik pertubuhan antarabangsa, maka penjagaan keselamatannya mestilah sangat terperinci.

IMG_0015 (2)

Lawatan berpandu atau guided tours di sini disediakan dalam Bahasa Inggeris, dan beberapa bahasa lain, mengikut kepada kekosongan. Bayaran yang dikenakan untuk orang dewasa adalah CHF 12 untuk orang dewasa, manakala CHF 10 untuk pelajar universiti, warga emas dan orang kurang upaya. Pelajar sekolah pula dikenakan bayaran CHF 7. Mereka telah mengenakan bayaran CHF 10 kepada saya dan Ameer, tetapi tidak pula meminta bukti kami sebagai pelajar universiti. Kalau tidak, nak juga saya tayang kad matrik UIAM saya. Haha.

Saya kagum sungguh dengan receptionist yang di atas ini. Beliau boleh bertutur dalam banyak bahasa, bergantung kepada pelanggan yang datang. Sekejap dalam Bahasa Perancis, kemudian bertukar Bahasa Sepanyol. Bila tiba dengan kami pula, bercakap Bahasa Inggeris. Pastinya, kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa sangat penting di sini, memandangkan kita akan bekerja dengan orang dari seluruh dunia.

IMG_0021 (2)

Selepas menunggu beberapa ketika, akhirnya kami memulakanlah lawatan kami dengan diiringi seorang pegawai PPB. Kalau tidak silap, ada lebih kurang 20 orang dalam kumpulan kami. Rata-rata orang putih dari Amerika Syarikat. Ada juga sebuah keluarga dari Asia Selatan yang membawa anak-anak kecil. Sepanjang lawatan, budak-budak itu selalu buat bising sampaikan ditegur oleh pegawai PBB itu. Saya pun dah lupa apa nama pegawai ini.

IMG_0025 (2)

Pegawai tersebut telah menerangkan kepada kami struktur organisasi PBB. Terus saya teringatkan Professor Ghafur, pensyarah Public International Law di UIAM yang telah mengajar saya mengenai PBB. Ada banyak cabang sebenarnya dalam PBB. Ia beribu pejabat di New York, tetapi juga ada cawangannya di Geneva, Nairobi, dan Vienna.

Selain itu, ada beberapa agensi PBB di serata dunia yang bertindak menguruskan hal-hal berkaitan bidang-bidang tertentu. Sebagai contoh, United Nations’ Scientific, Education & Cultural Organization (UNESCO) letaknya di Paris, Perancis.

Apa yang menarik tentang Pejabat PBB ini – atau lebih dikenali sebagai Palais Des Nations, adalah hiasan dalamannya yang disumbangkan oleh negara-negara ahli dari seluruh dunia. Antaranya adalah permaidani, lukisan, arca, kertas dinding, dan pelbagai lagi.

Berikut antara gambar-gambar yang sempat saya tangkap :

IMG_0026 (2)   IMG_0029 (2)IMG_0013IMG_0052IMG_0065

Saya tak jumpa pula apa-apa hasil seni dari Malaysia. Tempat ini besar, jadi kami hanya lihat pameran-pameran di sepanjang lorang yang kami lalu sahaja. Apa yang paling dekat dengan Malaysia pun, adalah replika di atas yang disumbangkan oleh Thailand. Kalaulah saya terjumpa barangan dari Malaysia, pasti berasa bangga ya amat dan akan ambil gambar banyak-banyak.

IMG_0032 (2)

Lawatan diteruskan pula dengan menuju ke bangunan Palais Des Nations yang asli, tempat di mana ditubuhkan League of Nations, sebuah pertubuhan yang muncul lebih awal daripada PBB yang kemudian dibubarkan, lantas memberi ruang untuk mewujudkan PBB yang seperti mana kita tahu hari ini.

IMG_0020

Beginilah rupa bangunan Palais Des Nations dari hadapan. Berdiri megah di bumi Geneva, sebagai lambang keamanan dan penyatuan semua negara-negara yang menjadi ahlinya. Ada banyak taman di kawasan ini, tetapi semuanya adalah tapak larangan bagi para pengunjung. Kami diberitahu bahawa pokok-pokok dari seluruh dunia ditanam di sini. Tetapi, tidak berpeluang melihatnya kerana lawatan ini hanya membawa kami ke bahagian dalam bangunan.

Sepanjang lawatan, kami dibawa ke tiga buah bilik persidangan. Ketika kunjungan, tidak ada persidangan yang besar sedang berlangsung. Mesyuarat dari seluruh dunia sering berlangsung di Palais Des Nations ini yang mempertemukan wakil kerajaan dari seluruh dunia berbincang untuk menentukan polisi dan undang-undang untuk kepentingan bersama.

IMG_0045

Ini  adalah The Assembly Hall, bilik persidangan yang terbesar sekali di sini. Apabila melihat tempat ini buat pertama kali, rasa takjub sungguh kerana suasanya seperti terkesan aura yang sangat hebat. Di sinilah keputusan-keputusan penting yang melibatkan seluruh dunia dibuat. Ini belum lagi ke New York lagi. Kalau di sana, pasti auranya lebih terasa! Saya ada juga cuba duduk di kerusi itu untuk mengetahui perasaannya. Mana tahu, lepas ini saya akan kembali sebagai wakil kerajaan Malaysia. Mudah-mudahan!

IMG_0005

Ini pula bilik persidangan yang lama. Kelihatan sangat 50-an. Disebabkan itu, kami hanya berpeluang melihat dari bilik pandang di atas, tempat pemerhati. Saya cuba membayangkan kalau tempat ini dipenuhi dengan para perwakilan.

Kami diberitahu bahawa bahasa rasmi PBB ada 6 iaitu Bahasa Inggeris, Perancis, Cina, Rusia, Sepanyol, dan Arab. Para perwakilan boleh memilih untuk berbicara dalam mana-mana 6 bahasa di atas, dan ia akan juga diterjemahkan ke dalam 6 bahasa itu. Jika perwakilan mahu bercakap dalam bahasa selain dari yang di dalam senarai, mereka harus menyediakan penterjemah sendiri.

Agak-agaknya, bilakah Bahasa Melayu akan diangkat menjadi bahasa rasmi PBB? Usaha harus digerakkan oleh Malaysia, Indonesia, Brunei, & Singapura agar hal ini boleh menjadi kenyataan. Langkah pertama, mungkin menjadi bahasa rasmi ASEAN?

IMG_0056   IMG_0061

Yang di atas ini pula adalah The Human Rights & The Alliance of Civilization Room. Apa yang sangat menarik mengenai bilik ini adalah silingnya yang dihiasi hasil kerja Miquel Barcelò dengan menjadikan bilik ini seperti sebuah gua yang ada batu-batuan stalaktit bermacam warna, dan sebuah lautan. Anda boleh baca lebih lanjut mengenainya di sini.

IMG_0070

Begitulah serba sedikit kunjungan saya ke PPB Geneva. Kalau anda berpeluang ke Geneva, teramat rugi kalau tidak mengunjunginya – terutamanya bagi yang meminati bidang perhubungan dan undang-undang antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, bolehlah ke Laman Web Rasminya.

Sekian!

19 Januari 2011

Buckingham Palace

image

Persinggahan seterusnya, Istana Buckingham – kediaman rasmi keluarga diraja Britain. Antara lokasi yang wajib dikunjungi di London. Empayar British yang dahulunya pernah menjajah hampir satu pertiga dunia telah mencipta satu legasi yang menakjubkan untuk dipelajari. Di sinilah tempat bersemayamnya Ratu Elizabeth II, sang ratu pewaris takhta sejak zaman berzaman. Kalau ditelusuti susur galur keturunannya, sudah mencapai ribuan tahun.

Saya pernah menulis sebuah ulasan tentang filem “The Other Boleyn Girl” yang mengisahkan mengenai Raja Henry yang telah menjatuhkan hukuman mati kepada permaisurinya sendiri. Anakandanya adalah Elizabeth yang pertama.

image

Apa yang menarik di sini adalah upacara pertukaran pengawal istana yang diadakan beberapa kali sehari. Upacara tersebut dinamakan Changing of The Guard. Bayangkanlah para pengawal ini mampu untuk berdiri dalam keadaan tegap dan siap sedia selama berjam-jam lamanya tanpa boleh duduk atau bergerak. Kalaulah kita, bolehkah melakukan aksi yang sedemikian? Dahulu saya pernah terbaca bahawa Regimen Askar Melayu Diraja juga pernah berkawal di sini dalam sebuah program pertukaran.

image

Lihat tiang bendera di atas itu? Kalau bendera ada dinaikkan, itu bermaksud bahawa Ratu/Raja sedang berada di kediamannya di dalam Istana. Kebetulan, semasa saya berada di sana, bendera memang sedang dinaikkan. Tapi, tidak dapatlah saya bertemu dan menghadap dengan Ratu pula. Untuk lebih maklumat mengenai Istana Buckingham ini, bolehlah terus ke laman ini.

Sekian.

Di Mana Dia Manusia Sempurna?

Menyusuri lembah kehidupan, kita akan bertemu dengan macam-macam ragam manusia. Ada yang begitu, ada yang begini. Begitulah indahnya ciptaan Tuhan yang maha esa. Mampu menciptakan makhlukNya dalam pelbagai jenis dan rupa – lambang kebesaranNya.

Saya suka memerhatikan kerenah mereka yang bergelar manusia, sebab saya dapat melihat tentang hakikat sebuah kehidupan. Kita harus lihat manusia lain dengan mata hati, tanpa rasa prejudis dan kritis – kerana tiap yang terpancar dari perwatakan seseorang itu – pasti ada sejarahnya yang tersendiri.

Dan seperti yang saya katakan sebelum ini, tidak ada manusia yang sempurna. Baik dari segi tingkah dan laku, juga paras dan rupa. Oleh itu, terimalah insan lain seadanya. Setiap kali kita bersua dengan rakan yang baru – saya selalu mengingati diri sendiri bahawa orang itu juga manusia biasa – dengan keupayaan yang berbeza-beza dan harus kita terima dia seadanya.

Apabila berhadapan dengan manusia yang ‘sukar’ – begitulah apa yang selalu saya ingatkan kepada diri sendiri. Meski pun dalam hati ini terasa betapa pedihnya apabila dilayan seperti orang yang tiada perasaan – itu sebenarnya adalah kelemahan dia. Bukan kelemahan saya.

Jangan jadikan kelemahan orang lain untuk menjaga adab dan tatasusilanya sebagai alasan untuk kita sendiri menjadi sedih dan berduka lara. Hal ini sering terjadi apabila saya selalu tertanya-tanya apakah kesalahan dan kesilapan diri sendiri sehingga mereka ‘terpaksa’ membuang budi bahasa mereka ke dalam tong sampah?

Biarlah, mereka dengan kelemahan mereka itu. Kita harus terus kekal menjadi manusia berjiwa besar. Kadang-kadang, sifat mereka itu bukan kerana interaksi dengan kita, tetapi atas sebab kelemahan mereka sendiri – menjaga adab menjaga sifat. Tak perlulah membuang masa untuk perkara yang bukan-bukan.

Mungkin di situlah terletaknya kunci kemaafan, membuka pintu jiwa agar dendam kesumat tidak terperangkap di dalam hati. Jangan pernah meminta orang lain untuk jadi sempurna. Terimalah dia seadanya. Kalau di berbuat onar, sesungguhnya itu kelemahan dia sebagai manusia – yang tak pernah sempurna.

Wassalam.

17 Januari 2011

Harrods – Syurga Membeli Belah London

image

Harrods! Siapa yang tak pernah dengar gedung membeli-belah yang terkenal seantero dunia ini? Memang tak sah kalau pergi London tidak singgah ke sini. Dengan hampir 330 bahagian yang berbeza, anda boleh mendapati hampir apa sahaja yang anda mahukan. Daripada pakaian kepada makanan, peralatan elektrik kepada kelengkapan rumah, kecantikan kepada kesihatan, dan juga perkhidmatan pengurusan acara!

Sudah pasti, harga di sini memanglah mampu membuatkan mata kita terbeliak, tetapi pengalaman menengok-nengok ke dalamnya yang tak harus dilepaskan. Dengan suasana yang eksklusif lagi mewah, bolehlah kita berangan-angan sekejap dan membawa fikiran kita terawang-awang sambil menjamu mata.

image

Sayangnya, melangkah sahaja ke Harrods, kita akan diberitahu oleh pengawal di situ untuk tidak mengambil gambar. Kalau tidak pasti sahaja kamera kita akan dirampas oleh mereka. Khuatir dengan kemungkinan itu, jadi memang sedikit sangat gambar yang saya ambil di sana. Itu pun secara curi-curi sahaja.

Lihatlah lif Harrods. Gayanya sahaja sudah nampak klasik, kan? Dengan pintunya yang bercermin dan rekaan yang unik, rasanya bagai kembali ke zaman silam. Sangat Inggeris.

Apa yang saya ingat, bila melangkah saja masuk, aduhai betapa semerbak sekali haruman di tempat ini. Lebih-lebih lagi ketika saya melalui bahagian minyak wangi, rasa macam saya dikelilingi oleh mak datin – mak datin yang punya bau wanginya sekilometer jarak pun sudah boleh hidu!

image

Sambil jalan-jalan, terlihat patung Encik Al-Fayed ini dipamerkan. Beliau adalah pemilik pusat membeli-belah ini sebelum ia dijual kepada syarikat Qatar Holdings. Kebetulan saya memang datang ke UK naik Qatar Airways pun. Nampaknya memang dah takdir Harrods untuk jadi milik orang Arab. Boleh tahan juga ya saudagar-saudagar Arab ini.

Oh, kata orang, kalau pergi Harrods, mesti pergi ke tandasnya. Entahlah apa yang istimewa sangat. Mungkin kerana hiasan dalamannya yang mewah bagaikan tanda di hotel. Dengar kata, ada tandas di Harrods yang ada sediakan minyak wangi – minyak wangi mahal dan diletakkan begitu sahaja untuk para pengguna. Tapi, tandas yang saya masuk ini tak ada pun.

Marilah kita dengan tidak senonohnya lihat tandas Harrods jom.

image

image

Jadi, apa pendapat? Bolehlah tahan eksklusifnya. Tapi, saya rasa ada lagi tandas yang lebih mewah. Ini mungkin tandas yang biasa sahaja. Takkanlah pula saya hendak menjelajah satu Harrods pula ya untuk menengok tandas. Sekadar memberi gambaran sahaja. Haha, memanglah kerja yang kurang senonoh. :)

Saya ke sini tidak bertujuan pun untuk membeli apa-apa. Tetapi, rasa rugi pula kalau tidak membeli buah tangan. Jadi, apabila ke ruang cenderahati, telah melakukan sedikit shopping. Ayahanda telah beli beg berlabel Harrods untuk Bonda dan Adinda. Saya pula, beli sebuah toileteries bag yang memang saya sungguh berkenan kerana sudah lama cari, tetapi tidak jumpa-jumpa. Kebetulan, ia dijual dengan harga diskaun – 5 pound. Saya masih simpan lagi tanda harganya dan tidak tanggal-tanggal. Nanti kalau rajin, saya tampal gambarnya di sini ya.

image

Dah puas jalan-jalan di Harrods. Ke mana pula kita selepas ini? :)

Wassalam!

16 Januari 2011

Melihat Tower Bridge Dinaikkan

image

Salah satu ikon yang menjadi mercu tanda di London sudah pastinya The Tower Bridge. Ia terletak tidak jauh dari The London Tower, sebuah kubu lama yang terletak hanya di sebelah. Di sinilah hentian saya seterusnya, setelah memudiki Sungai Thames dengan menaiki cruise boat. Anda boleh baca dan lihat gambar-gambarnya di sini.

image

Jangan tersilap. Meski pun Tower Bridge ini adalah landmark terkenal London, ia bukanlah The London Bridge yang terkenal dalam lagu kanak-kanak itu. Ramai orang selalu tersilap, termasuklah saya sehingga saya sampai ke sini.

Di atas menara jambatan ini, ada pameran yang menunjukkan sejarah dan cara pembinaannya. Juga ada ditunjukkan enjin stim yang dahulu digunakan untuk menarik jambatan itu tiap kali ada kapal yang harus melaluinya.

Sayangnya, waktu saya ke sini, tak berkesempatan pula untuk melawatnya. Malah, ada jambatan di atas untuk pejalan kaki melihat pemandangan kota London dari sudut yang lebih tinggi. Lebih kurang macam berada di jambatan KLCC dan melihat Kuala Lumpur lah. Jadi, kalau anda berkesempatan ke sini, jangan lupa untuk melihat-lihat ke atas jambatan ini ya?

image

Sebenarnya, mungkin sebab saya tak perasan atau tidak mempedulikan mengenai pameran itu adalah kerana telah lebih dahulu teruja dengan jambatan itu yang ketika itu baru sahaja ditutup untuk membolehkan kapal lalu di bawah. Maka, terbelahlah jambatan itu menjadi dua. Bukan selalu dapat melihat peristiwa ini berlaku. Kalau dalam seminggu, dalam 3-4 kali sahaja. Begitulah apa yang saya diberitahu.

image

Lihatlah itu. Semua pelancong saling berebut-rebut untuk merakamkan peristiwa ini dengan kamera masing-masing. Saya pun tidak ketinggalan merakam video. Jambatan ini kalau tidak silap saya ditutup dalam sekitar 10-15 minit bagi membolehkan kapal lalu menerusi Sungai Thames.

image

Selepas jambatan tersebut turun, kembalilah trafik seperti sedia kala. Saya ambil kesempatan untuk berjalan merentasi jambatan ini lantas menuju ke tengahnya untuk mengambil gambar ruang pemisah antara dua bahagian jambatan itu.

image

Senibina jambatan ini memang cantik. Khabarnya sedang dalam proses renovasi yang akan berakhir pada tahun 2012. Warnanya juga khabarnya akan ditukar. InsyaAllah satu hari nanti mahu kembali lagi ke sini.

Terima kasih kerana membaca. Nantikan lagi entri Kembara Eropah dalam masa yang terdekat. Saya ada lagi 20+ entri yang harus diblogkan dalam siri ini sebelum menyambung cerita tentang Pesta Pantun MAKUM pula. Tetapi, kita perlahan-lahan kayuh ya!

Wassalam.

14 Januari 2011

Qatar Airways & Doha International Airport

 IMG_0296

Ini adalah entri rangkuman perjalanan pergi dan balik dari Eropah yang saya gabungkan untuk mengelakkan pertindihan. Disebabkan kedua-duanya menggunakan penerbangan yang sama, jadi lebih baik saya satukan supaya senang untuk diceritakan. Lagi pun, tak ada beza pun pergi dan balik. Transit pun di tempat yang sama. Jadi, ayuh kita mulakan!

IMG_0297 

Seperti yang telah anda sedia tahu, saya mengembara ke Eropah menaiki pesawat Qatar Airways.  Sebelum menempah tiket, ada juga mempertimbangkan beberapa penerbangan lain seperti Malaysia Airlines, Singapore Airlines, Emirates, Air Asia, dan beberapa yang lain. Tetapi, atas sebab harga yang paling rendah dan berpatutan ketika itu, ditambah pula perkhidmatan yang boleh tahan, maka Qatar Airways menjadi pilihan.

IMG_0276

Saya kira mengapa syarikat penerbangan dari Timur Tengah selalu menjadi pilihan untuk ke Eropah adalah kerana faktor lokasi ibu pejabatnya yang terletak strategik di antara Asia, Eropah, & Afrika. Sebab saya lihat agak jauh juga beza harganya dengan Penerbangan Malaysia yang berkali ganda lebih mahal.

Bercerita sedikit tentang perkhidmatan penerbangan, dari segi kelengkapan – ada skrin mini di hadapan setiap tempat duduk penumpang yang mengandungi set hiburan dan maklumat yang boleh kita akses secara interaktif. Ia juga dilengkapi dengan koleksi filem-filem dan lagu-lagu yang agak banyak sehingga tak keruan mata mahu memilih yang mana satu hendak ditonton dahulu.

IMG_0278

Seingat saya, antara filem yang telah saya tonton dalam perjalanan pergi dan balik adalah – The Devil Wears Prada, The Curious Case of Benjamin Button, Alice in Wonderland, dan sebuah filem Bollywood yang dilakonkan oleh Amitabh Batchan. Banyak lagi sebenarnya, tapi sekadar tonton sedikit-sedikit.

Selain itu, ada juga rancangan televisyen, dokumentari, komedi, dan kalau anda mahu sekadar mendengar muzik sambil merehatkan mata, himpunan muzik dari serata dunia tersedia – termasuklah dari Malaysia. Juga terdapat alunan bacaan Al-Quran bagi yang mahukan ketenangan fikiran.

Oh, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Manchester akan transit di Lapangan Terbang Doha di Qatar. Secara dasarnya, Kuala Lumpur – Doha & Doha – Manchester kedua-duanya mengambil masa 8 jam. Sewaktu pemergian, transit mengambil masa 2 jam. Manakala ketika kembali, transit kami lebih kurang 9 jam. Tapi, cerita tentang itu akan ada di bahagian akhir entri ini.

Ketika itu, saya sudah lebih kurang setahun tidak menaiki kapal terbang selepas terbang ke Jakarta pada awal tahunnya. Jadi, perasaan teruja itu pastilah ada, lebih-lebih lagi ini kali pertama saya menaiki pesawat untuk perjalanan jarak jauh merentasi benua dan ada transit pula itu.

Apa yang saya suka kalau naik kapal terbang pastilah makanannya! Entah kenapa, saya dapati makanan kapal terbang sangat comel dan sedap. Haha. Mungkin dengan cara pembungkusan dan persembahannya yang membuatkannya menarik, padahal makanan di darat pastilah lebih sedap.

Jom kita lihat makanan-makanan yang dihidangkan oleh Qatar Airways.

IMG_0277

Ini adalah snek sandwic yang dihidangkan untuk minum pagi / minum petang / kudapan. Ada dua jenis pilihan yang diberikan – Ayam atau Sayur. Tengok pun sudah tahu dibawa dari Malaysia.

IMG_0280

IMG_0281

Sarapan. Ayah saya telah awal-awal meminta hidangan rendah garam. Ia boleh diminta dari internet beberapa hari sebelum penerbangan. Ada banyak jenis diet yang boleh ditempah khas, bergantung kepada keperluan masing-masing. Rendah gula, rendah lemak, vegetarian, dan macam-macam lagi. Tetapi, saya sekadar ambil hidangan biasa sebab tak seronoklah makan kurang itu kurang ini! :)

IMG_0283

Okay mari kita lihat apa yang ada. Set sarapan biasa sebenarnya. Ada bun, croissant, jus oren, teh atau kopi, buah-buahan, yogurt, dan tentunya hidangan utama. Set sudu garpu yang digunakan diperbuat daripada plastik, berbeza sewaktu saya naik Saudi Arabian Airlines dulu yang beri sudu garpu (cutleries) besi.

IMG_0284

Hah inilah hidangan utama untuk sarapan. Sekali lagi, ada dua jenis hidangan utama yang disediakan. Yang satu ini adalah telur dan sosej. Yang satu lagi saya tak berapa ingat. Tiba-tiba terasa lapar pula tengok gambar makanan!

Saya juga perasan bahawa kopi dan teh mereka biasanya dihidangkan bersama sepaket kecil susu segar – di Eropah juga begitu. Tak seperti di Malaysia yang menggunakan krimer atau pun susu pekat.

IMG_0009

Set makan tengahari. Yang ini saya ambil sewaktu kepulangan dari Eropah menuju Malaysia. Hidangan utama Nasi Beriyani dengan biskut-biskut, yogurt, kek coklat. Boleh tahanlah makanannya. Tapi, rasanya kalau Malaysia Airlines pasti lagi sedap. :)

IMG_0288

Sedar tak sedar dah sampai ke Doha kita ya. Lihatlah dada bumi Doha menyambut kita di awal pagi sejurus selepas subuh ketika fajar sedang menyingsing. Ternyata Doha sebuah kota yang dilimpahi dengan rezeki berupa minyak. Saya dapat lihat dari atas dengan jelas tempat pemprosesan minyak yang terbentang luas. Betulkah? Kalau benda lain beritahu saya ya.

IMG_0318

Mendarat sudah kita. Tidak seperti di Kuala Lumpur, Doha menggunakan kaedah mengangkut penumpang dari pesawat ke terminal dengan menggunakan bas shuttle. Sewaktu saya turun dan menikam bumi Doha dengan pandangan mata pertama, bulan pagi masih lagi kelihatan. Hari masih lagi begitu awal.

IMG_0011

Apa yang buat saya teringat sampai sekarang adalah kerana dapat melihat skyline bandaraya Doha yang terlihat jelas dari lapangan terbang ini sewaktu kami menaiki bas shuttle ke Terminal. Sangat cantik tempatnya. Tetapi, saya tak sempat pula hendak mengambil gambarnya. Mungkin ada, tetapi entah mana disimpan.

Kalaulah ada masa yang lebih, pasti saya mahu keluar berjalan-jalan merasai angin kota Doha. Sayangnya, kami ada 2 jam sahaja. Malah, sewaktu perjalanan pulang, walaupun kami transit selama 9 jam, tetapi hari sudah malam, dan kami jua perlukan rehat dan tidur.

IMG_0313

Agak lama juga di dalam bas tersebut. Ada dalam 15 minit untuk ke terminal antarabangsa. Tiba di sana, saya dapat melihat pelbagai jenis manusia dengan macam-macam jenis rupa. Semuanya sedang menunggu transit untuk ke destinasi masing-masing. Seraya saya teringatkan filem The Terminal yang menceritakan tentang seorang penumpang yang terkandas selama bertahun-tahun di lapangan terbang.

Saya lihat ada orang Malaysia, Indonesia, Arab, dan Mat Salleh juga ramai. Kebanyakan orang Malaysia saya rasa sedang transit dari negara-negara Arab dan gaya mereka seperti mahasiswa dan mahasiswi pengajian Islam. Al-Azhar mungkin. :)

IMG_0013 IMG_0014

Di terminal tersebut ada pelbagai barangan yang dijual secara bebas cukai. Urus niaga di sini boleh menggunakan pelbagai jenis matawang. Saya ingat lagi ketika itu saya mahu membeli makanan di sebuah restoran makanan segera di situ, dan dalam dompet hanya ada matawang Euro/Pound Sterling. Maka, jenuhlah nak mengira dan menghitung nilai matawang.

IMG_0016

Yang pasti, tempat utama yang dituju adalah masjid di sini. Sebenarnya, surau sahaja tetapi mereka menggelarkannya begitu. Masjidnya terbuka dengan ada pintu berkaca. Jadi, orang dari luar boleh lihat apa yang ada di dalam. Cuma, agak pelik juga kerana tempat wuduk tidak disediakan sekali. Kita harus ke tandas yang terletak tidak jauh sedikit untuk mengambil air sembahyang.

Sewaktu malam, memang masjid ini menjadi sasaran untuk melepaskan keletihan. Memang ia dipenuhi orang yang menumpang tidur. Meski pun sudah ada papan tanda mengatakan dilarang tidur, tetapi ramai juga tidur di situ. Termasuklah saya. :)

IMG_0315

Baiklah, begitu sekitar transit dan perjalanan saya di atas pesawat. Sekarang, mahu kembali naik ke kapal terbang pula untuk teruskan perjalanan ke tanah ratu. Boleh klik di sini untuk baca cerita sebaik sahaja ketibaan saya.

Wassalam!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan