Subscribe

22 November 2015

Selamat Datang Musim Sejuk


2015-11-21 15.39.20
Suasana di hadapan pekarangan Perpustakaan Birmingham yang siap menghadapi musim sejuk, dengan lapangan luncur ais dan Ferris Wheel bagi menarik orang ramai.
Sejak kelmarin, aku sudah mulai rasa tidak sedap badan. Suhu badanku semakin meningkat. Walaupun melingkar di dalam rumah sahaja, tetapi sejuknya seperti meresap ke tulang.

Apabila berada di luar, hembusan angin dingin bertiup kencang, sesekali terasa amat kuat bagaikan menerbangkan diriku. Dua lapisan baju dilitupi selapisan lagi baju tebal berjenama Uniqlo seolah-olah tidak mampu menepis terjahan cuaca sejuk. Pergelangan tangan yang terdedah, terasa membeku. Segera kumasukkan ke dalam saku.

Masih kuingat lagi, aku menggigil kesejukan ketika bersolat Jumaat di dalam salah satu kelas di bangunan Millenium Point. Aku kehairanan kerana sepatutnya ada heater system yang akan mengurangkan hawa dingin.

“Takkan di dalam bangunan juga kesejukan?” fikirku.

Aku terserempak dengan Haris, teman senegaraku yang membantu urusan solat Jumaat di kampusku. Melalui beliau baharulah aku mengetahui bahawa di dalam bilik tersebut, ada sistem penghawa dingin yang mereka tidak pasti bagaimana mahu dimatikan. Patutlah aku menggigil bukan main!

Bagi mengurangkan rasa sejuk, aku membeli secawan kopi latte panas di kafeteria kampus. Seteguk demi seteguk aku hirup, dan perlahan-lahan aku semakin kurang menggigil. Ketika itu, aku memahami mengapa budaya minuman kopi begitu subur di sini. Di mana-mana aku dapat lihat kafe menjual kopi hangat. Mungkin inilah antara penyebabnya, fikirku lagi.

Sambil menunggu bas bernombor 52 untuk kembali ke rumah, aku melihat sekeliling. Pohon-pohon yang terdapat di sekitar East Side Park hampir semuanya hanya tinggal ranting sahaja. Dedaun gugur berwarna kuning keemasan yang sebelum ini menaburi bumi, telah dikutip dan dibersihkan.

Selayang pandang aku terpandang sebuah papan iklan di sisi tempat menunggu bas. Saya yakin iklan tersebut baharu ditukarkan kerana ia tidak pernah saya lihat sebelum ini walaupun melalui jalan tersebut setiap hari untuk ke kampus.

“Minumlah sup tomato untuk menghangatkan badan anda!”

Ilustarasi sup tomato segar dengan supnya yang hangat membuatkan aku terliur. Terasa mahu sahaja aku singgah ke kedai serbaneka untuk membeli beberapa tin sup tomato tersebut dan menikmatinya di rumah. Ah, pandai betul mereka memasarkan produk.

Kuselak helaian kalendar. Ketika ini, aku sedang berada di trimester terakhir bulan November 2015. Bermaksud musim luruh akan hampir ke penghujungnya dan musim sejuk bakal menjelma. Apakah aku sedang mengharungi perubahan musim? Sebagai seorang yang baru pertama kali berkenalan dengan musim sejuk, patutlah badan aku memberikan sedikit reaksi seolah-olah mahu demam.

Waktu malam pun menjelma. Suhu di luar sudah mencecah sehingga 2°C. Aku menerima notifikasi Whatsapp daripada salah seorang temanku di Birmingham, yang menyatakan bahawa menurut ramalan cuaca, Birmingham akan ditaburi renjisan salji pada tengah malam ini. Ya, salji!

Dan ramalan tersebut ternyata benar, kerana tak lama selepas itu, salji benar-benar turun di kawasan rumahku. Segera aku berlari-lari, seperti anak kecil yang teruja hendak ke taman permainan. Maklumlah, ini kali pertama merasai musim sejuk. Jadi, sedikit sebanyak mestilah ada perangai rusa masuk kampung.

Salji yang turun tidaklah lebat. Titisannya juga tidaklah tebal. Apabila jatuh ke bumi, ia mencair tak lama selepas itu. Tetapi bagi saya yang baharu merasainya, ia adalah saat yang tak dapat dilupakan. Ia menandakan bahawa saya kini perlu mengucapkan selamat datang kepada musim sejuk!

19 November 2015

Coventry : Kota Keamanan Dan Perdamaian

2015-11-14 19.07.00

Peristiwa serangan pengganas yang berlaku baru-baru ini di Paris, Perancis ternyata menggegarkan dunia. Semua mata bagaikan terpaku melihat betapa kejamnya sekelompok manusia yang bertopengkan nama agama, tetapi sanggup menggunakan jalan berdarah untuk mencapai tujuan mereka.

Pada zaman yang serba moden dan canggih ini, seharusnya peperangan hanya berada di dalam buku sejarah dan sebagai pameran di muzium sahaja. Dunia kini disatukan dengan organisasi besar seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dengan peruntukan pelbagai undang-undang antarabangsa, juga prinsip hak asasi manusia serta pelbagai langkah keselamatan mengawal sempadan. 

Tetapi, “mengapa peperangan dan keganasan masih tetap berlaku?” bisikku sendiri.

Hal inilah yang bermain di fikiranku tatkala berada di Coventry pada hujung minggu lepas.

Entah bagaimana, setelah selesai urusanku mengambil barang daripada seorang teman di sana, aku mengambil kesempatan untuk bersiar-siar di sekitar kota Coventry sebelum berangkat pulang ke Birmingham.

Waktu ketika itu pukul 6 petang. Namun, matahari telah hilang dari pandangan. Suasana gelap menyelebungi kota. Angin bertiup perlahan membawa hawa dingin ke seluruh tubuhku.

Sejurus selepas menikmati makan malam Ayam Peri-Peri di sebuah kedai makanan segera halal yang kutemui di pusat bandar, aku menyusun langkah untuk berjalan-jalan bagi mencari apa-apa yang menarik untuk dilihat.

Banyak kedai telah ditutup awal kerana ia adalah malam minggu. Coventry kulihat amat gelap dan suram dari cahaya lampu menyimbah bumi. Namun itu tidaklah menghalang aku untuk terus berjalan sendirian untuk merasai roh dan semangat kota ini yang diberi jolokan “City of Peace & Reconciliation”.

Ketika menghampiri tapak bangunan bersejarah Coventry Cathedral, aku lihat ramai orang sedang berkumpul bagaikan sedang menunggu sesuatu. Aku merasa musykil, dan segera menghampiri tempat perkumpulan tersebut. Dengan selamba aku masuk ke dalam keramaian itu, dan cuba meneka apa agaknya yang sedang berlaku.

Tonight, we are here together to remember the Coventry Blitz that happened 75 years ago. We also here standby Paris, for what has happened less than 24 hours ago…” begitulah lebih kata-kata permulaan oleh seorang wanita Inggeris yang kudengar melalui pembesar suara.

Rupanya, baharulah aku tahu bahawa mereka sedang mengingati Coventry Blitz, peristiwa di mana bandar Coventry diserang dari udara secara bertubi-tubi oleh tentera Nazi Jerman ketika Perang Dunia Ke-2, pada tanggal 14 November 1940 – iaitu tepat 75 tahun lepas. Peristiwa berdarah itu dilaporkan mengorbankan lebih daripada 500 nyawa!

Sambil aku membaca lebih banyak maklumat mengenai Coventry Blitz melalui telefon pintarku, aku membayangkan betapa sengsaranya manusia yang terpaksa mengharungi saat getir itu. Rakaman kisah pengalaman mereka yang terselamat telah dimainkan, dan aku terasa seperti berada di zaman itu, lebih-lebih lagi apabila aku berada di tapak kejadian itu sendiri!

Anak-anak kecil dari sekolah berhampiran telah dibawa untuk mempersembahkan nyanyian koir berkaitan tragedi tersebut, sebelum Datuk Bandar memberikan ucapan beliau. Saya juga dikhabarkan bahawa Putera Edward, Duke of Kent turut mencemar duli di acara tersebut.

Menurut pengacara majlis, kemuncak acara peringatan ini adalah formasi “Human Chain of Lights”. Aku teruja untuk mengetahui apa yang dimaksudkan oleh rantaian cahaya itu, dan hal itu membuatkan aku berada sehingga ke akhir. Rupanya, para hadirin diminta untuk menjulang lampu suluh, atau telefon bimbit mereka di udara dalam tempoh beberapa minit sambil diam sebentar bertafakur.

Dan kini baharulah aku memahami mengapa burung Phoenix dipilih menjadi simbol kota Coventry. Seperti phoenix yang bangkit dari abu, begitulah juga kota Coventry yang bangkit dari puing-puing peperangan. Tidak hairanlah ia digelar “Kota Keamanan dan Perdamaian” – kerana itu adalah mesej Coventry kepada seluruh dunia.

…dan aku menantikan apakah ada sinar di hujung kemelut yang kini melanda dunia. Apakah manusia akan akhirnya belajar menghentikan sengketa? Mampukah keamanan mutlak tercapai? Jawapannya, hanya Allah SWT mengetahui.

Acara berakhir tak lama selepas itu. Aku pun berlalu pergi, mengejar keretapi terawal kembali ke Birmingham. Sambil memeluk tubuh bagi menghangatkan badan, segera aku mengambil bas bernombor 11 untuk ke Coventry Rail Station.

Coventry, terima kasih kerana mengajar aku sesuatu hari ini. Pastinya, aku akan kembali lagi mengutip sisa kenangan yang belum sempat aku harungi.

Selamat Tinggal!

11 November 2015

Mengapa Saya Memilih Birmingham


Kepada yang baharu mengetahui, saya kini telah tepat 2 bulan berada di tanah Inggeris. Lebih spesifik di Birmingham. Alhamdulillah, niat untuk berkelana menuntut ilmu di tanah orang akhirnya termakbul jua pada tahun ini.

Sepanjang berada di perantauan, saya pasti berhajat untuk kongsikan pelbagai pengalaman yang dirasai di blog ini buat tatapan semua dan dokumentasi peribadi. Sepatutnya, catatan ini dikongsikan lebih awal, namun 2 bulan pertama ini saya ralit menyesuaikan diri di tempat orang. Alhamdulillah, kini saya telah settle down, dan sedia untuk berkongsi cerita.

Ramai yang bertanya kepada saya, mengapa Birmingham?

Saya pun sukar menjawab dengan tepat persoalan ini. Harus saya kembali kepada kunjungan sebanyak dua kali sebelum ini ke Manchester pada tahun 2010 dan 2011. Jemput baca entri - "Kujejaki Tanah Ratu Di Manchester" dan "Kembali Ke Manchester". Mungkin, niat untuk menyambung pengajian telah mula terbenih sewaktu kunjungan tersebut lagi.

Sepatutnya, saya berangkat sambung pengajian pada 2 tahun lepas, iaitu sebaik sahaja menamatkan Latihan Dalam Kamar (Chambering). Saya menerima 6 tawaran ketika itu dari pelbagai universiti sekitar United Kingdom. Sewaktu itu, saya masih tak pasti samada hendak meneruskan pelajaran dalam bidang undang-undang, atau beralih ke arah perniagaan antarabangsa.

Namun, beberapa hal berlaku ketika itu, yang menyebabkan saya terpaksa menunda hasrat untuk menyambung pengajian. Justeru, saya teruskan langkah di dalam kerjaya selama dua tahun sebelum saat yang sesuai tiba juga, iaitu pada tahun 2015 ini.

Saya sebenarnya telah buat beberapa research dan bacaan berkaitan tempat-tempat untuk menyambung pelajaran. Namun, setiap kali itu pasti saya akan kembali ke laman web Birmingham City University. Hal yang sama juga saya lakukan sewaktu memasang hajat untuk ke Universiti Islam Antarabangsa, ketika pasca SPM lebih kurang 10 tahun lepas.

Ayahanda pernah berseloroh, mungkin hati saya berkenan kepada Birmingham kerana saya pernah nyaris ditinggalkan bas di Birmingham!  Ketika kunjungan 2011, saya dan keluarga pernah menaiki bas dari Manchester ke London. Dan salah satu tempat singgahan di pertengahan jalan adalah Birmingham. Yang lucunya, sepanjang jalan memang saya tak tahan hendak ke tandas, sehinggakan bila berhenti di sebuah hentian, saya memecut ke tandas, sampai hampir ditinggalkan bas! (Baca entri penuh di sini)

Berbalik kepada soalan mengapa Birmingham? sebelum ini, mungkin saya dapat simpulan sebabnya seperti berikut :

  1. Saya dibesarkan dalam persekitaran bandar, oleh itu mungkin saya lebih selesa untuk memilih sebuah bandar juga untuk menjadi tempat bermukim. Birmingham terkenal dengan reputasinya sebagai bandar kedua United Kingdom, selepas London. Berada hampir di setiap kemudahan kotaraya merupakan antara faktor utama.
  2. Tak mahu Manchester! Haha, anda sendiri tahu bahawa adik saya dahulu belajar di Manchester. Oleh itu, pastinya saya tak mahu menyambung pengajian di tempat sama. Satu pengalaman yang berbeza saya mahukan. Lagi pun, Manchester ada ramai sangat orang Malaysia! :)
  3. Populasi Muslim di Birmingham sangat ramai. Boleh dikatakan hampir 1/4 daripada keseluruhan populasi di sini adalah orang Islam. Anda boleh lihat masjid berdiri di mana-mana, dan muslimah bertudung juga kelihatan di sana-sini. Dari segi itu, tidak ada masalah untuk mengamalkan Islam di sini. Tidak ada masalah juga untuk mencari makanan halal di sini.
  4. Birmingham adalah bandar yang aman. Walaupun ia adalah bandar kedua Britain, namun saya mendapati tidak ramai pelancong yang datang ke Birmingham. Pusat bandarnya tidak seriuh London yang padat dengan manusia yang kebanyakannya adalah pelancong asing. Hal ini disebabkan Birmingham tidak mempunyai tarikan yang benar-benar signifikan berbanding tempat-tempat lain di United Kingdom. Populasi Birmingham ramainya adalah penduduk tetap atau pelajar asing. Anda dapat rasai ketenangan di sini.
  5. Birmingham mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsanya sendiri. Saya tidak perlu turun di Lapangan Terbang Heathrow, London, dan kemudian menaiki bas pula selama 3 jam ke Birmingham. Mudah juga untuk saya menjemput keluarga yang mungkin akan datang bertandang ke sini, selain saya juga boleh naik pesawat terus di Birmingham untuk ke mana-mana. 
Begitulah serba sedikit perkongsian tentang Mengapa Saya Memilih Birmingham. InsyaAllah, saya akan kembali menulis catatan pengalaman di sini bagi acara-acara yang menarik sepanjang di United Kingdom. Sekiranya anda ada sesuatu yang mahu saya kongsikan, boleh tulis dalam komen di bawah.

Sehingga catatan seterusnya!




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan