"Sri Mersing lagulah Melayu,
dikaranglah oleh biduan dahulu;
Hatiku runsing bertambahlah pilu,
mengenangkan nasib yatimlah piatu.
Pantai Mersing kualalah Johor,
pantainya bersih sangatlah masyur,
Pohonkan doa kitalah bersyukur,
negaralah kita hai aman dan makmur."
1. Saya selalu mendengar lagu ghazal Sri Mersing yang sangat terkenal di negeri Johor, malah di seantero semenanjung Melayu. Beberapa lama dulu, ada sebuah filem yang pernah diterbitkan mengisahkan tragedi Seri Mersing menggunakan tajuk yang sama.
2. Saya rasa pernah menonton filem berkenaan, tapi dah lama sangat. Terlupa pula jalan ceritanya. Tapi, apabila mendengar bahawa penulis lirik yang amat saya hormati, saudara Hairul Anuar Harun telah menjadi penulis skripnya, maka saya tanpa berfikir panjang terus memasang niat untuk pergi menontonnya.
3. Terima kasih juga kepada Abang Azam yang telah belanja saya tengok teater. Jasamu dikenang! Okay, saya akan belajar rajin-rajin ye!
4. Kami telah membeli tiket berharga RM50. tempat duduknya, masyaAllah yang paling depan sekali. Patutnya, ada sebaris lagi kerusi di depan kami, tapi tidak diisi. Jadinya, kamilah yang paling depan sekali. Dahlah pula dapat tempat duduk tengah-tengah. Sebelah saya pula tak ada orang, jadi sungguh selesa kali ni.
5. Hah, tengok betapa dekatnya kami dengan pentas. Set teater Seri Mersing ni, mereka ada buat pentas tambahan di depan pentas sebenar Panggung Sari untuk menjadikan ruang kosong antara keduanya nampak seperti muara sungai. Jadi, apabila pelakon berlakon atas pentas tambahan depan kami tu, memang kami dapat tengok dengan jelas muka mereka. Jarak kami dengan pelakon boleh dikatakan 2 langkah sahaja.
6. Jadi, sepanjang pementasan, memang saya dok
control sajalah, sebab takut terbersin, terbatuk, atau ter ter yang lain. Manalah tahu kan, tiba tiba terlebih menghayati persembahan sampai saya panjat naik pentas tu, jadi pelakon tambahan yang tak diundang. Haha. Oh ye, bila bab lawan-lawan tu, memang risau sungguh saya takut-takutlah senjata tu terkena muka kami.
7. Malam 12 Mac adalah malam pertama pementasan. Jadi, Sultan Pahang sebagai penaung kepada teater ini telah berangkat datang untuk memeriahkan Teater Seri Mersing ini. Baginda turut diiringi menteri besar Pahang. Ramai VIP-VIP yang saya nampak. Antaranya - Aziz Sattar, Yasmin Hani, Norlia Ghani, Maria Menado, dan tak ketinggalan juga Dato' Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid juga ada!
8. Bercerita tentang teater itu sendiri, saya kira teater ini sangat tragis. Menceritakan mengenai fitnah, hasad dengki, iri hati, dan kisah cinta yang tak kesampaian. Kalau anda mahu menonton teater yang bersuka-ria, dan menari-nari saja, saya nasihatkan tak perlulah tonton teater ini kerana Seri Mersing menawarkan lebih dari itu.
9. Cerita dalam teater ini lain sikit berbanding yang dalam filem, kerana ia turut menceritakan kisah Seri Mersing ketika di usia tua. Dari segi kelancaran cerita, saya boleh katakan agak baik, kerana saya tak hadapi masalah sangat untuk memahami inti cerita ini. Berbekalkan lakonan yang mantap daripada bintang bintang terkemuka seperti Elly Mazlein, Adi Putra, Datin Rosnani Jamil, Dato' Mustapha Maarof, Azizah Mahzam, Yus Raja Lawak, Melissa Saila, Rusdi Ramli; saya dapat merasakan bahawa mereka sangat menghayati lakonan mereka.
10. Cuma, apa yang saya kurang faham adalah dari segi peleraian cerita ini, ketika pergaduhan antara watak Damak dan Awang Sulung itu, di mana sekumpulan Orang Asli yang diketuai oleh Tok Batin telah datang menyelamatkan Damak dan keluarganya. Sebelum itu, tidak diceritakan mengenai perhubungan Damak dan kumpulan orang Asli ini. Yang hanya ditonjolkan, adalah satu babak pendek yang memaparkan mereka sedang melakukan ritual mengeliling unggun api. Itu pun, tak ada apa-apa penjelasan mengenainya.
11. Tentang lain-lain, saya rasa teater ini sangat bagus, terutamanya kepada orang Melayu kita untuk menonton kerana banyak pengajaran yang boleh dikutip. Kalau siapa yang hati lembut tu, entah-entah boleh mengalirkan air mata lepas tonton teater ini. Lagu Seri Mersing pun akan memberi pengertian baru kepada anda. Lepas tengok teater ni, saya baru faham betapa sedihnya lagu itu.
Maka, apa lagi? Jom kita tengok teater ini. Berikan sokongan kepada industri teater Melayu. Teater ini akan dipentaskan dari 12-21 Mac 2010. Ada masa lagi! Klik di
sini untuk maklumat lanjut.
.
.
.