Subscribe

30 Julai 2009

Perlawanan Pantun : Azree vs Ika


Azree:
Manisnya muka senyum terukir,
Hiasan wajah puteri kenyalang,
Pertandingan akhir semakin hampir,
Yakinkah tuan, bolehkah menang?

Ika:
Gadis minang manis disanding,
Mempelai dibawa ke tengah laman,
Kalah dan menang adat bertanding,
Cuma pengalaman jadi idaman.

Ika:
Pergi berjalan ke rumah Nyonya,
Jalannya jauh melalui titi,
Hajat di hati dah lama nak Tanya,
Siapa gerangan pemilik hati?

Azree:
Pergi berjalan ke rumah nyonya,
Sambil berjalan nampak kedidi,
Hamba di sini belum berpunya,
Adik di sana, apakah sudi?

Ika:
Pergi ke kebun mencari keladi,
Keladi dibungkus dengan kain,
Bukannya adinda tiada sudi,
Hati dimilik orang yang lain.

Azree:
Turun ke laman memakai kain,
Berkain batik melenggang tari,
Siapa gerangan orang yang lain,
Bawa ke sini, tunjukkan diri!


[Hakcipta Azree Ariffin & Nur Syafiqah Mohd Gawus]

HS Café, UIAM
30 Julai 2009

24 Julai 2009

Berjuang di Negeri Indera Kayangan

Minggu ini saya berkurung di dalam bilik. Balik kelas sahaja, setelah selesai segala perkara yang perlu dilangsaikan, saya akan terus ke bilik. Saya harus menghantar laporan Law Attachment Report pada pada hari jumaat. Selepas selesai program praktikal saya di Tetuan Firuz Jaffril, Aidil & Zarina sebulan yang lepas, saya tidak berkesempatan untuk menghabiskan laporannya berikutan terlibat dengan program yang berderet-deret.

Dalam masa yang sama, saya juga harus mempersiapkan diri untuk bertanding di UNIMAP, hujung minggu ini. Kedua-duanya perkara yang besar bagi saya. Law Attachment Programme membawa 5 jam kredit kepada keseluruhan PNGK saya. Satu jumlah yang sangat besar, kerana kebiasaannya subjek undang-undang hanya memperuntukkan 3 jam kredit.

Alhamdullillah, setelah bersengkang mata dalam seminggu ini, selesai juga tugasan itu. Rasa teramat puas apabila dapat melihat ia dicetak dan seterusnya dijilidkan. Lega sungguh - kerana kini saya boleh menumpukan kepada sesuatu yang telah saya nantikan sekian lama, iaitu Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka MAKUM 2009.

Sayembara peringkat IPTA ini adalah penutup tirai kepada pertandingan peringkat negeri/agensi sepanjang musim deklamasi ini. Tahun ini, saya telah mengikuti SDPM dengan akrab. Tentunya perasaan berdebar-debar apabila telah menyaksikan sendiri pertandingan di Kuala Lumpur, Selangor dan PDRM tahun ini - dan kini tiba masanya untuk saya sendiri beraksi.

Saya akan bertolak ke UNIMAP malam ini - bagi meneruskan perjuangan saya dalam kategori sajak. Teman saya, Hafifi pula akan berjuang dalam kategori syair. Kedua-dua kami tahun ini akan mewakili Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Walaupun kemenangan yang dicari, tetapi sebetulnya apa yang lebih berharga adalah pengalaman itu sendiri.

Doakanlah kejayaan kami, di negeri Indera Kayangan.

18 Julai 2009

Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2009 Peringkat PDRM


Semalam pertama kali saya menjejakkan kaki ke Maktab PDRM, Cheras. Sesak juga jalan ke sana. Ditambah dengan simpang-siur jalan yang begitu memeningkan, mencabar juga perjalanan untuk mencari destinasi dituju. Pemergian saya bersama Abang Amran, adalah untuk menyaksikan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2009 Peringkat PDRM. Kata Abang Amran, PDRM adalah antara penganjur terbaik sayembara ini.

Gementar hati apabila ingin memasuki Maktab ini. Maklumlah, di sinilah tempat bakal-bakal wirawan negara ini belajar dan menuntut ilmu. Tempatnya sungguh gah. Saya suka suasananya. Melangkah sahaja ke Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, pertandingan sudah pun bermula. Menarik sekali gaya pengacaraan kali ini, apabila mereka menggunakan konsep lintas langsung - seakan-akan menyaksikan siaran langsung di TV.


Bergambar kenangan dengan Abang Saifuzan, PDRM Sarawak.




Memang mantap-mantap peserta pertandingan akhir PDRM. Semuanya menunjukkan semangat yang jitu. Saya tercari-cari juga bayang sahabat maya saya, Abang Saifuzan yang mewakili PDRM Sarawak dalam kategori syair. Beliau membuat persembahan pada giliran yang keempat. Selepas pertandingan, akhirnya dapat juga bertemu dengan beliau. Dengan Abang Saifuzanlah saya berlatih puisi secara maya, melalui Yahoo Messenger. Saya di Petaling Jaya, dia pula nun jauh di Sri Aman, Sarawak. Sungguh canggih zaman sekarang.
Kehadiran Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara untuk menyerikan majlis semalam tentunya menunjukkan sokongan beliau terhadap majlis-majlis baca puisi seperti ini. Harap-harapnya, ramai lagi tokoh-tokoh VIP yang menjadi seperti beliau, yang sudi hadir dan melapangkan masa, bukan sekadar menghantar wakil semata-mata.

Dalam ramai-ramai itu, sempat juga bertemu dengan beberapa orang yang dikenali. Antaranya, Encik Roslan Madun, Dr Zurinah Hassan - yang juga merupakan hakim pertandingan. Tak dilupa juga Buck Lee Pik Seng, yang sebelum ini hanya sempat melihat dari jauh sahaja, kali ini dapat juga berbual bicara dengan beliau. Kental semangatnya. Mudah-mudahan tahun depan beliau mara ke akhir dan memperoleh kemenangan.







Pabila keputusan diumumkan, Tuan Mahat, Juara Menanti telah sekali lagi diumumkan sebagai pemenang, lantas akan mewakili PDRM ke peringkat kebangsaan tahun ini. Begitu juga dengan pemenang kategori syair. Tentunya, mereka akan memberikan saingan yang sengit sewaktu peringkat kebangsaan Ogos ini. Tahniah diucapkan!

17 Julai 2009

The First Week of Semester 1 2009/2010

There are a lot of things actually that I want to blog about. But due to the never ending activities that I'm involved in, not to mention my procrastination, I haven't got the time to really sit down and focus on writing. After my Law Attachment Programme ended on 26th of June, I straight away went to pack my things to go back to campus to prepare for Cultural Village 2009 organized by IIUM Cultural Unit.
And now, the new semester session has already begun, and the first week has been a hectic one. Packing and repacking to my new room, which is still located at Mahallah Ali is a process that I really dislike, because Im doing it over and over again every semester. However, Alhamdullillah, after the renovation process that has been undergone by Mahallah Ali, I got a room refurnished with new table, locker, rack, and bed.
The coming year ahead will be a tough one. There will be 6 core subjects and co-curiculum subject for me to handle as follows :
1. Land Law 1
2. Company Law 1
3. Equity & Trusts 1
4. Public International Law 1
5. Usul Al-Fiqh 2
6. Industrial Relations Law
7. Gamelan Course 2
So far, I haven't really settled down yet. My stuffs haven't been unpacked yet, although my schedule has already been confirmed. It has been a very busy week. InsyaAllah, I'll blog about the Cultural Village in the next post.
Wassalam.

04 Julai 2009

Baca Puisi Di TV1


Pagi tadi saya bersiaran secara langsung di TV1 untuk rancangan Hujung Minggu Malaysia dari Kompleks Kraf Kuala Lumpur - membaca sebuah puisi karya Sasterawan Negara Usman Awang - "Dari Bintang ke Bintang". Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada Kak Raihani Mohd Said yang telah mencadangkan nama saya kepada pihak RTM untuk membaca puisi. Tentunya ini suatu pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

Saya telah dihubungi oleh Saudara Anuar Jalil pada hari Khamis yang lepas - meminta saya untuk membaca sebuah puisi yang berkaitan dengan percintaan dan perkahwinan, sempena pameran "Kerja Kahwin '09" yang diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Pada asalnya, saya diminta untuk membaca 2 buah puisi, tetapi kemudian menjadi satu akibat sedikit perubahan.

Memilih untuk membaca puisi daripada penyair kegemaran saya iaitu SN Usman Awang - kerana temanya yang bertepatan dengan majlis hari tersebut. Berikut saya perturunkan sedikit bait-baitnya :

"...Kini kulihat kepalamu tersandar di jinjang pelamin
rambutmu tersanggul terandam mengilau di cahaya lilin
gemersik kainmu membisikkan bahagia malam pengantin
melimpah tumpah bahagia dalam tawa teman keliling..."

Kali pertama bersiaran di TV, suatu pengalaman yang sungguh berharga. Meskipun secara peribadi saya tidak puas dengan bacaan saya - dek kerana kesuntukan masa untuk membuat persediaan, tapi insyaAllah akan saya pertingkatkan pada masa hadapan - jika diberi peluang sekali lagi.

Ini sedikit gambaran apa yang berlaku pagi tadi.

Set penggambaran untuk sesi temubual.


Bersiaran secara langsung.




Kebetulan, Aris Yamin - peserta Pilih Kasih RTM juga ada. Beliau merupakan teman sekelas di UIAM. Pernah buat tugasan berpasangan dengan beliau.

Sempat bergambar dengan Rosyam Nor!Saudara Anuar Jalil - beliau graduan media UM. Aktif dalam bidang deklamasi puisi. Katanya, pernah 3 kali mewakili UM untuk Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka MAKUM.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan