Subscribe

02 Ogos 2013

Pulau Pinang dan Nasi Kandar

 

IMAG2116

i.

Saya ada pengalaman buruk dengan Nasi Kandar. Sejak pertama kali mengenali makanan ini iaitu di Melaka pada tahun 2005, saya jadi tak suka dengan Nasi Kandar.

Waktu itu saya sedang belajar di Melaka, dan telah dibelanja makan Nasi Kandar oleh seorang rakan yang datang menyinggah dari Johor Bharu. Pertama kali memesan Nasi Kandar, saya melihat ada pelbagai jenis kari yang berminyak telah dicampur-campurkan di atas sepinggan nasi.

Mungkin waktu itu tahap toleransi saya terhadap makanan yang pedas tidak begitu tinggi. Jadi sebaik sahaja beberapa suapan, saya sudah tidak tahan dengan kepedasannya yang amat sangat. Tahap kebanjiran pinggan yang penuh dengan lauk itu juga tidak menarik minat saya.

Selepas itu, luputlah Nasi Kandar dari diet pemakanan saya buat beberapa tahun.

ii.

Beberapa minggu lepas, saya dan keluarga telah pergi bercuti ke Pulau Pinang. Kononnya bagi meraikan tamatnya Latihan Dalam Kamar saya (oh lagi cerita tentang itu nanti). Tapi sehari sebelum berangkat, badan saya sudah mulai demam. Hotel tempat kami tempah ada polisi untuk tidak membenarkan pembatalan penempahan. Jadi nak tak nak saya gagahkan juga untuk bercuti ke sana.

Hajat Ayahanda ke Pulau Pinang adalah untuk menikmati segala tawaran kulinari di pulau yang digelar sebagai syurga makanan itu. Saya yang sekadar menurut perintah, sekadar mengangguk kerana tekak orang demam makan apa pun pasti kurang berselera.

Sudah  lama sangat saya tak ke Pulau Pinang. Kalau tak silap mungkin kali terakhir pun dalam 10 tahun lepas. Kadang-kadang saya terfikir  bagaimana sebuah pulau boleh menempatkan begitu banyak bangunan. Pasti sempit jadinya. Macam itulah betapa kolotnya saya yang sebelum ini banyak pergi ke pulau-pulau peranginan. Mungkin itulah rujukan keluasannya.

Di Pulau Pinang, kami sekeluarga menginap di sebuah hotel di Tanjang Bungah. Gambar di sebelah ini adalah pemandangan dari bilik hotel yang telah saya muatnaik ke dalam Instagram.

Kebetulan ketika hujung minggu itu sedang berlangsung satu Festival Warisan di Georgetown bag meraikan ulangtahun ibu negeri Pulau Pinang itu diwartakan sebagai tapak warisan dunia.

Maka, Pulau Pinang agak sesak. Jalan-jalan utama untuk ke Georgetown begitu padat dengan kereta sehingga kami mengambil keputusan untuk berjalan-jalan sahaja di sekitar Tanjung Bungah dan Batu Feringgi.

iii.

Pagi terakhir di Pulau Pinang, Ayahanda dan Bonda telah mencadangkan kepada kami untuk pergi mencari sebuah tempat yang dicanangkan sebagai  kedai yang menjual Nasi Kandar yang paling sedap di Pulau Pinang. Tempatnya terletak di Kampung Melayu – iaitu di tingkat bawah kawasan Flat di situ.

Dengan bantuan GPS, saya telah memandu kereta dan dengan gigihnya mencari tempat tersebut. Dalam hati saya, tidak berminat pun hendak menjamah Nasi Kandar. Tambahan pula sebab saya fikir siapa yang mahu makan Nasi Kandar pada pagi-pagi buta begini?

Nama kedainya adalah Kedai Kopi Kampong Melayu. Saya tidak memesan apa-apa kecuali segelas Milo Ais dan beberapa keping karipap.

Hanya Ayahanda dan adik saya yang memesan sepinggan Nasi Kandar. Dalam hati, saya hanya berniat untuk merasa sedikit sahaja lebihan Nasi Kandar yang dipesan adik saya kerana saya tahu dia memang makan tak akan habis.

Seperti diduga, adik saya hanya makan setengah sahaja hidangan Nasi Kandarnya. Maka, bermulalah tugas saya seperti selalunya iaitu tukang penghabis makanan!

Kali pertama menikmati Nasi Kandar setelah beberapa tahun, saya rasa sangat terkejut! Nasi Kandar itu terasa sangat lembut kepada perut tanpa rasa pedas yang berapi. Aroma karinya begitu terasa dan teradun elok bila dinikmati dengan nasi kukus. Bila dipadankan dengan ayam goreng – oh saya terasa macam nak pengsan dek kerana sedapnya!

Serentak dengan itu – terus saya jatuh hati semula dengan Nasi Kandar!

iv.

Setelah pulang ke  Petaling Jaya, saya masih membayang-bayangkan kesedapan Nasi Kandar. Sekarang barulah menghargai kedai mamak Nasi Kandar Kayu Original yang tak jauh dari rumah.  Sebelum ini hanya makan makanan mamak sahaja di sana. Tak reti nak pesan Nasi Kandar. Apabila sedang berpuasa ini pula, asyik mengidam Nasi Kandar untuk makanan berbuka dan sahur.

Apakah moralnya di sini? Sekali pengalaman pahit tak semestinya akan pahit buat selamanya. Ewah! Mungkin lepas ini mahu lebih berani berekperimen dengan makanan. Malaysia ini syurga makanan, kalau tak berani meneroka, memang rugi!

Selamat berbuka puasa!

2 komentar:

School Of Tots berkata...

Kopi Pahit Kadang2 Manis
Pengalaman Pahit Kadang2 Manis

hafiz apit berkata...

Mesti sedapkan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan