Subscribe

19 Mei 2013

PRU13 : Keterujaan Mengundi Kali Pertama

PhotoGrid_1368893149470

Pagi itu sangat istimewa.

Tidak seperti hari-hari Ahad yang lain, hari itu majoriti rakyat Malaysia bangkit awal pada hujung minggu, lambang keazaman untuk memilih halatuju negara mengikut pertimbangan masing-masing.

Ya, tanggal 5 Mei 2013 menyaksikan proses demokrasi sekali diamalkan. Bagi saya pula, hari itu adalah hari bersejarah kerana merupakan kali pertama saya berpeluang untuk mengundi setelah cukup umur.

Bertemankan sahabat baik saya Leng Zhong, kami berjalan kaki dari rumah nenek saya yang letaknya tidak jauh dari Pusat Pengundian. Saya sangka tak ramai yang akan pergi mengundi awal.Tapi sangkaan itu ternyata meleset kerana sampai sahaja di depan sekolah tempat penngundian itu, saya nampak barisan manusia beratur yang sangat panjang hampir 2KM jauhnya!

Mujurlah pergi mengundi dengan berteman. Kalau tidak, pasti akan kebosanan dan lenguh kaki juga sebab berbaris dan berdiri sangat lama. Sewaktu mengundi inilah baru dapat berkumpul beramai-ramai dengan warga kawasan kejiranan saya meski pun rata-rata tak ramai wajah yang dikenali muncul. Sam

Sambil beratur itu, kami disapa oleh mereka-mereka yang telah pun siap mengundi sambil menunjukkan jari yang sudah dicalit dengan dakwat kekal. Mereka masing-masing memberikan tips-tips berguna kepada orang yang masih beratur. Antaranya adalah untuk mendapatkan nombor siri terlebih dahulu kerana itu pasti akan memudahkan petugas SPR menjalankan kerja mereka dengan lebih cepat untuk mencari nama kita di dalam daftar pengundi.

Apabila saya periksa nombor siri, tak sangka kebetulan nombor saya dan Leng Zhong sebelah menyebelah pula! Hal ini mungkin terjadi kerana hari lahir saya dan Leng Zhong jaraknya hanya 2 hari. Maka, sudah tentulah nombor kad pengenalan kami hampir-hampir dekat. Rupa-rupanya tak ada orang yang lahir di antara tarikh hari jadi kami di kawasan pengundian ini!

Sebenarnya, kami semua yang beratur di luar itu tersilap. Kami tak perlu pun beratur di luar sekolah itu kerana barisan itu adalah untuk memeriksa nombor siri dan saluran. Kalau sudah tahu nombor siri dan saluran, boleh sahaja terus beratur di saluran masing-masing.

Saya ditempatkan di Saluran 4, iaitu saluran untuk orang-orang muda yang berumur 30 tahun ke bawah. Yang amat peliknya, kawasan tempat Saluran 4 mengundi mempunyai teduhan, manakala mereka yang lebih dewasa dan mengundi di Saluran 3 terpaksa menahan terik mentari kerana tidak ada bangunan yang boleh dibuat tempat berteduh. Agak pelik juga.

Saya beratur sekali lagi dalam masa sejam dalam barisan yang sudah bersimpang-siur seperti ular. Waktu itu, saya sudah mula mendiamkan diri untuk memberi fokus kepada siapa yang hendak saya pangkah. Keputusan sudah ditetapkan setelah mempertimbangkan baik dan buruk. Maka, tak mahu mengubahnya hanya kerana pengaruh saat akhir.

Semakin hampir ke bilik pengundian, hati semakin berdebar-debar. Saya tahu, dengan satu undi tidaklah dapat mengubah apa-apa, namun sebutir pasir jualah yang membentuk sebuah, gunung, bukan?

Tiba giliran yang dinantikan, kerani SPR memanggil saya untuk tampil ke bilik pengundian, lantas berikan kad pengenalan sebagai tanda mengesahkan identiti. Nombor kad pengenalan saya telah dibacakan dengan lantang supaya dapat didengar oleh para ejen tempat mengundi dari parti-parti yang bertanding.

Setelah itu, jari telunjuk kiri saya pula telah dicalitkan dengan dakwat kekal berwarna biru di keseluruhan ruas yang pertama. Saya segera membalut jari itu dengan tisu agar tidak tertonyoh ke kertas undian.

Sambil memegang pena di tangan kanan, saya berselawat dan dengan perlahan, memangkah calon-calon pilihan untuk Parlimen Subang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan. Mudah-mudahan, keputusan itu adalah demi kebaikan dan kesejahteraan.

Selepas ini : Pengalaman Menjadi Ejen Tempat Mengundi

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan