Subscribe

19 Disember 2012

Kurang 24 Jam di Kuala Terengganu

 679849_10151109505187283_914072775_o

Saya menyaksikan pertemuan dan perkenalan kedua sahabat saya ini, sejak pertama kali berkenalan bersama-sama di dalam Kelab Alumni MPR. Saya juga menyaksikan bibit-bibit percintaan yang mereka semai sehinggalah kini, hari penyatuan mereka di dalam ijab dan qabul.

Oleh itu, rasa seperti tidak lengkap pula kalau saya tidak dapat menghadiri majlis akad nikah mereka di Kuala Terengganu, walau pun akan diadakan satu lagi majlis bertanding di sebelah pihak lelaki di Perak.

Sebelum ini, baru sekali sahaja saya menjejakkan kaki ke Kuala Terengganu. Itu pun hanya singgah sebentar sahaja, kerana waktu itu saya menginap di Awana Kijal dan tidak sempat berjalan-jalan sekitar ibu negeri Terengganu itu.

Bertemankan rakan saya Abang Azam, kami bertolak seawal pukul 8 pagi lagi dan terus menghala ke Gombak untuk memasuki Lebuhraya Karak yang menyambungkan Kuala Lumpur dengan Pantai Timur. Kami singgah sebentar di Kuantan kerana mahu menghadiri majlis walimah seorang rakan terlebih dahulu, sebelum menyambung baki perjalanan ke Kuala Lumpur.

Saya diberitahu bahawa untuk ke Terengganu, ada dua pilihan sama ada hendak melalui lebuh raya yang mana pemandangan kiri kanan hanyalah hutan, atau juga boleh melalui jalan pesisir pantai timur. Sudah pastilah kami memilih untuk menggunakan jalan pesisir pantai kerana saya teramat jarang ke Pantai Timur dan sambil di dalam perjalanan, bolehlah menikmati pemandangan perkampungan di kiri dan kanan jalan.

Kami sampai di Kuala Terengganu lebih kurang pukul 6 petang. Sebelum terus ke tempat penginapan, saya sempat singgah terlebih dahulu di Masjid Terapung Kuala Terengganu, yang pembinaannya persis Masjid Terapung di Jeddah yang pernah saya kunjungi beberapa tahun dahulu. Bezanya, di Jeddah, Masjid Terapungnya dibina di pesisir laut, tetapi di Kuala Terengganu, ia dibina di atas sebuah tasik buatan manusia.

2012-11-11 08.10.03Tempat penginapan kami adalah Warisan Homestay. Saya suka menginap di sini kerana rumah rehat yang diberikan berupa sebuah rumah kayu yang pastinya memberi satu pengalaman yang menarik untuk saya, teristimewa sekali apabila dapat berkumpul semula dengan kawan-kawan dan berkenalan dengan rombongan keluarga pengantin lelaki.

Pagi Ahad itu kami semua bangun awal untuk persiapan majlis pernikahan di Masjid UniSZA pada pukul 10 pagi. Ketika itu, baru saya teringat bahawa saya mengenali seorang rakan deklamator yang sedang menuntut di UniSZA, iaitu Dian. Saya suba menghubungi beliau, tetapi sayangnya kami memang tiada jodoh untuk bertemu kerana ketika itu beliau berada di Johor untuk sebuah program baktisiswa.

Saya ditugaskan untuk memandu kereta pengantin dan mengetuai rombongan konvoi untuk ke Masjid UniSZA – satu perkara yang membuatkan saya rasa teramat berdebar kerana harus memandu di satu tempat yang amat asing! Mujurlah jalan di Kuala Terengganu tidaklah terlalu sibuk dan kami semua tiba di masjid dengan selamat.

Selepas majlis pernikahan, rombongan kami terus dijemput ke Dewan Sivik Gong Badak yang mana di situ diadakan kenduri kesyukuran bagi meraikan pernikahan antara dua pasangan sahabat baik saya ini! Meski pun serba sederhana, tapi saya dapat rasakan bahawa majlis ini pastinya begitu bermakna kerana cinta yang disemai akhirnya menjadi sebuah istana!

Kami tidak berlama-lamaan sangat di situ kerana sedar bahawa ada satu perjalanan yang jauh harus ditempuhi untuk kembali ke Kuala Lumpur. Oleh itu, kami meminta diri terlebih dahulu untuk menggunakan masa yang ada untuk berjalan-jalan di sekitar Kuala Terengganu, secara khasnya, di Pasar Payang!

Saya dikhabarkan bahawa Pasar Payang ini adalah antara destinasi yang wajib bagi sesiapa yang menyinggah di Kuala Terengganu. Begitu banyak barangan tempatan yang dijual di sini, dari barangan fabrik seperti batik dan songket, sehinggalah barangan makanan terutamanya hasil laut yang menjadi keistimewaan Terengganu seperti Keropok Lekor!

Tidak sampai 24 jam, kami harus meninggalkan bumi Kuala Terengganu dengan hati yang sangat berat. Bukan senang hendak datang menyinggah ke sini, tetapi apa kan daya, masa dan keadaan tidak mengizinkan. Rasanya menang terlalu banyak tempat yang saya ingin kunjungi, tetapi tak mengapalah. Mungkin lain kali jika ada rezeki, pastinya saya akan datang lagi dan meneroka segenap sudut Kuala Terengganu!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan