Subscribe

24 November 2012

Teater Tun Siti Hasmah : Dari Hati Seorang Perempuan

 

Teater_Tun_Siti_HasmahSepatutnya, saya tonton teater ini bersama teman saya dari Indonesia, Abang Hendri yang datang berlibur di Malaysia sempena satu acara pertemuan Instagram Asia di Kuala Lumpur.

Tetapi oleh kerana jadual acaranya yang sudah terlajak, jadi saya terpaksa buat keputusan segera untuk membawa teman lain agar Abang Hendri dapat meneruskan rencananya di sini. Rasa rugi pula, kerana niat asal hendak membawanya menonton dunia kebudayaan Malaysia juga sejarah pemimpinnya, tetapi tidak kesampaian. Mudah-mudahan lain kali ada peluang lagi!

Teater Tun Siti Hasmah ini adalah teater pertama yang saya beli tiketnya secara online. Sebelum ini saya sanggup meredah kesesakan Kuala Lumpur semata-mata mahu membeli tiket di kaunter, tetapi apabila sudah memulakan kerjaya, masa semakin menghimpit. Senang juga ya bila membeli tiket secara online. Bila dah sekali mula, pasti lepas ini saya tidak terlepas lagi menonton teater-teater yang saya suka!

Kebetulan apabila sudah sah membeli tiket, tak lama selepas itu beberapa rakan sekolah saya pula mengajak untuk menonton teater ini pada hari dan waktu yang sama. Seperti tahu-tahu saja memang saya hendak tonton teater pada waktu itu. Lebih ramai rakan menonton, lagi seronok!

382019_10151162694335765_301922460_n

Barisan rakan-rakan yang turut sama teruja menonton teater ini.

Keseluruhannya, saya memuji keseluruhan produksi teater ini. Dari pandangan mata saya sebagai penonton biasa, tidak ada complain! Ini kali pertama sebenarnya saya menonton sebuah teater arahan Erma Fatima, kerana sebelum ini tidak berkesempatan untuk menonton teater lain arahannya seperti Sirah Junjungan dan Natrah.

Berikut beberapa perkara yang saya suka dari teater ini :

  • Bahagian awal teater ini lebih banyak menggunakan teknik muzikal berbanding bahagian tengah dan akhirnya yang ada banyak unsur drama ditekankan. Saya merasakan mungkin ini disebabkan untuk memberi satu nafas dan tenaga sewaktu zaman muda Tun Siti Hasmah yang juga memaparkan kisah perkenalan dan percintaan beliau dengan Tun Mahathir.
  • Saya sangat suka babak ketika Tun Mahathir memberikan ucapan, dan ketika itu drama Tun Mahathir difitnah telah bermula dan pelbagai tuduhan-tuduhan liar berunsur politik telah dipaparkan. Di tengah-tengah itu, tiba-tiba diselitkan Tun Siti Hasmah memberikan ucapan-ucapannya berkaitan usahanya di dalam bidang kesihatan. Seolah-olah menggambarkan bahawa ketika suaminya aktif berpolitik, Tun Siti juga memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.
  • Babak lakonan semula adegan perletakan jawatan Tun Mahathir semasa Perhimpunan Agung UMNO dipaparkan seolah-olah saya berada di dalam perhimpunan itu sendiri. Bermula dengan iringan lagu rasmi UMNO dalam versi baru yang saya sangat suka, tiba-tiba kelibat pemuda-puteri barbaju putih merah muncul di kiri kanan Panggung Sari. Adegan ini juga mendapat tepukan yang gemuruh terutamanya apabila klon Tan Sri Rafidah menjadi orang pertama yang meluru ke rostrum, persis seperti yang kita lihat sebelum ini.

Benarlah bagai dikata, di sebalik kejayaan seorang lelaki, pasti ada seorang perempuan yang berdiri teguh di belakangnya. Kita sering melihat ketokohan Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri mengemudikan negara hingga menjadi gah di mata dunia seperti sekarang ini, tetapi di sebalik itu, ada yang menjadi sumber kekuatan beliau.

Saya tinggalkan anda dengan bait bait kata-kata Tun Siti Hasmah yang menjadi tagline kepada teater ini :

Bermadu dengan perempuan, sakitnya sampai ke lulur hati. Tapi saya bermadu dengan rakyat. Ada sakit, ada nikmat.

.

.

.

1 komentar:

Nur Emyinda berkata...

Salam saudara Azree,

Yes...No regrets...its worth watching it! I was once a student, in a once upon a time far away land, was asked where do i came from. Mentioned M'sia, but then they only recognised M'sia as Mahathir's country. They were so much amazed and adore him as a brave man of courage and wisdom.

Benarlah bagai dikata, "di sebalik
kejayaan seorang lelaki, pasti ada seorang perempuan yang berdiri teguh di belakangnya". Tun Siti Hasmah is indeed an idol who had all this while been supporting him during his ups and downs. Perhaps those up North (the Kedahans) knew them well. May Allah's blessings be with them always...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan