Subscribe

30 Mac 2012

Kenapa Saya Menulis Blog? - Bahagian 1

Saya ingat lagi, ketika pertama kali saya mendengar mengenai sesuatu yang dinamakan sebagai blogging. Kalau tak silap saya, waktu itu lebih kurang 10 tahun lepas, semasa saya berada di pangkuan sekolah rendah. Untuk pengetahuan anda, waktu kecil dulu, saya jenis yang suka menulis catatan harian di dalam diari.

Walaupun saya bukanlah pencatat diari yang begitu berdisiplin, tetapi saya terpesona dengan konsep yang mana saya dapat mencatat apa yang berlaku dalam kehidupan saya untuk dokumentasi pada masa akan datang. Sehingga kini, saya masih ada simpanan diari itu, atau mungkin lebih sesuai saya sebut sebagai jurnal.

Ditambah dengan minat saya yang semakin mendalam ke arah bidang penulisan ketika itu, ternyata konsep blogging itu membuat saya sangat tertarik. Yalah, sudahlah kita dapat mendokumentasikan perjalan hidup secara lebih mudah di dalam komputer, malah kita dapat berkongsi dengan rakan-rakan dari seluruh dunia!

Sedari itu, saya menjadi seorang blogger. Sama seperti menulis diari, saya juga tidaklah begitu berdisiplin dalam menulis catatan blog secara konsisten. Tetapi, dari masa ke semasa, saya pasti akan menambah blog saya dengan pengalaman-pengalaman baru yang amat berharga, kerana saya takut satu hari saya akan lupa butir-butirannya.

Sekarang, blog tidak lagi menjadi sebuah fenomena sebagai mana beberapa tahun dulu. Dengan kehadiran laman sosial seperti Twitter dan Facebook, sudah ramai yang 'malas' hendak berblog kerana ternyata lebih mudah berkongsi cerita di laman sosial tersebut. Lagi pun, siapalah mahu baca catatan blog yang panjang berjela kan?

Sejak dari mula, niat saya hendak menulis blog yang paling utama sekali adalah untuk tujuan dokumentasi. Memanglah benar, sekarang ini kita ada kamera digital yang boleh merakam gambar kehidupan kita. Tangkaplah sebanyak mana pun, pasti tak akan habis. Walau pun orang mengatakan bahawa sebuah gambar boleh mewakili seribu patah perkataan, tetapi saya yakin, ada perkara yang harus kita perturunkan dalam bentuk tulisan.

Dan kerana itu, blog saya masih teguh berdiri di sini, menjadi rumah pertapaan buat saya berasa selesa di alam maya. InsyaAllah...

Bersambung...

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan