Subscribe

18 September 2011

Eurotrip 10 : Majlis Graduasi Ameer di Salford

 image

:: Sudah kembali ke Manchester. Sekarang harus hadiri graduation Ameer pula! ::

Kembali kita ke United Kingdom semula! Lebih tepat lagi di Manchester, pintu masuk dan keluar kami di sini. Tujuan utama kami ke Eropah semula selepas baru sahaja tahun lepas ke sini bukanlah utama makan angin semata-mata. Tujuan asalnya adalah untuk menghadiri majlis graduasi adik saya, Ameer yang telah pun menamatkan pengajiannya di Universiti Salford dalam bidang Ukur Bahan.

Penerbangan kami dari Belgium mendarat di Liverpool, dan kemudian terus kami mengambil bas menuju ke Manchester. Selepas itu, sehari dua juga kami berehat-rehat di sana, sambil Ameer sibuk membuat persiapan untuk majlis graduation.

Oh, di sini mereka tidak panggil majlis konvokesyen seperti di Malaysia. Saya ingat lagi bila saya kata kovonkesyen kepada seorang Mat Salleh ini, terpinga-pinga sebentar dia. Tetapi bila saya sebut graduation, barulah dia faham.

image

:: Keadaan di luar The Lowry selepas sidang pertama berakhir ::

Majlis graduasi Ameer diadakan di The Lowry, yang letaknya di Salford Quays, Manchester. The Lowry ini adalah sebuah dewan teater yang mementaskan pelbagai jenis persembahan dan juga galeri kesenian. Di dewan inilah Universiti of Salford mengadakan majlis graduasi bagi pelajar-pelajarnya.

Ameer telah bertolak lebih awal dengan Ayahanda dan Bonda, manakala saya, Aqil, dan Maryam bertolak kemudian kerana kereta tak muat hendak masuk semua orang. Bersebelahan dengan dewan teater The Lowry ini, ada juga sebuah Gedung Membeli-Belah dengan nama yang sama.

Saya, Aqil dan Maryam sempat lepak di sini sekejap sambil menunggu majlis berakhir, kerana hanya dua orang diberikan pas masuk untuk setiap pelajar. Sudah pastilah ia diberikan untuk Ayahanda dan Bonda.

Apa yang saya perhatikan di sini, tidak ada penjaja-penjaja yang menjual bunga-bunga atau barangan konvokesyen seperti di Malaysia. Mungkin kerana kebetulan tempat ini terletak berdekatan dengan Gedung Membeli Belah, yang mana ada kedai menjual barangan cenderamata. Tetapi, tidak ramai yang saya lihat mengendong bunga atau cenderamata.

image

:: Akhirnya adinda Ameer sudah bergelar graduan! ::

Apabila para graduan telah keluar dari dewan, maka bersatulah kembali para para bekas mahasiswa ini dengan keluarga masing-masing. Apa yang menarik saya lihat adalah ada ibu bapa dari negara luar UK yang memakai baju tradisi negara masing-masing, terutamanya dari negara-negara Afrika. Ayahanda juga tidak ketinggalan mengenakan Baju Batik Malaysia, meskipun ayah-ayah pelajar Malaysia lain sekadar berpakaian suit barat. Oh itulah namanya semangat Malaysia!

Suasana di sini tidaklah ‘semeriah’ majlis konvokesyen di Malaysia yang pernah saya hadiri. Mengikut pengalaman, graduan di Malaysia biasanya lebih ‘bising’ bila keluar dari dewan, apabila masing-masing sibuk bergambar dan membaling mortar board masing-masing, tanda kejayaan menggengam segulung ijazah.

image

:: Keluarga dari Malaysia yang berkumpul di satu sudut ::

Satu perkara yang kelakar, adalah apabila semua orang sudah balik satu persatu, kumpulan yang paling lambat hendak beransur sudah tentu pelajar Malaysia! Atau setidak-tidaknya yang kelihatan seperti orang Asia. Semuanya sibuk bergambar dengan pelbagai aksi dan gaya. Aduhai, di mana-mana pun, orang Malaysia akan tetap menjadi orang Malaysia. Letaklah di mana pun. :)

image

:: Menjamu makanan Yaman di sebuah restoran bernama ‘Hadramaut’. ::

Tak lengkaplah entri ini kalau saya tak letak sekali gambar-gambar makanan! Selepas habis majlis graduasi itu, sudah tentu perut semua orang sudah berkeroncong. Seharian menunggu majlis berlangsung, tentu terasa lelah sekali. Ameer membawa kami ke sebuah restoran makanan Yaman bernama “Hadramaut” di Rusholme.

Balik di rumah pula, Ameer mendapat kejutan daripada Maryam yang telah membuat sebuah kek khas sempena graduasinya. Dan apa yang saya boleh katakan, memang sedap sangat-sangat. Memang pandai Maryam buat kek. Kalau anda terliur melihat kek ini, jangan salahkan saya ya!

image

:: Melihat kek ini membuat saya menjadi lapar semula! ::

Sekianlah cerita tentang majlis Graduasi Ameer. Entri ini ditulis khas bagi menyambut kepulangan Ameer yang baru sahaja pulang ke tanah air pada hari Jumaat lepas. Selamat kembali!

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan