Subscribe

01 Februari 2011

Inilah Kuala Lumpur Saya

 ** Entri Sempena Hari Wilayah Persekutuan 2011

image

Setiap kali menjelang cuti semester, rakan-rakan saya akan sibuk menguruskan kepulangan masing-masing ke kampung halaman. Ada yang akan ke Pantai Timur, Utara, dan juga Selatan. Tak kurang juga ada yang haru merentasi Laut China Selatan untuk ke Pulau Borneo. Begitulah seperti selalunya. Dan saya, hanya terdiam sebentar, dan kemudian terus mulakan enjin kereta. Setengah jam kemudian, saya sudah tiba di kampung laman. Rumah syurga dunia.

Apabila orang bertanya kepada saya, “Asal dari mana?”, saya seringkali menjawab “Petaling Jaya.” Itu adalah jawapan saya sejak meninggalkan alam persekolahan, dan bertemu dengan rakan-rakan universiti dari serata pelusuk tanah air.

Kadang-kadang, ada yang akan bertanya semula, “PJ di seksyen berapa?”. Oh, tempat saya tinggal sudah di pinggiran Petaling Jaya. Sudah hampir sangat dengan sempadan Kuala Lumpur. Tidak ada seksyen di sini.

Maka, saya mula terfikir, tepatkah jawapan saya apabila memberitahu saya orang Petaling Jaya? Dari segi geografi, pasti memang tepat. Malah dalam kad pengenalan saya sendiri, alamatnya di dalam daerah Petaling Jaya. Bagaimana pun, saya tidak begitu kenal dengan kawasan pusat bandar Petaling Jaya. Ternyata kawasan tersebut begitu asing sekali.

Lalu, saya kembali bertanya diri sendiri. Mahu jadi orang KL atau orang PJ?

Menjawab persoalan ini, eloklah kalau saya kenang semula sejarah diri saya. Saya dilahirkan di Pusat Perubatan Pantai, Bangsar. Ya, di Kuala Lumpur. Maka, dengan itu sahaja sudah cukup menjadikan saya anak kelahiran Kuala Lumpur. Kota inilah yang telah mendengar rengekan pertama saya sewaktu masih bayi.

Kedua ibubapa saya berketurunan luar dari Kuala Lumpur. Keluarga ibu berasal dari Muar, Johor manakala sebelah bapa dari Kuala Selangor. Tetapi, mereka berdua dibesarkan hampir sepenuhnya di Kuala Lumpur. Itu sudah menjadikan mereka secara tak rasmi, warga kota sejati. Kalau anda dengar kisah bibit-bibit percintaan mereka, memang penuh dengan latar belakang kota ini.

Kami tinggal bersama Tok Yan, nenek sebelah ibu di kediamannya di Bukit Damansara, juga di Kuala Lumpur. Seluruh kehidupan kanak-kanak saya telah dibesarkan di kawasan yang dikatakan elit itu. Maka, saya melihat wajah Kuala Lumpur membangun di hadapan mata saya.

Sekarang ini, setiap kali saya mengelilingi Kuala Lumpur, pasti ada sahaja kenangan waktu kecil yang menggamit kenangan. Saya masih ingat ketika kecil dahulu, Tok Yan selalu membawa saya untuk membeli barangan runcit di TMC, sebuah pasaraya yang terkenal di Bangsar. Di situ juga saya pernah mengikuti tuisyen Bahasa Inggeris dalam program Victoria Readers.

Tidak lupa, Taman Tasik Perdana yang mana taman permainannya sangat saya suka kerana ada papan gelongsor yang sangat tinggi, dan pelbagai permainan taman yang menyeronokkan. Oh kenangan sewaktu kecil sangat manis!

Begitu juga, saya telah memasuki alam tadika di Villa Maria, sebuah tadika yang sangat terkenal di Bukit Damansara suatu ketika dahulu. Tanyalah kepada kebanyakan  anak-anak muda sebaya saya yang tinggal di sana, pasti kebanyakan mereka dari sana. Bagaimana pun, saya telah berpindah tadika ke sebuah tadika Islam Al-Hidayah.

Di kedua tadika inilah, saya mula bergaul dengan anak-anak kelahiran Kuala Lumpur yang lain. Masa itu, saya merupakan seorang budak lelaki yang sangat sangat pemalu dan pendiam. :)

Seterusnya, saya telah menyambung pelajaran ke Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara. Bergaul dengan anak-anak Kuala Lumpur ini ternyata berbeza sedikit dengan mereka dari luar Kuala Lumpur – seperti yang saya dapati ketika melangkah ke alam universiti. Sudah pasti, ia tertakluk kepada sifat individu itu sendiri, tetapi budaya dan persekitaran pasti memainkan sedikit peranan.

Pada pertengahan tahun 1997, barulah kami sekeluarga berpindah ke Petaling Jaya, sewaktu saya berada dalam darjah 4. Tetapi, jaraknya tidaklah jauh. Lebih kurang sejam sahaja beza antara keduanya. Dan apa yang menarik, kawasan kejiranan baru ini, dan Bukit Damansara – kedua-duanya masih berada di dalam mukim yang sama – Damansara!

Jadi, kalau hendak dinyatakan dengan lebih tepat, saya rasa sudah tentu pernyataan saya orang Damansara lebih menyeluruh. Tetapi, yang pasti Kuala Lumpur pasti ada bahagian yang istimewa di hati saya. Di sinilah saya dilahirkan, dan dibesarkan. Kota ini jugalah yang telah mencorakkan sebahagian besar kehidupan saya.

Meski saya tidak seperti remaja KL yang lain, yang ditakrifkan sebagai urban dan metropolitan; tetapi saya tidak dapat bayangkan jika dibesarkan di tempat selain KL. Pasti, saya akan menjadi manusia yang sedikit berbeza.

Inilah Kuala Lumpur saya. Saling tak dapat dipisahkan. Terikat dalam kenangan.

Sekian.

1 komentar:

student berkata...

anak jati Kuala Lumpur..:)

Latest entry, Krisis Mesir, Apa tindakan kita?!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan