Subscribe

12 September 2010

Rumah Terbuka Raya Ketiga

image

Sebenarnya, bukanlah Rumah Terbuka; tetapi kunjungan daripada sanak-saudara daripada sebelah Ayah saya. Sudah menjadi kebiasaan dalam keluarga kami, sebaik sahaja Rumah Terbuka datuk saudara saya di Shah Alam, kami semua akan singgah di rumah keluarga saya untuk  ziarah berhari raya.

Keluarga sebelah Ayah saya besar, kalau hendak dibandingkan dengan sebelah Ibu. Ayah ada 9 orang adik beradik seibu dan sebapa. Ayah saya satu-satunya anak lelaki yang masih hidup, berikutan dua orang lagi abangnya yang telah meninggal sewaktu bayi lagi. Mereka tidak dikira dalam 9 orang itu.  Maka, saya ada 8 orang ibu saudara.

Mak Long, Mak Ngah, Mak Lang, Mak Chek, Mak Uda, Mak Teh, dan Mak Ucu. Ada seorang lagi, namanya Allahyarhamah Mak Cik Kamariah – saudara kembar kepada Mak Uda. Semua keluarga mereka hadir ke beraya di rumah, kecuali keluarga Mak Uda.

Hidangan yang disediakan – seperti biasa : rendang, lemang, ketupat, serunding dan ditambah pula dengan Laksa Johor. Sangat sedap!

Sewaktu kunjungan tadi, Mak Long bercerita dengan saya mengenai darah keturunan sebelah nenek dan datuk saya. Sebelum ini, saya hanya sangka saya punya darah Bugis dan Cina dari sebelah ayah. Rupanya, itu hanya di sebelah nenek. Sebelah datuk pula, saya mewarisi darah Jawa dan Acheh. Maksudnya, saya punya darah Bugis + Jawa + Acheh + Cina. Menarik!

Ketika waktu sebegini yang kita perlu hargai. Saat-saat berkumpul dengan sanak-saudara, bercerita, bertanya khabar, dan bergurau senda. Ketika susah, keluargalah tempat kita bergantung, bukan orang lain. Dan kerana merekalah, hari raya menjadi lebih sempurna!

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan