Subscribe

04 Ogos 2009

Perkampungan Budaya UIAM 2009

Awanan teja di balik cahaya,
Ternampak bulan datang berteman;

Muda remaja berkampung budaya,

Penegak warisan zaman berzaman.


Barangkali mungkin sudah agak terlewat untuk saya membingkiskan kata-kata berkenaan program Perkampungan Budaya 2009 yang dianjurkan oleh Unit Kesenian dan Kebudayaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Namun, saya kira adalah penting untuk saya tetap mencatatkan sedikit sebanyak pengalaman saya terutama sekali untuk tujuan dokumentasi.

Program ini adalah hasil usaha sama kesemua 11 kelab yang bernaung di bawah payung Unit Kesenian & Kebudayaan UIAM. Saya sendiri telah menyertainya mewakili Kelab Puisi dimana saya memegang jawatan presiden. Sungguh unik sekali program ini. Kalau selalunya kita mendengar program khidmat kemasyarakatan yang dianjurkan para mahasiswa - yang selalunya disebut sebagai "Baktisiswa", program ini lebih kurang konsepnya, tetapi telah dirombak sedikit sebanyak dan diberikan penekanan kebudayaan.

Di hadapan rumah keluarga angkat.

Ia telah diadakan dari 9-12 Jun 2009 di Mukim Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan - satu destinasi yang kaya dengan kesenian dan kebudayaannya. Kami telah ditempatkan bersama keluarga angkat di beberapa buah kampung. Saya telah menjadi "anak angkat" kepada Pak Tam dan juga isterinya yang saya panggil Ibu. Begitu ramah sekali layanan mereka. Pak Tam merupakan Pengerusi JKKN Kampung Ibol - atau dalam bahasa mudahnya ketua kampung.

Saya & Pak Tam

Beliau merupakan seorang bekas tentera laut yang dahulunya banyak merantau ke sana sini mempertahankan tanah air. Tentunya, saya telah memanfaatkan pengalaman ini untuk menimba sedikit sebanyak pengalaman daripada beliau. Apa yang saya perhatikan, Pak Tam begitu menitikberatkan soal kepimpinan. Malah perkara inilah yang selalunya menjadi intipati kepada percakapan beliau sewaktu kami beramah mesra di rumah. Banyak perkara baru yang saya perolehi daripada beliau.

Saya & Ibu angkat

Ibu pula, macam ibu saya sendiri pula terasa. Sampai sahaja rumah, memang kami berbual tidak henti. Ibu melayan saya dan kawan-kawan serumah saya (Rasyid & Helmy) dengan begitu ramah sekali. Terasa seperti kami sudah menjadi sebahagian daripada keluarga mereka. Banyak perkara yang dibualkan.

Tetapi, apa yang membuat saya seronok betul adalah dapat menjamu selera dengan buah-buahan yang begitu banyak sekali di sekitar rumah Pak Tam. Ibu kata, petik sahaja kalau mahu makan buah-buahan tersebut. Ada buah rambutan, manggis, naga, dan macam-macam lagi. Rasanya tentu peserta yang lain juga kekenyangan buah sewaktu di Kuala Pilah. Maklumlah, kedatangan kami kebetulan bersamaan dengan musim buah.


Oh, selain Pak Itam dan Ibu, tinggal bersama mereka adalah seorang anak perempuan yang dipanggil Angah, dan juga yang bongsu - bernama Iqbal. Tinggal selama 4 hari bersama mereka benar-benar membuatkan diri terasa sebahagian daripada keluarga mereka, meskipun dihimpit dengan pelbagai aktiviti sepanjang program.

Pengalaman di kampung, sangat seronok sekali. Maklumlah bagi saya yang menetap di bandar ini, jarang sekali dapat menikmati ketenangan dan kenyamanan suasana di desa. Terasa seperti tidak mahu balik pula.

Pada hari kedua, awal-awal pagi lagi kesemua peserta telah berkumpul di Kraf Budaya Terachi bagi mengikuti aktiviti riadah iaitu senam seni. Buat pertama kali jugalah saya telah mencuba senaman yang menggabungkan elemen tarian pelbagai kaum di Malaysia ini. Ada zapin, joget, sewang, bangra, dan macam-macam lagi elemen tarian. Oh, yang paling mengujakan tentunya poco-poco! Dulu selalu dengar sahaja mengenainya, tetapi baru sekarang ada peluang mencubanya.

Sewaktu sesi motivasi bersama pelajar tingkatan 3 & 5.

Selepas itu, kami telah berpecah kepada 3 buah kumpulan. Ada yang pergi bergotong-royong membersihkan kawasan kubur. Ada juga yang pergi ke sekolah rendah untuk mengajar calon-calon UPSR. Kumpulan saya telah ke sekolah menengah untuk satu sesi motivasi, dimana kami telah dipecahkan kepada 10 kumpulan, dan kami dikehendaki berkongsi pengalaman di IPT bersama pelajar-pelajar calon PMR & SPM. Cuma sayangnya, sesi yang sepatutnya menjangkau 3 jam, telah dipendekkan kepada masa kurang dari 1 jam. Tidak mengapalah, apa-pun, harapnya adik-adik tersebut telah mendapat manfaat.

Selain itu, ada juga aktiviti seperti merewang, pertandingan azan, kuiz agama, lawatan ke Istana Seri Menanti, dan juga sukaneka bersama penduduk kampung. Namun, apa yang menjadi kemuncak kepada program ini adalah Malam Kebudayaan yang telah diadakan pada malam terakhir. Sungguh meriah sekali.

Kenangan menjadi pengacara majlis.

Saya telah ditugaskan menjadi juruacara majlis bersama-sama rakan seperjuangan, Syafiqah. Serentak juga dengan persembahan kebudayaan, telah diadakan majlis kenduri kesyukuran khusus buat kesemua penduduk kampung. Ramai yang datang membanjiri Kompleks Kraf Budaya Terachi. Turut turun padang adalah ADUN kawasan Seri Menanti yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

Selepas selesai acara.

Antara yang telah membuah persembahan adalah Kelab Caklempong, Kelab Gamelan, Kelab Angklung, Kelab Dikir Barat, Kelab Zapin Nafastari berselang-seli dengan persembahan kebudayaan dari Yayasan Negeri Sembilan. Tidak lupa juga persembahan khas dari Datuk Dr Wira Rosli dari UPSI yang telah mengalunkan teromba.

Keseluruhannya, saya berani katakan bahawa program ini sangat berjaya. Tahniah kepada kesemua urus setia yang telah bertungkus-lumus dan mengorbankan waktu cuti masing-masing untuk memastikan program ini berjalan lancar. Sesungguhnya, seni itu sememangnya milik masyarakat, dan kita telah buktikan bahawa seni dan kebudayaan itu juga wadah yang penting untuk digunakan untuk berdakwah. Semoga selepas ini, akan ada lagi program-program sebegini dianjurkan oleh Unit Kebudayaan UIAM!

.
.
.


1 komentar:

Syamputra Razali berkata...

Hebat!!!
teruskan berbudaya..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan