Subscribe

27 November 2008

SEMINAR KEBANGSAAN PUISI MELAYU TRADISIONAL 2008


Minta daun diberi daun,
Dalam daun ada bidara;
Minta pantun diberi pantun,
Dalam pantun ada bicara.

Sejak mengetahui bahawa DBP akan menganjurkan sebuah seminar mengenai puisi Melayu tradisional beberapa bulan lalu, saya menjadi begitu teruja dan cepat-cepat merancang dan memasang niat untuk menghadirkan diri. Kebetulan pula, tarikh seminar ini berlangsung jatuh sewaktu saya sedang menikmati cuti semester.

Pada hari pertama, saya telah ditemani oleh Nissa' Yusuf, MF Kencana, dan juga Kak Ila. Seronok juga apabila dapat berkampung semula di DBP untuk menghadiri sebuah majlis ilmu yang menjadi minat saya ini. Banyak perkara yang saya belajar, terutamanya mengenai pantun, syair, gurindam dan nazam.

Sewaktu seminar inilah juga saya telah didedahkan dengan pelbagai jenis irama syair dan gurindam. Sesuatu yang menarik untuk dipelajari, kerana selepas ini bolehlah saya pula mempersembahkannya. Rupanya irama syair yang kita selalu dengar itu, dinamakan irama Syair Siti Zubaidah ataupun Selendang Delima. Ada banyak lagi irama syair dan yang dibentangkan sewaktu seminar, ada 13 kesemuanya.




Kebanyakan yang menyertai seminar adalah para ahli akademik, pegawai DBP, guru-guru, dan juga penulis-penulis. Tidak ramai anak muda yang menyertai seminar ini. Jadi, memang ramailah orang-orang lama yang kita dapat lihat. Di tengah keramaian orang-orang lama itu, saya nekad untuk tampil ke hadapan dan memberikan pendapat saya juga bertanyakan soalan kepada panel. Agak gementar juga kerana itulah pertama kali saya berbuat demikian. Tetapi, ternyata saya menjadi begitu puas kerana telah berjaya mengatasi ketakutan saya. Saya memperkenalkan diri sebagai wakil anak muda dan menceritakan pengalaman saya menguruskan pasukan pantun di UIAM, kemudian disusuli dengan 2 soalan untuk para pembentang.

Kemudian, perkara yang membuatkan saya merasa teruja adalah apabila SN Prof. Muhammad Haji Salleh pula bangkit untuk mengulas kenyataan saya. Wah, sasterawan negara tu. Prof mengulas mengenai soalan "mengapa pantun?" yang sentiasa dibangkitkan oleh rakan-rakan saya ketika dijemput untuk menyertai pertandingan-pertandingan pantun. Prof menjawab kerana pantun adalah sebuah bentuk yang telah merentasi lebih daripada 40 bahasa di seluruh dunia, lebih 35 dialek melayu, dan juga merangkumi ke segenap aspek kehidupan. Tiada bentuk puisi lain yang telah menjelajah ke segenap pelusuk kehidupan seperti pantun.


Saya juga sempat bertembung dengan Bonda Ani, editor Tunas Cipta. Beliau telah mengajak kami untuk ke pejabatnya di tingkat 21 untuk mendapatkan majalah Tunas Cipta keluaran Disember 2008. Wah, sudah jimat belanja bulan Disember ni! Bak kata orang, sambil menyelam minum air. Kami pun telah menggunakan kesempatan ini untuk 'menemuramah' Bonda Ani tentang karya-karya yang disiarkan di Tunas Cipta. Memang puas hati sungguh.


MF Kencana, Azree Ariffin, dan Abang Ridzuan Harun.


Lagak Mantan MPR : MF Kencana, Nissa' Yusuf dan Azree Ariffin.


Sempat juga sekali lagi bergambar dengan Bonda Ani. Kali ini disertai dengan Kak Rozninah, Editor Dewan Sastera.

Sebelum balik, gambar kenangan bersama SN Prof Muhammad Haji Salleh.

.
.
.

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan